Pada 21 Mac 2017, TYT Prof. Dr. Mary Teuw Niane, Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Republik Senegal telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia. Sesi Kunjungan Hormat tersebut turut disertai oleh 10 orang Pegawai Kerajaan daripada Republik Senegal dan pegawai-pegawai daripada MOSTI.

Kunjungan Hormat ini adalah bertujuan memperkukuh hubungan baik di antara Malaysia dan Senegal. Peluang ini turut dimanfaatkan untuk menerokai peluang kolaborasi strategik dalam bidang STI di antara kedua-dua negara.

PUTRAJAYA, 7 Mac 2017 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertekad untuk fokus terhadap cabaran-cabaran negara dengan mencari jalan penyelesaian melalui Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

MOSTI juga telah melaksanakan inisiatif mengadakan “Sesi Perbincangan Meja Bulat Innovators Dynamic” yang dipengerusikan oleh YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, bertujuan mengenal pasti kaedah dalam mengaplikasikan teknologi bagi mengatasi isu-isu berkaitan industri utama negara seperti isu penorehan pokok getah.

Dalam ucapan YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Perhimpunan Bulanan MOSTI pada hari ini, “Hasil inovasi yang mampu menyelesaikan masalah industri atau masalah komuniti hendaklah diperluaskan penggunaannya agar semua pihak boleh menikmatinya”.

YB Menteri turut menyatakan komitmennya dalam menerajui dua tema utama aspirasi TN50 iaitu sebagai peneraju idea pelbagai bentuk ekonomi terkini dan masyarakat yang saling terangkai, inovatif juga teradaptasi kepada teknologi baru.

Dalam usaha ke arah negara maju, agenda membangunkan STI akan terus dipergiat bagi memacu pembangunan ekonomi negara. Sehubungan itu, MOSTI juga akan memberi tumpuan kepada IoT, Big Data, Artificial intelligent dan seumpamanya bagi menghadapi Revolusi 4.0.

Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), adalah dijangkakan sebanyak 65% daripada kanak-kanak yang masuk ke sekolah rendah pada hari ini akan bekerja dalam bidang pekerjaan yang baharu berlandaskan STEM. STEM juga telah dikenal pasti sebagai bidang yang akan membentuk modal insan negara untuk memenuhi permintaan kerjaya masa depan dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

YB Menteri turut mengulas lanjut mengenai fenomena semasa negara, iaitu kes pembunuhan warga Korea dan kecurian bahan radio aktif yang membuktikan bahawa kepakaran Jabatan/Agensi di MOSTI iaitu Jabatan Kimia Malaysia dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom diperakui dan diiktiraf. Ini turut menjelaskan bahawa “sains” adalah suatu keperluan dan elemen yang sangat penting dalam kehidupan.

Dalam ucapannya juga, YB Menteri menekankan bahawa, “Tahun 2017 menjadi Year of Delivery, Tahun Penyampaian yang berjaya sekiranya mindset warga MOSTI fokus kepada penyampaian perkhidmatan, usaha, latihan, penambahan nilai dan segala-galanya untuk kebajikan rakyat”,

Dalam majlis yang sama, Kempen #MyViralVow sempena Safer Internet Day dengan warga MOSTI dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada pengguna internet tentang perlunya tanggungjawab dan etika ketika berkongsi sesuatu maklumat serta visual yang dilakukan secara dalam talian melalui aktiviti tular atau online viral.

KOTA KINABALU, 24 FEBRUARI – “Information, Technology and Innovation” dipilih sebagai tema penganjuran Sabah Construction Fair 2017 (SCF 2017) yang merupakan usaha menghimpunkankan semua pemain dalam sektor pembinaan yang julung-julung kalinya diadakan di Sabah.

“Mengadunkan elemen teknologi dan inovasi ke dalam proses pembangunan sistem perumahan (sama ada di bandar atau desa) adalah kunci penghasilan satu idea petempatan yang lebih sejahtera. Teknovasi bukan sahaja boleh mencipta rumah yang selesa dan selamat, tetapi ia juga menawarkan pengalaman hidup yang lebih berkualiti. Atas semangat inilah maka kementerian saya iaitu MOSTI “, demikian menurut YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada ucapan perasmian SCF 2017 di Sabah Trade Centre.

Tambah beliau, “Sejak dahulu lagi telah terdapat undang-undang/kod bangunan yang digubal bagi memastikan keselamatan bangunan yang didirikan, di mana penguatkuasaannya dibuat oleh pihak PBT melalui undang-undang yang berkaitan seperti Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL).

“Di bawah UBBL, banyak Malaysia Standards (MS) dirujuk bagi memastikan binaan adalah selamat, berkualiti dan mesra pengguna. Dengan pelaksanaan projek pembinaan dan pembangunan yang kian rancak, sama ada di dalam mahupun di luar negara, kita perlu memastikan projek dilaksanakan dengan cepat, tepat dan berpandukan standard-standard yang telah ditetapkan”, katanya lagi.

Menurut beliau, jika tidak, industri pembinaan negara akan ketinggalan dan tidak mampu bersaing dengan industri pembinaan negara-negara luar. Justeru, beliau menggesa agar agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta yang terlibat dalam industri pembinaan dapat menjadikan standard sebagai alat strategik yang mampu melonjakkan kualiti dan produktiviti industri pembinaan.

Kolaborasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Persatuan Pembina Sabah menganjurkan SCF 2017 mulai 24 hingga 26 Februari 2017 merupakan salah satu usaha jitu bagi menjayakan sektor teknologi dan pembangunan negara

KOTA KINABALU, 23 FEBRUARI – Sempena Tahun Pengkomersialan Malaysia 2017 (MCY 2.0) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Disember 2016 lalu, rangka kerja atau ekosistem pengkomersialan dimantapkan lagi dengan meluaskan kolaborasi rakan strategik daripada kalangan industri, kerajaan negeri dan antarabangsa.

Perkara ini dinyatakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dalam ucapannya di Sesi Networking Bersama Industri Dan Media & Soft Launch Tahun Pengkomersialan Malaysia 2017 (MCY 2.0).

Menurut beliau, “Komitmen KPI Khas MCY sebanyak 150 produk/perkhidmatan turut diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak institusi dan agensi termasuk kesemua universiti-universiti awam. Ini akan membuka lebih peluang untuk mencungkil lebih banyak hasilan R&D negara untuk diketengahkan”.

“130 produk/teknologi daripada 150 produk/teknologi yang disasarkan di bawah KPI Khas MCY 2016 telah dikomersialkan dengan anggaran nilai sebanyak RM155 juta. Manakala sebanyak 84 produk/teknologi daripada senarai 130 KPI Khas tersebut telah memasuki pasaran pada tahun 2016”, umum beliau akan pencapaian MCY 2016.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, “Program-program bina upaya dan suai padan perniagaan juga sedang diperkukuhkan dan diperluaskan lagi dalam tahun 2017 bagi memastikan teknopreneur tempatan bersedia untuk menghadapi cabaran pengkomersialan produk mereka di pasaran tempatan dan luar negara”.

Pada majlis yang sama, dilancar dua (2) produk iaitu Affordable Standard Wheelchair yang merupakan produk mampu milik oleh golongan OKU miskin dan Nahrim Hydraulic Markers (NHM) yang dapat mengenalpasti pencerobohan rizab sungai dengan mudah.

UKK_2817

Selaras dengan peruntukan yang ditetapkan di bawah Sub-seksyen 3(3) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304), YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, telah melantik YBhg. Ir. Datuk Ahmad Fauzi bin Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga sebagai Pengerusi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (Lembaga) yang baru mulai 23 Januari 2017. Beliau turut melantik dua anggota Lembaga yang baru iaitu YBhg. Datuk Dr. Nayan bin Yambu @ Laurentius dan YBrs. Dr. Muhd. Noor bin Muhd. Yunus. YBhg. Datuk Dr. Nayan merupakan seorang pesara kerajaan yang berpengetahuan luas dalam pengurusan alam sekitar dan telah berkhidmat dengan kerajaan melebihi 30 tahun. YBrs. Dr. Muhd. Noor yang juga seorang pesara kerajaan, merupakan mantan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, dan telah berkhidmat dengan agensi tersebut selama 36 tahun.

Pelantikan Y. Bhg. Ir. Datuk Ahmad Fauzi adalah bagi menggantikan Y. Bhg. Prof. Datuk Dr. Sukiman bin Sarmani yang meletakkan jawatan pada 22 November 2016. Tempoh lantikan Pengerusi dan dua anggota Lembaga ini adalah bagi tempoh tiga tahun sehingga 22 Januari 2020. YBhg. Ir. Datuk Ahmad Fauzi yang berkelulusan sarjana dalam bidang sains kejuruteraan (mekanikal) daripada University of Michigan, Ann Arbor, USA, telah menganggotai Lembaga sejak 2 Julai 2010. Pengalaman beliau yang luas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga sejak tahun 2010 dan sebagai anggota Lembaga selama 7 tahun, melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Pengerusi Lembaga yang baru.

Pada masa ini, Lembaga turut dianggotai oleh Ketua Pengarah Kesihatan iaitu YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah, dan YBrs. Prof. Madya Dr. Ramzah bin Dambul, yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Pelantikan Pengerusi dan dua anggota Lembaga yang baru ini melengkapkan keanggotaan Lembaga seramai lima orang seperti yang ditetapkan di bawah Sub-seksyen 3(2) Akta 304.

Lembaga sebagai pihak berkuasa berkenaan di bawah Akta 304 bertanggungjawab mengawal dan mengawal selia aktiviti tenaga atom di Malaysia yang berkaitan dengan urusan melibatkan teknologi nuklear dan sinaran yang menggunakan bahan radioaktif, bahan nuklear, radas penyinaran dan benda-benda ditetapkan. Pelbagai bidang di Malaysia telah menggunakan teknologi ini termasuk bidang perubatan, industri, penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran. Kes kecurian dua unit projektor gamma yang mengandungi dua unit bahan radioaktif Ir-192 pada 9 Februari 2017 di Klang, Selangor baru-baru ini menjadi cabaran kepada Lembaga untuk memantapkan kawal selia aktiviti tenaga atom di Malaysia dan memastikan bahawa teknologi ini digunakan dengan selamat, terjamin dan terkawal.

Pelantikan YBhg. Ir. Datuk Ahmad Fauzi dan dua anggota Lembaga yang baru adalah pilihan yang tepat berdasarkan kepakaran dan pengalaman masing-masing dalam bidang berkaitan yang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. MOSTI yakin bahawa pengalaman dan pengetahuan mendalam YBhg. Ir. Datuk Ahmad Fauzi, yang dibantu dengan kepakaran dan pengalaman luas anggota Lembaga yang lain, akan membolehkan beliau menerajui Lembaga dalam membuat keputusan penting berkaitan aktiviti tenaga atom di Malaysia

UKK_2817

SARAWAK, 10 FEBRUARI 2017 – Di Malaysia, kanser serviks merupakan kanser ketiga yang paling banyak dihadapi oleh kaum wanita. Peringkat awal kanser serviks dapat dirawati dengan berkesan dan penyakit ini juga dapat dihapuskan secara menyeluruh dengan pembedahan atau rawatan yang sesuai.

Berdasarkan kepada fakta tersebut, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bersama-sama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama LaDIY Healthcare Sdn Bhd, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser, UPM (CaRE) dan Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menganjurkan Program Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks Bersama Alat Persampelan Sendiri, Cervisafe di bawah Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) di parlimen Batang Lupar.

Pelancaran Program Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks Bersama Alat Persampelan Sendiri, Cervisafe ini telah di rasmikan oleh YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar, Sarawak hari ini di Kompleks Penyayang Sri Aman, Sarawak.

Selain daripada Sri Aman, Sarawak, Program Kesedaran sebelum ini telah diadakan di Tamparuli, Sabah dan Balik Pulau, Pulau Pinang pada November dan Disember 2016. Perlaksanaan program lebih tertumpu kepada golongan wanita di kawasan luar bandar dalam tempoh masa 6 bulan.

Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim berucap, Program kesedaran ini memberi manfaat kepada kaum wanita di Malaysia pada keseluruhannya. Tumpuan kepada kanser pangkal rahim sangatlah sesuai kerana ia merupakan kanser ketiga yang paling banyak di hadapi oleh kaum wanita.

Cervisafe merupakan kaedah alternatif yang sangat baik dalam memastikan semua golongan wanita dapat melakukan pemeriksaan awal kanser servik dengan lebih mudah dah cepat berbanding prosedur-prosedur yang sedia ada. Saya faham antara kekangan utama bagi rakyat Sarawak adalah jarak yang jauh untuk akses ke bandar bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan terutama berkaitan pemeriksaan serviks. Jadi dengan terhasilnya inovasi teknologi baru Cervisafe ini akan lebih memudahkan dan tiada lagi penghalang untuk semua golongan wanita menjaga kesihatan serviks mereka. Sesungguhnya pengesanan awal bagi sebarang penyakit adalah yang terbaik.

Program Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks Bersama Alat Persampelan Sendiri, Cervisafe ini membolehkan kaum wanita di Sri Aman untuk menjalankan sendiri prosedur persampelan dengan keadaan selesa, praktikal dan selamat. Program ini akan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan saringan kanser serviks sebagai langkah pencegahan awal.

Program yang dijalankan hari ini berjaya menarik minat lebih 300 penduduk sekitar Sri Aman dan 85 daripada mereka layak menjalani ujian persampelan sendiri. MTDC dan MOSTI mensasarkan untuk membuat persampelan ke atas 700 wanita yang layak pada penghujung program ini

LaDIY Healthcare Sdn. Bhd. adalah syarikat penerima Dana Pengkomersilan Penyelidikan & Pembangunan (CRDF) yang disalurkan oleh MOSTI melalui MTDC bagi pengkomersialan kit persampelan sendiri, Cervisafe untuk meningkatkan pengesanan awal kanser serviks di kalangan wanita di seluruh negara.

Program Inovasi Sosial Mosti (MSI)
YAB Perdana Menteri telah bersetuju projek-projek RMKe-11 yang bersifat people centric akan dilaksanakan berdasarkan enam Pemacu Perubahan (Game Changer) melalui Platform Transformasi National Blue Ocean Strategy (NBOS).

MOSTI Social Innovation (MSI) merupakan salah satu program yang akan dilaksanakan di bawah Game-Changer Innovation RMKe-11 mulai tahun 2016.

Tujuan Program MSI adalah untuk membantu masyarakat dan komuniti memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan hidup melalui pelaksanaan projek, perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau hasil inovasi menggunakan teknologi sedia ada. Projek yang dilaksanakan hendaklah bersifat quick-win, kos rendah, cepat siap (tidak melebihi 6 bulan), demand driven dan berimpak tinggi.

Objektif Program MSI adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat melalui pelaksanaan projek, perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau hasil inovasi menggunakan teknologi sedia ada yang boleh dilaksanakan secara mampan.

Kumpulan sasar Program MSI adalah masyarakat Malaysia yang dibantu bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka seperti warga emas, golongan berpendapatan rendah, wanita dan lain-lain.
Sehubungan dengan ini, MTDC telah dilantik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk untuk menjalankan lapan (8) program MSI dan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama di antara MTDC dan lapan pembekal teknologi yang terdiri daripada penerima Dana CRDF dan universiti telahpun berlangsung pada 14 November 2016.
Menerusi program MSI, lapan Syarikat Pembekal Teknologi yang terdiri daripada penerima Dana CRDF dan universiti akan menjalankan pelbagai aktiviti berteraskan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup pelbagai lapisan masyarakat.
LaDIY Healthcare Sdn Bhd
LaDIY Healthcare Sdn Bhd antara syarikat pembekal teknologi yang berkolaborasi bersama-sama dengan Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser, UPM (CaRE) untuk menjalankan Program Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks Bersama Alat Persampelan Sendiri, Cervisafe. Program ini akan mengambil masa selama enam bulan dan akan dilaksanakan di 10 lokasi.

Mengenai MTDC
Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah ditubuhkan pada tahun 1992 dengan objektif berikut – sebagai agen pemacu pembangunan syarikat berasaskan teknologi, menggalakkan pemindahan hasil penyelidikan dan pembangunan (P&P) tempatan dan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri modal teroka di Malaysia.

Semenjak Rancangan Malaysia ke-7 (RMK-7), MTDC telah diamanahkan oleh Kerajaan untuk menguruskan dana khas kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk meningkatkan kandungan teknologi mereka melalui pengkomersilan penyelidikan dan pembangunan (P&P) dan / atau pengambilalihan teknologi asing. Tidak hanya terhad kepada pengurusan dana, MTDC turut membangunkan pusat teknologi inkubator yang ditempatkan dibeberapa universiti dan institut penyelidikan tempatan (IPT) bagi memberi fokus kepada pelbagai kluster industri.

Dengan gabungan dedikasi, ilmu, teknologi, inovasi, kredibiliti, sokongan dan perkhidmatan penjagaan yang diberikan kepada semua syarikat dalam ekosistemnya, menjadikan MTDC sebuah syarikat yang mempunyai gandingan lengkap, menghasilkan nilai dan membantu memperkembangkan ekonomi Negara.

 

UKK_2817

TAMPARULI, SABAH (11 Februari 2017) – Pusat MyCyber Komuniti@Sabah bakal menjadi Pusat sehenti bagi penyebaran ilmu dan maklumat mengenai penggunaan komputer dan internet secara positif di samping merapatkan jurang digital di antara penduduk. Ia dibangunkan di bawah pembiayaan dana Program Inovasi Sosial MOSTI atau MOSTI Social Innovation Program (MSI)

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, “Pusat ini dibina bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat agar dapat menikmati kemudahan perkhidmatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT). Ia sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam memperkasa pembangunan digital luar bandar agar rakyat dapat menikmati kemudahan prasarana digital selari dengan perkembangan arus teknologi masa kini serta berupaya merapatkan jurang digital.”

“Selain agensi atau jabatan di bawah MOSTI, pusat ini juga boleh digunakan oleh agensi serta jabatan termasuk lain-lain Kementerian / jabatan bagi penganjuran pelbagai program serta aktiviti berkaitan keselamatan siber dan ICT, khususnya yang melibatkan masyarakat di daerah Tamparuli.” Katanya lagi semasa merasmikan Pusat MyCyber Komuniti@Sabah di sini, hari ini.

Pusat MyCyber Komuniti dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia, pusat pakar teknikal keselamatan siber negara yang juga merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Koperasi Tokou Sabah Berhad.

Pusat MyCyber Komuniti@Sabah dilengkapi prasarana kemudahan ICT dan dilengkapi dengan peralatan seperti kemudahan komputer serta akses Internet, percetakan digital dan mesin pengimbas. Prasarana ICT yang terdapat di pusat ini akan memudahkan masyarakat melakukan perbankan dalam talian (online banking) serta transaksi dalam talian (online transaction) seperti pembelian dalam talian, pembayaran bil serta utiliti.

Sementara itu, menurut Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia “ICT mampu memberi impak yang besar kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Penubuhan pusat ini dapat merealisasi matlamat kami dalam memperkasa bidang keselamatan siber terutamanya kepada penduduk daerah Tamparuli.”

Ujar beliau lagi, “Pelbagai pengisian akan dilaksanakan bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber secara berterusan melalui aktiviti serta program seperti pembangunan laman sesawang, program latihan berkaitan keselamatan siber seperti CyberSAFE, perkhidmatan MyCyberSecurity Clinic seperti perkhidmatan pemulihan data dan sanitasi data, khidmat nasihat (kaunseling) mengenai keselamatan siber, pengurusan data serta pelaporan insiden keselamatan siber serta pusat rujukan masyarakat setempat bagi hal ehwal berkaitan teknologi, komputer dan Internet.”

Sempena perasmian Pusat MyCyber Komuniti@Sabah, beberapa program berkaitan keselamatan siber turut diadakan, antaranya CyberSAFE Quest yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah di sekitar daerah Tamparuli dan ceramah CyberParenting yang melibatkan komuniti setempat.

 

UKK_2817

KUALA LUMPUR (7 Februari 2017) – Pengguna internet digesa agar menjadikan internet sebagai platfom pengumpulan ilmu yang berguna. Selain itu, mereka juga harus mengamalkan tatacara penggunaan internet secara positif dan beretika serta bertanggungjawab terhadap sesuatu tindakan yang diambil terutama dalam penyebaran dan perkongsian maklumat serta visual.

Gesaan tersebut dibuat oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sempena ‘Safer Internet Day’ 2017 yang disambut di seluruh dunia pada hari ini dengan tema “Be The Change: Unite For A Better Internet”.

“Seiring dengan evolusi teknologi maklumat dan komunikasi masa kini, orang ramai lebih banyak melayari internet dan mengakses laman media sosial sama ada untuk berkomunikasi atau berkongsi maklumat dan juga visual. Hasilnya, aktiviti tular menjadi satu fenomena yang semakin berleluasa. Justeru, pengguna internet harus tahu menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum ianya tular kepada orang lain.” ujar Datuk Seri Panglima Wilfred.

‘Safer Internet Day’ merupakan satu acara tahunan yang disambut secara global oleh lebih 100 buah negara di seluruh dunia dengan membawa pelbagai mesej dalam melestarikan budaya internet yang beretika. Di Malaysia, CyberSecurity Malaysia mengambil inisiatif murni ini untuk menerajui sambutan ‘Safer Internet Day’ sejak tahun 2010.

Sementara itu, Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia berkata, “Safer Internet Day kini menjadi sebahagian dari program CyberSAFE bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna internet mengenai penggunaan internet dan komputer secara berhemah. Mereka harus menjadikan amalan penggunaan internet secara beretika sebagai budaya hidup agar mereka tidak menjadi mangsa jenayah siber selain mewujudkan persekitaran siber yang makmur.”

Sempena sambutan ‘Safer Internet Day’, CyberSecurity Malaysia memperkenalkan kempen ‘Çallout Message – MyViralVow’. Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna internet tentang perlunya tanggungjawab dan etika ketika berkongsi sesuatu maklumat serta visual yang dilakukan secara dalam talian melalui aktiviti tular atau ‘online viral’.

Tular berupaya mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat terhadap hakikat sebenar sesuatu krisis, tragedi atau insiden. Maklumat serta visual tersebut juga mampu menyentuh sensitiviti, privasi dan reputasi sesebuah organisasi, individu malah negara.

Melalui kempen ini, para pengguna internet diharap dapat menjadi netizen yang bijak menilai kesahihan dan ketulenan sesuatu maklumat serta visual yang diperolehi sebelum menularkannya melalui laman-laman media sosial.