UKK_4749

 

Kuala Lumpur, 14 November – Pasukan Malaysia yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba, Langkawi, Kedah telah menjuarai Kejohanan Roket Air Peringkat Asia Pasifik (APRSAF -23 WATER ROCKET EVENT) yang dianjurkan oleh Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) dengan kerjasama Department of Science and Technology of the Philippines (DOST) dan Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology of Japan (MEXT) bertempat di University of the Philippines, Los Banos, Laguna, Filipina. Pertandingan ini diadakan bersempena dengan Persidangan Asia Pasific Regional Space Agency Forum kali ke 23.

 

Pasukan Malaysia telah berjaya menewaskan 12 pasukan dari rantau Asia Pasifik yang terdiri daripada Bangladesh, Kemboja, Nepal, India, Indonesia, Singapura, Thailand, China, Jepun, Sri Lanka, Vietnam dan Filipina. Dengan kejuaraan ini, mereka membawa pulang hadiah  berupa model/replica roket H-IIB Launch Vehicle & HTV dari JAXA, HD Wireless Speaker, Power Bank, Sijil Kecemerlangan dan hadiah iringan.

 

Pertandingan yang dijalankan pada 13 November 2016 ini memerlukan setiap peserta melancarkan roket setepat yang mungkin ke sasaran yang terletak sejauh 80 meter dan peserta dinilai secara individu bagi jarak yang terdekat dengan sasaran. Khairul Ikmal Hakim bin Nurisyam dari SMK Langkawi telah muncul sebagai wira Malaysia melalui cubaan keduanya yang mencatat jarak hanya sejauh 1.5 m daripada sasaran. Ini merupakan kali kedua Malaysia menjuarai pertandingan ini setelah menjuarainya kali pertama pada tahun 2014 di Tokyo, Jepun.

 

Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba, Langkawi telah terpilih mewakili Malaysia setelah menjuarai Kejohanan Roket Kebangsaan 2016 (KRK 2016) anjuran Planetarium Negara, Agensi Angkasa Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Universiti Malaya dan Kolej SPACE UTM yang telah diadakan di Universiti Malaya pada 27 – 30 Ogos 2016.

 

Aktiviti pembudayaan sains angkasa oleh Planetarium Negara ini bermatlamat untuk memberi peluang kepada pelajar berkecimpung dengan aktiviti bertemakan angkasa di peringkat antarabangsa yang mana akhirnya akan menyokong inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) Kebangsaan dalam meningkatkan peratusan murid di Malaysia yang mengambil jurusan dalam bidang Sains & Teknologi.

 

 

Maklumat Tambahan:

Pasukan Malaysia yang diwakili oleh dua buah sekolah iaitu;

  1. Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi, Pulau Tuba Langkawi yang terdiri daripada dua (2) orang pelajar iaitu Rohizad B. Zarain dan Khairul Ikmal Hakim B. Nurisyam serta guru pembimbing En. Mohd Jazrinizad B. Jamaludin
  2. Sekolah Menengah Tinggi Kajang, Selangor yang diwakili oleh dua (2) orang pelajar iaitu Hariharan a/l Pubalan dan Amir Haziq B. Noor Alif Wira dan diiringi guru pembimbing iaitu Puan Noralina Bt. Ishak.

 

UKK_4825

 

SEPANG, 14 November  –  Pengujung-pengunjung sekitara Lapangan Terbang Antarabangsan Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berpeluang melihat sendiri fenomena Supermoon apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara mengadakan aktiviti cerapan di Anjung Tinjau, KLIA2 bermula jam 7.30 malam sehingga fenomenan itu berakhir sekitar jam 10.30 malam.

 

Fenomena Supermoon adalah satu fenomena astronomi di mana Bulan akan berada di kedudukan paling hampir dengan Bumi (perigee) pada jam 07:24 malam dan  seterusnya berada pada fasa penuh atau purnama pada jam 09:54 malam. Kejadian ini dikenali sebagai Bulan Penuh Perigee bagi ahli astronomi dan istilah ‘supermoon’ di kalangan masyarakat umum. Fenomena ini boleh dilihat pada 14 November 2016. Keadaan Bulan di kedudukan perigee ketika fasa purnama ini menyebabkan Bulan kelihatan  seolah-olah lebih besar dari keadaan biasa. Bagaimanapun saiz fizikal Bulan sebenarnya tidak berubah sama sekali. Fenomena supermoon telah berlaku pada 6 Mei 2012, 23 Jun 2013, 10 Ogos 2014 dan 28 September 2015. Bagaimanapun kejadian kali ini merupakan supermoon yang berada pada jarak paling dekat dengan Bumi sejak 68 tahun.

 

YBhg. Dato’ Dr Mohd Azhar bin Hj Yahaya, Ketua Setiausaha, MOSTI turut meluangkan masa bersama kira-kira 200 orang pengunjung yang mahu melihat sendiri fenomena tersebut yang dijangka hanya akan berlaku 18 tahun lagi. Walaupun cuaca agak mendung dan langit diliputi awan, supermonn dapat dilihat dengan jelas sekitar jam 10.00 malam.

 

UKK_5457

 

KUALA LUMPUR, 17 November 2016 – Penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) mengiktiraf Teknologis dan Juruteknik sebagai profesion Iktisas yang sekali gus menjulang martabat bidang teknologi serta pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET).

MBOT yang dilancarkan oleh YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini, ditubuhkan sebagai sebuah badan profesional untuk mendaftar dan mengiktiraf Teknologis Profesional (Professional Technologist) serta Juruteknik Bertauliah (Certified Technician) sebagai profesion iktisas selaras dengan saranan Kerajaan yang telah mengenal pasti keperluan penubuhan satu badan profesional untuk mendaftar dan mengiktiraf lulusan berkaitan kemahiran dan teknologi.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau menyatakan, “Inisiatif di bawah RMKe-11 mengunjurkan pewujudan sebanyak 1.5 juta pekerjaan baharu menjelang tahun 2020. Sebanyak 60% daripadanya memerlukan kemahiran berkaitan pendidikan serta latihan teknik dan vokasional (TVET) bagi menggerakkan sektor perindustrian”.

Bagi mencapai sasaran tersebut, minat pelajar-pelajar terhadap bidang TVET perlu dipertingkat sebagai satu platform penting bagi meningkatkan tenaga kerja mahir di Malaysia. Bagi memenuhi keperluan ini, Malaysia perlu meningkatkan pengambilan pelajar dalam bidang TVET setiap tahun secara berperingkat dari 164,000 pada tahun 2013 kepada 225,000 pada tahun 2020.

Bagi mengekalkan bilangan tenaga kerja TVET semakin bertambah di dalam industri, MBOT juga berperanan memastikan kualiti profesion ini adalah selari dengan perkembangan dinamik industri semasa. Trend semasa teknologi pembuatan kini antara lain melibatkan automation, Internet-of-things dan cyber-physical systems.

Selaras dengan teras strategik ke-2 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), iaitu Membangun, Memupuk dan Menggilap Bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), MOSTI telah melaksanakan pelbagai program bagi membangunkan kapasiti sumber manusia berkaitan STI. Malaysia berhasrat untuk menjadi negara maju dan inklusif menjelang tahun 2020. Malaysia memerlukan modal insan yang berpengetahuan, berilmu, beretika dan berakhlak untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Dalam menyokong aspirasi negara untuk menempuh Industri 4.0 ini, MBOT dilihat sebagai berada di platform yang paling sesuai untuk leverage pelbagai bidang teknologi yang berada di bawah pengawalseliaan MBOT bagi memberi nilai tambah kepada pelbagai industri negara.

MBOT telah membuka pendaftaran kepada empat kategori, iaitu Teknologis Berijazah, Teknologis Profesional, Juruteknik Berkelayakan dan Juruteknik Bertauliah. Pemegang-pemegang ijazah sarjana muda, diploma dan sijil dalam bidang teknologi dan teknikal layak memohon. Pendaftaran keahlian teknologis dan juruteknik yang layak boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang www.mbot.org.my.

 

UKK_4123

TUARAN, 7 Nov: Pusat Latihan STEM pertama di Malaysia dalam perancangan untuk ditubuhkan bagi membentuk masyarakat berkemahiran tinggi dan celik sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata kementeriannya (MOSTI) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bekerjasama menggubal Pelan Tindakan STEM Bersepadu dimana penubuhan pusat latihan ini antara perancangan dibuat.

“Elemen STEM menjadi keutamaan kerajaan seperti dibentangkan dalam Bajet 2017 baru-baru ini. Modal insan berkemahiran sains, teknologi dan inovasi (STI) amat penting untuk membangun negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Mengambil contoh dari modul UK STEM Centre di United Kingdom, peranan pusat tersebut sebagai pusat rujukan STEM untuk rakyat dan juga melatih guru sains dengan kaedah pengajaran terkini.

Selain itu, MOSTI melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) turut mengimplementasi Pendidikan Sains Berasaskan Inkuiri (IBSE) dengan melatih 40 guru sains di Tuaran.

IBSE, dimulakan oleh Perancis dan diaplikasi lebih 50 negara, dilihat sebagai keadah efektif pengajaran sains di sekolah dan meningkat pemahaman STEM di usia muda.

Dari tahun 2013 hingga 2014, ASM telah menjalankan projek rintis IBSE di empat sekolah di daerah Hulu Langat, Selangor dan ia menunjukkan peningkatan membanggakan pada keputusan UPSR 2014.

“Harapan saya, penubuhan pusat latihan STEM negara dapat memperluas IBSE ke seluruh Malaysia,” katanya.

UKK_4123

Kota Kinabalu, 5 November 2016 – Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) menyediakan sistem amaran awal tsunami yang berkesan dan berpaksikan rakyat atau disebut sebagai “people centred, end-to-end early warning system”.

SAATNM berperanan untuk mengesan gempa bumi yang berlaku di rantau ini dan seterusnya mengeluarkan maklumat gempa bumi tersebut serta nasihat/amaran jika ianya berpotensi menjana ombak tsunami. MOSTI melalui agensi pelaksananya iaitu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) diberikan tanggungjawab menyedia dan menyelaraskan sistem ini.

“Sehingga kini, negara kita telah mempunyai sistem dan kelengkapan yang cukup baik untuk mengesan kejadian gempa bumi dan tsunami. Pada masa ini, penyebaran maklumat gempa bumi dan nasihat/amaran awal tsunami dapat dilakukan dalam masa lapan (8) minit selepas kejadian gempa bumi dikesan”. Demikian dijelaskan oleh YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi semasa berucap di Perasmian Majlis Penutup Program Latih Amal Tsunami sempena World Tsunami Awareness Day. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (STI), YBrs. Prof Madya Dr. Ramzah Dambul.

YB Menteri MOSTI juga memaklumkan bahawa MetMalaysia sedang melaksanakan projek perluasan rangkaian seismik bagi memantapkan keupayaan pengesanan aktiviti gempa bumi yang melibatkan penambahan lima belas (15) stesen seismik di seluruh negeri Sabah. Di samping itu, Sub-Pusat Pemantauan Gempa Bumi telah ditubuhkan di Pejabat Meteorologi Sabah bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan berkaitan kejadian gempa bumi kepada orang awam di negeri Sabah.

Beliau turut memaklumkan bahawa tarikh 5 November telah diisytiharkan sebagai World Tsunami Awareness Day (WTAD) oleh United Nations General Assembly sebagai tarikh rasmi bermula tahun ini sebagai tanda penghormatan dan memperingati peristiwa kisah benar dari Negara Jepun “Inamura-no-hi” semasa berlakunya gempa bumi kuat pada tahun 1854 yang mencetuskan ombak tsunami yang mengorbankan ribuan nyawa. Sempena World Tsunami Awareness Day ini, MetMalaysia dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi-agensi pengurusan bencana Negeri Sabah dan Pejabat Daerah Putatan telah menggembleng tenaga dalam melaksanakan Program Latih Amal Tsunami bagi komuniti di Kg Pasir Putih, Putatan, Sabah.

Latih amal ini merupakan satu usaha mempersiapkan para penduduk setempat supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi ancaman bencana tsunami yang mungkin melanda bagi mengurangkan kesan dan impak terhadap masyarakat. Latih amal ini sangat penting untuk menilai tahap kefahaman dan kesiapsiagaan penduduk di tepi pantai untuk bertindak dengan sewajarnya bagi menyelamatkan keluarga, harta benda dan nyawa mereka. Ia juga dapat mengukur kecekapan agensi pengurusan bencana dalam melaksanakan Peraturan Tetap Operasi (PTO) bencana mereka di kawasan-kawasan yang berpotensi dilanda bencana tsunami.

UKK_4123

Kuala Lumpur, 16 November – Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membuktikan keupayaan penyelidik Negara apabila mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan GNSS.asia Challenge 2016 menerusi produk penyelidikan “ATTracT (Autism Trigger, Tracking and Trace)” atau lebih dikenali dengan nama MOSTI Track Autism. Hadiah pertandingan ini telah disampaikan semasa Persidangan 8th Multi-GNSS Asia yang berlangsung di Manila pada 15 November 2016.

Pertandingan kali ini yang membawa tema “Providing the Solutions using Multi-GNSS and Other Space Applications in the Asia Pacific Region” dihadiri oleh pelbagai agensi yang terlibat dengan aktiviti aplikasi satelit navigasi dari seluruh dunia. Persidangan ini juga memaparkan pelbagai inovasi aplikasi satelit navigasi untuk kegunaan umum. Selain itu,pegawai Penyelidik ANGKASA lain yang terlibat dalam projek ini adalah En. Ooi Wei Han dan En. Shahrizal Ide Moslin.

MOSTI Track Autism adalah sistem yang dibangunkan di bawah MOSTI Social Innovation (MSI) menggunakan teknologi navigasi satelit dan diintegrasikan dengan teknologi komunikasi mudah alih. Dengan menggunakan sistem ini kanak-kanak dipakaikan dengan alat pengesanan satelit navigasi GPS berbentuk jam tangan dan ibu bapa dapat mengesan lokasi kedudukannya pada setiap masa dengan hanya melalui aplikasi pada telefon pintar .Menerusi aplikasi ini juga, ibu bapa turut boleh menentukan zon kawasan maya serta tempoh waktu untuk aktiviti harian tertentu bagi kanak-kanak autisme. Satu notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada ibu bapa sekiranya kanak-kanak tidak berada di dalam zon kawasan maya yang ditetapkan. Ini dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan terhadap kanak-kanak autisme, dan juga tekanan dan kerisauan ibu bapa.

Untuk makluman pada tahun 2015, ANGKASA juga telah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan yang sama menerusi projek penyelidikan Rapid Emergency Medical System with Geospatial Technology (REMS).
Pproduk penyelidikan ini juga telah menerima anugerah khas BELS Special Prize dalam pertandingan yang dianjurkan oleh European Commission, European Space Agency dan European GNSS Agency yang dilangsungkan di Circulo De Bellas Artes De Madrid, Sepanyol pada 25 November yang lalu

UKK_4123

 

Shah Alam, 3 Nov 2016 – Sebanyak 19 buah syarikat vendor yang menyertai Program Peningkatan Daya Saing Vendor Melalui Inovasi MITI-SIRIM (PPDSVI) dari tempoh 2014 hingga 2016 telah berjaya menerima pensijilan peringkat antarabangsa dan tempatan, hari ini.

Syarikat-syarikat vendor dari pelbagai bidang termasuk pembinaan, teknologi maklumat, perisian marin, perisian simulator dan kad pintar merupakan vendor kepada lapan (8) syarikat anchor yang terlibat dalam program ini iaitu Boustead Naval Shipyard, Telekom Malaysia, PROTON, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Chemical Company of Malaysia, Pharmaniaga, Celcom Axiata dan PETRONAS.

Sebanyak lima (5) buah syarikat dianugerahkan pensijilan One Innocert (1Innocert); lima (5) syarikat menerima pensijilan ISO9001:2008; empat (4) syarikat telah mendapat pensijilan 5S, manakala lima (5) syarikat lagi berjaya mengikuti program pengukuhan inovasi yang menyediakan syarikat ke arah program pensijilan 1Innocert.

Majlis penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat vendor berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri MITI (Industri) YB Datuk Haji Ahmad Haji Maslan di sini. Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr. Zainal Abidin Mohd Yusof.

Datuk Haji Ahmad berkata, program anjuran MITI dengan kerjasama SIRIM, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, ini merupakan satu daripada platform yang memberi ruang kepada syarikat-syarikat vendor untuk membangunkan kapasiti syarikat, bagi membolehkan syarikat vendor di bawah Program Pembangunan Vendor mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.

Program ini telah berjaya mengembangkan peluang perniagaan bagi syarikat-syarikat vendor yang menyertainya, di samping turut menyediakan peluang kepada mereka untuk meningkatkan jaringan kolaboratif sesama rakan perniagaan dalam bidang perkhidmatan dan perkilangan, katanya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM berkata Program PPDSVI MITI-SIRIM yang bermula pada tahun 2014 dibangunkan khusus untuk mentransformasi syarikat vendor bagi membolehkan syarikat tersebut berdaya saing untuk menembusi pasaran tempatan dan luar negara.
SIRIM, melalui anak syarikatnya SIRIM STS Sdn Bhd, menawarkan program secara sistematik seperti latihan teknikal, program pensijilan, pengujian produk, program pengukuhan inovasi dan akhirnya membantu syarikat ke arah mendapatkan Pensijilan Inovasi 1Innocert, katanya.

Mengenai MITI
MITI adalah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara ini sebagai sebuah negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global. Objektif dan peranannya adalah berorientasikan ke arah memastikan pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan membantu mencapai matlamat yang dinyatakan di negara ini untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Mengenai SIRIM Berhad
Sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, SIRIM Berhad adalah organisasi Penyelidikan dan Teknologi yang utama, yang melaksanakan penyelidikan dan teknologi berdasarkan kepada tiga teras iaitu Tenaga dan Alam Sekitar, Teknologi Perubatan, serta Loji dan Mesin. SIRIM Berhad juga adalah peneraju Kualiti dan telah menerima pengiktirafan antarabangsa bagi Standard dan Penilaian Pematuhan, selaras dengan misinya untuk “menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh dalam kualiti dan inovasi teknologi.“ www.sirim.my

 

UKK_4123

 

Kuala Lumpur, 3 November 2016 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara akan menambah baik dan menyebarluaskan program pembudayaan sains angkasa ke peringkat sekolah rendah dan menengah.

Usaha ini digembleng dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia yang merupakan inisiatif dalam memperkukuhkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menyokong dalam merealisasikan Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 untuk mencapai nisbah bilangan pelajar aliran sains dan sastera 60:40.

“National Space Challenge (NSC) yang dilaksanakan melalui pendekatan hands on dan minds on berperanan sebagai medium untuk menggalakkan lebih ramai murid untuk meminati STI dan menyokong inisiatif mengukuhkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).” kata YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azhar bin Hj. Yahaya, Ketua Setiausaha, MOSTI semasa Majlis Perasmian Penutup NSC hari ini.

Pada majlis yang sama turut disampaikan lima hadiah kepada pemenang NSC. Sebanyak 1786 orang murid Tahun 4 dan 5 di seluruh negara mengambil ujian kelayakan secara atas talian namun hanya 32 orang berjaya melepasi persaingan bagi mewakili negeri masing-masing.