mobileapp

The official mobile apps for Ministry of Science, Technology and Innovation (Malaysia).

Find out more about:

– How to apply innovation grant from the ministry
– Latest innovative product from MOSTI (biotech, engineering & IT)
– Information about MASTIC

 

Android_App_Store_Logo appstore

PUTRAJAYA, Khamis 28 Januari 2016 — Malaysia membuat anjakan yang signifikan hari ini ke arah memperkasa agenda sains, teknologi dan industri (STI) melalui penggubalan Pelan Induk STI negara di bawah penyeliaan Majlis Sains Negara (National Science Council atau NSC) yang bermesyuarat kali pertama pada hari ini, dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.
Pelan Induk STI yang bersandarkan kepada Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) sedia ada akan memastikan peranan dan input STI diambil kira dalam penggubalan dan pelaksanaan semua polisi-polisi lain (STI for policy). Proses penggubalan Pelan Induk STI ini akan juga melibatkan antara lain kajian semula dan penetapan bidang fokus strategik penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara, peluasan skop Jabatan Statistik untuk turut meliputi pengumpulan data STI serta pembangunan Pelan Hala Tuju Modal Insan STI (National STI Talent Roadmap).
Menurut YAB Perdana Menteri, bagi memastikan kelangsungan agenda transformasi negara, NSC perlu mencari pendekatan untuk meningkatkan penguasaan dalam bidang STI serta memperkasa agenda STI negara. “NSC perlu memastikan ekosistem dan persekitaran yang kondusif untuk merancakkan agenda STI negara merentasi semua kementerian dan jabatan; sektor awam dan swasta; serta pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara. Penubuhan NSC saya harap dapat membantu meningkatkan keupayaan dan perspektif sains dan teknologi untuk memberi respons segera kepada kehendak dan tuntutan rakyat,” tambah YAB Perdana Menteri.
YAB Perdana Menteri turut menggesa supaya pendekatan yang komprehensif diambil bagi meningkatkan bilangan STEM (science, technology, engineering and mathematics) talent kerana negara masih belum mencapai sasaran 60% enrolmen pelajar dalam bidang sains . Agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu mempunyai fokus dan bidang keutamaan yang jelas dan bagi mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti buruh (labour productivity) pada kadar 3.7% setahun, berasaskan “STI-driven.”
Menurut YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, selaku Urus Setia, NSC diwujudkan bersandar kepada rasional supaya agenda sains, teknologi dan inovasi (STI) dipantau dan diselaraskan di bawah satu Majlis yang memberi keutamaan kepada agenda STI negara.
“Mulai hari ini kita hanya ada dua Majlis berkaitan STI yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, iaitu di peringkat kebangsaan kita ada NSC dan di peringkat antarabangsa, Global Science and Innovation Advisory Council (GSIAC),” tambah YB Menteri MOSTI.
Topik utama yang dibincangkan oleh NSC hari ini ialah mengenai “Mengarusperdana STI dalam Pembangunan Sosioekonomi Negara (Mainstreaming STI for the Nation’s Socioeconomic Development).”
NSC dianggotai oleh 29 ahli terdiri daripada YAB Timbalan Perdana Menteri, sebelas (11) Menteri, wakil akademik, industri serta individu dengan kepakaran berkaitan (seperti di Lampiran 1) dan bermesyuarat setiap suku tahun.

Pekan, 23 Jan 2016 – YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak menggesa penduduk desa khususnya Kampung Padang Rumbia yang telah dipilih sebagai perintis menempatkan Sistem Prasarana Komuniti Pintar, memanfaatkan teknologi ICT untuk memperbaiki taraf sosio-ekonomi komuniti mereka.

Sistem Prasarana Komuniti Pintar (iComm) adalah merupakan salah satu inisiatif di bawah program Inovasi Sosial MOSTI yang dibangunkan oleh MOSTI melalui agensi penyelidikan dan pembangunannya, MIMOS Sdn. Bhd untuk menaik taraf sistem Komunikasi masyarakat setempat. Sistem ini merangkumi rangkaian kamera litar tertutup, alat pemantau paras air sungai dan platform komunikasi mudah alih berasaskan internet. Kampung Padang Rumbia adalah komuniti desa pertama di Malaysia yang mendapat faedah daripada projek perintis ini.

“Pada masa ini, negara-negara di seluruh dunia berlumba-lumba menjana ekonomi mereka yang berasaskan ilmu pengetahuan atau lebih dikenali sebagai K-economy. Antara asas K-economy adalah tahap pengetahuan rakyat tentang kemajuan dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang boleh digunakan untuk menjana ekonomi yang tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber asli semata-mata,” demikian menurut YAB Perdana Menteri semasa ucapan Majlis Perasmian iComm di Kampung Padang Rumbia hari ini.

YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Melalui aplikasi ini, teknologi sensor bijak dapat mengesan kenaikan paras air sungai. Sehubungan itu, masyarakat sekeliling boleh bersiap sedia untuk berpindah dan menunggu arahan pihak berkuasa dari Semasa ke Semasa”.

Tambah beliau juga “MOSTI berhasrat melihat produk dan perkhidmatan teknologi buatan Malaysia ini seterusnya dimajukan dan dikomersialkan oleh sektor swasta atau agensi kerajaan, sesuai dengan matlamat Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sewaktu pembentangan Bajet 2016 lalu”.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Yaakob, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Seri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Pengerusi MIMOS YBhg. Datuk Wira Omar Kaseh, Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS dan YBhg. Datuk Abdul Wahab Abdullah.

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI – Sekumpulan lapan penyelidik dari enam universiti tempatan akan menyertai ekspedisi ke Antartika selama 22 hari bermula 18 Januari ini. Penglibatan mereka dalam ekspedisi saintifik dan penyelidikan sains kutub ini merupakan kesinambungan dari penglibatan saintis tempatan dan ekspedisi-ekspedisi saintifik Malaysia ke Antartika yang telah bermula sejak tahun 1999 lagi.

Penyelidikan yang dijalankan oleh mereka adalah berkisar kepada hubungkait antara Antartika, biodiversiti dan perubahan iklim dengan penekanan kepada kajian gas rumah hijau dan lapisan ozon, variasi elektromagnetik bumi, ciri-ciri batuan, taburan debunga, hidupan laut (bentos dan alga), penghasilan enzim dan pancaran ultra violet.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang bergiat aktif dalam penyelidikan Antartika dan penyertaan Malaysia dalam Sistem Triti Antartik (ATS) – [sila rujuk lampiran] pada 31 Oktober 2011 merupakan satu langkah untuk terus menggalakkan minat Malaysia dalam kemajuan sains di kawasan kutub. Seterusnya, bagi mencapai status sebagai Pihak Perunding ATS, Malaysia perlu membuktikan komitmen dengan menjalankan kajian saintifik di Antartika secara aktif dan berterusan dan ini telah ditunjukkan oleh penglibatan saintis Malaysia selama ini.

Penyertaan Malaysia dalam Triti ini akan membolehkan para penyelidik Malaysia memperhebat penglibatan mereka dalam bidang penyelidikan kutub dan bersama-sama dengan komuniti saintifik antarabangsa menyumbangkan pengetahuan baru dan meluaskan ilmu dalam bidang penyelidikan ini.

Bagi ekspedisi 2016 ini, ia diselaraskan oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Universiti Malaya. Selain itu, ekspedisi ini turut melibatkan kerjasama daripada beberapa agensi antarabangsa seperti International Center for Space Weather Science and Education (ICSWSE), Kyushu University, Korean Polar Research Institute (KOPRI) dan University of Cambridge, UK.

Senarai penyelidik yang terlibat dalam ekspedisi ini adalah seperti berikut:
1. Dr. Mohamad Huzaimy Bin Jusoh, Universiti Teknologi MARA – Ketua Ekspedisi
2. Dr. Mohd Shahrul Bin Mohd Nadzir, Universiti Kebangsaan Malaysia
3. Dr. Emienour Muzalina Bt Mustafa, Universiti Malaya
4. Dr. Foong Swee Yeok, Universiti Sains Malaysia
5. Dr. Wan Mohd Rauhan Bin Wan Hussin, Universiti Malaysia Terengganu
6. Dr. Goh Thian Lai, Universiti Kebangsaan Malaysia
7. Muhamad Hilal Bin Mohd Zainudin, Universiti Sains Malaysia
8. Aniqah Zulfa Bt Abdul Latif, International Medical University

Dengan kepakaran penyelidik-penyelidik ini, penyelidikan Malaysia di benua Antartika akan terus berkembang pesat pada masa akan datang. Kerjasama dengan agensi penyelidikan luar negara di Antartika juga akan membolehkan Malaysia berada seiring dengan negara maju yang lain dalam kajian Antartika ini.

KUALA LUMPUR (PWTC), 19 November 2015 – Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 akan mempamerkan kolaborasi pelbagai kementerian dalam melipatgandakan usaha bagi melonjakkan pengkomersialan hasil produk pembangunan dan penyelidikan (R&D).

Perkara ini diumumkan oleh YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Pengkomersialan MOSTI (MCCE 2015) bermula pada 18 hingga 19 Mei 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur (PWTC) dengan temanya 360° Merakyatkan Inovasi Melalui Inovasi Inklusif Terbuka.

“Inovasi merupakan idea baru yang pada kebiasannya dihasilkan oleh masyarakat dalam memperbaiki cara sedia ada dalam melakukan sesuatu agar produktiviti mereka meningkat terutama daripada sudut ekonomi seterusnya membantu memperbaiki taraf kehidupan dan kesejahteraan rakyat,” tambah YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

Menurut beliau lagi, inovasi bukanlah hanya dimonopoli oleh golongan penyelidik, professor mahupun pengkaji makmal semata malahan melibatkan seluruh rakyat atau sesiapa sahaja dan sejarah telahpun membuktikan kebanyakan inovasi atau ciptaan baru, datangnya daripada orang-orang biasa.

Selari dengan ‘merakyatkan inovasi’ juga, MOSTI Social Innovation (MSI) yang dilancarkan oleh MOSTI pada April 2015 lalu telah meluluskan dana sebanyak RM94 juta sehingga Oktober 2015.

Sepertimana sedia maklum, MOSTI telah diberi penghargaan untuk menerajui Tahun Pengkomersialan Malaysia pada tahun 2016 (MCY 2016) sebagaimana yang diumumkan dalam Ucapan Bajet 2016 oleh YAB Perdana Menteri pada 23 Oktober 2015. Ini berikutan kejayaan inisiatif Tahun Pengkomersialan MOSTI 2014 (MCY 2014) yang bertujuan mempergiat, melonjak dan membudayakan aktiviti pengkomersialan produk inovasi, R&D MOSTI.

MCCE2015 kali ini yang merupakan rentetan daripada MCCE2014 merangkumi penganjuran seminar, Kuala Lumpur Innovation Forum (KLIF), 55 booth pameran produk-produk inovasi dan R&D juga sesi padanan perniagaan. MCCE2015 juga menyediakan medium interaksi di antara pihak berkepentingan, pemain industri, penyelidik dan juga masyarakat dengan objektif yang jelas iaitu sepertimana berikut:
i. Menterjemahkan produk R&D sebagai penjana kekayaan melalui proses pengkomersilan;
ii. Merakyatkan penggunaan produk R&D;
iii. Menilai keupayaan dan kesediaan produk R&D di pasaran.


KUALA TERENGGANU (15 November 2015) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya, CyberSecurity Malaysia, mengadakan satu program latihan peningkatan kecekapan keselamatan siber dan maklumat bagi melatih komuniti setempat terutamanya usahawan online.

“Melalui program latihan yang diadakan ini, usahawan wanita tersebut kini dikenali sebagai Cyberpreneur. Selain mengetahui dan memahami isu-isu keselamatan siber semasa, ancaman, risiko, serta modus operandi terkini jenayah siber, diharapkan agar Cyberpreneur kini lebih yakin dalam mengendali dan mengurus perniagaan atas talian mereka.” ujar Datuk Seri Panglima Madius, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, semasa perasmian Karnival Inovasi – Creativity Science 4U Zon Timur pada hari ini. Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azhar Hj Yahaya, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sempena karnival tersebut, seramai 30 orang usahawan wanita dari Terengganu yang merupakan ahli Federation of Women Entrepreneurs Associations Malaysia (FEM) telah menjalani program latihan peningkatan kecekapan keselamatan siber dan maklumat selama dua hari dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program ini dijalankan melalui inisiatif MOSTI yang dikenali sebagai Program Inovasi Sosial MOSTI. Menurut YB. Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Program Inovasi Sosial MOSTI ini diperkenalkan bagi membantu masyarakat mengatasi masalah yang dihadapi serta dalam masa yang sama meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan hidup mereka melalui pelaksanaan projek perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau hasil inovasi yang boleh dilaksanakan secara mampan.

Karnival Inovasi – Creativity Science 4U merupakan acara tahunan MOSTI dalam usaha Kementerian meningkat, memperkasa dan membudayakan pembelajaran serta pengetahuan mengenai bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat Malaysia ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat.

Selain komuniti setempat, karnival ini turut melibatkan pelbagai pihak antaranya murid-murid sekolah, pelajar-pelajar universiti dan kolej, penjawat awam, pekerja di sektor swasta, komuniti tempatan dan juga masyarakat umum dari tiga buah negeri, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Selain pameran STI oleh agensi-agensi MOSTI seperti CyberSecurity Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia (ANM), Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) and Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan Cyberpreneurs, pelbagai acara menarik turut disusun di sepanjang Karnival ini bagi menarik orangramai untuk berkunjung ke tapak Karnival.

Antara acara yang mendapat perhatian ramai ialah persembahan “Battle of the Buskers”, “Waziboys Circuit” serta “Buskers.balcony.TV”.

Sementara itu, terdapat juga sesi ceramah interaktif, pencerapan matahari, bengkel mencipta roket, ujibakat pembaca ramalan cuaca, CyberSAFE Quest serta Projek Inovasi Sekolah yang akan mempamerkan hasil inovasi dan kreativiti 20 projek dari sekolah-sekolah di Zon Timur.

Turut hadir di majlis perasmian ini ialah YB. Dato’ Zubir Embong, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu yang mewakili YAB. Menteri Besar Terengganu.

KOTA KINABALU, 12 November 2015 – Majlis Temu Mesra Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama media Sabah diadakan hari ini bagi mengeratkan lagi hubungan baik diantara MOSTI dan media terutamanya di Sabah.

YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau dalam ucapan ringkasnya menyuarakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pengamal media yang tidak putus-putus menyokong usaha MOSTI dalam meneraju agenda Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, disamping membantu menyebarluaskan maklumat STI dalam Bahasa yang lebih mudah kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat.

Dalam majlis yang sama, YB Datuk Seri Panglima diraikan sempena 100 hari menerajui MOSTI. Beliau turut melahirkan hasrat untuk memperkasakan komunikasi di peringkat akar umbi dengan mengilhamkan tema ‘Merakyatkan Inovasi’ (Humanising Innovation).

“Apabila kita mengatakan untuk merakyatkan inovasi bermakna kita mahu rakyat terlibat secara langsung dalam proses inovasi supaya mereka dapat merasakan bahawa Kerajaan menghargai segala cetusan idea daripada mereka” kata beliau.

Hadir sama dalam Majlis Temu Mesra media Sabah ini ialah YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBrs. Dr. Zulkifli Mohamed Hashim, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) MOSTI, Ketua-ketua jabatan MOSTI dan pegawai serta kakitangan agensi MOSTI di Sabah.