Shah Alam, 18 April 2017 – Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) melalui agensinya Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) terus komited dalam dalam mengiktiraf produk rekaan tempatan agar setanding serta mampu bersaing dengan produk rekaan antrabangsa menerusi penganjuran program Malaysia Good Design Mark (MGDM).

Malaysia Good Design Mark’ merupakan pengiktirafan rekabentuk oleh kerajaan Malaysia melalui Majlis Rekabentuk Malaysia yang telah dimulakan sejak 1997 lagi. Pengiktirafan ini adalah bagi memperakui usaha sektor perindustrian dalam melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan berterusan dalam mempertingkatkan produk baru.

MGDM tahun ini telah memasuki tahun ke 20 penganjuran sejak dimulakan pada 1997, usaha tanpa henti MGDM dalam mengiktiraf produk rekaan tempatan sepanjang dua dekad telah membuahkan hasil apabila lebih dari 300 syarikat telah menikmati keistimewaan dan kelebihan dari program MGDM. Tahun demi tahun lebih banyak produk dari syarikat tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Kelebihan dari penganjuran selama dua (2) dekad MGDM bukan hanya dinikmati oleh syarikat-syarikat besar malahan pengusaha dari industri kecil & sederhana juga telah menikmati keistimewaan MGDM apabila produk keluaran telah diiktiraf dan diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Pengiktirafan MGDM telah memberi impak yang positif ke atas syarikat tempatan terutama kepada syarikat bumiputera, penyertaan dari syarikat bumiputera secara tidak langsung telah meninggalkan kesan positif dalam peningkatan ekonomi bumiputera dan ini juga selaras dengan usaha kerajaan dalam menjayakan Agenda Transformasi Ekonomi Bumiputera.

YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri (MOSTI) dalam ucapannya yang dibacakan oleh timbalannya YB Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah, beliau percaya melalui MGDM, MRM akan terus komited dengan usaha untuk memastikan jenama dan produk tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa kerana program ini adalah setanding dengan program-program pengiktirafan yang dijalankan di negara-negara maju seperti German, Jepun, Korea, Taiwan, Itali dan sebagainya.

Beliau berkata, “Untuk kekal kompetitif dengan produk-produk jenama antarabangsa , kita perlu sentiasa belajar dan bekerjasama dengan negara-negara lain yang turut sama meraikan rekabentuk sebagai agenda nasional mereka.

Untuk terus menunjukkan komitmen dalam usaha memperhebatkan industri rekabentuk dan mengiktiraf produk di Malaysia, MRM telah merencana perancangan 5 tahun untuk menjadikan industri rekabentuk sebagai salah penyumbang kepada ekonomi negara seterusnya dapat membuka peluang pekerjaan, ingin menjadikan rekabentuk sebagai salah satu agenda negara dan merancakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.

Majlis yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) ini menyaksikan sebanyak 32 produk hasil rekaan dan keluaran 22 syarikat di Malaysia berjaya menerima pengiktirafan. MGDM 2016 telah menerima penyertaan sebanyak 87 produk.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi, YBhg Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Bin Hj. Yahaya, Pengerusi Majlis Rekabentuk Malaysia, YBhg Prof Dato’ Dr Ahmad Haji Zainuddin dan YBrs Puan Hajah Futom Shikh Jaafar, Pengarah Kanan Majlis Rekabentuk Malaysia.

PUTRAJAYA, 18 APRIL 2017 – Malaysia melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran UNESCO-Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) 11th Session of the Intergovernmental Coordination Group for the Indian Ocean Tsunami Warning and Mitigation System (ICG/IOTWMS-XI) yang diadakan pada 18 hingga 20 April 2017 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Mesyuarat ICG/IOTWMS-XI ini bertujuan bagi merancang pelan dan pelaksanaan sistem amaran awal tsunami yang mantap dan efektif di Lautan Hindi serta meningkatkan kerjasama serantau negara-negara di rantau Lautan Hindi terutamanya dalam bidang pembangunan, operasi dan keutuhan jangka panjang bagi ICG/IOTWMS.
ICG/IOTWMS-XI telah disempurnakan perasmiannya oleh YBrs. En. Kua Abun, Timbalan Setiausaha (Perancangan dan Pengkomersialan) MOSTI, mewakili YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. Menurut En. Kua Abun yang membacakan teks ucapan YB Menteri berkata, “Pendekatan yang lebih holistik dan inovatif dalam menangani bencana gempa bumi dan tsunami adalah penting dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa, harta benda dan mata pencarian daripada kemusnahan dan kerugian. Malaysia telah mengambil langkah ke arah melaksanakan Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 dengan menggalakkan dan meningkatkan dialog dan kerjasama di kalangan masyarakat sains dan teknologi, pihak berkepentingan dan pembuat dasar berkaitan untuk memastikan keputusan yang berkesan dilaksanakan dalam pengurusan risiko bencana.”

“Satu sistem amaran awal (EWS) yang diterajui oleh MetMalaysia telah diiktiraf dalam Kerangka Kerja Sendai sebagai faktor penting dalam mengurangkan risiko kehilangan jiwa, kecederaan, wabak penyakit, kehilangan mata pencarian dan kerosakan kepada harta akibat bencana yang dicetuskan oleh jenis bahaya yang berlainan. Keupayaan untuk menyampaikan maklumat penting dan ramalan impak kepada kumpulan sasaran yang betul membolehkan keputusan dan tindak balas yang pantas untuk melindungi rakyat dan kehidupan mereka. Saya percaya bahawa kita harus memanfaatkan kemajuan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk meningkatkan dan mengukuhkan keupayaan pengurusan dan pengurangan bencana negara ini” tambah beliau lagi.

ICG/IOTWMS telah ditubuhkan susulan daripada tragedi tsunami pada 26 Disember 2004, di mana lebih 250,000 nyawa terkorban di sekitar rantau Lautan Hindi. Perhimpunan Ke-23 Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) of UNESCO yang diadakan di Paris dari 21 hingga 30 Jun 2005 secara rasminya mewujudkan Indian Ocean Tsunami Warning and Mitigation System (IOTWMS) melalui Resolusi IOC-XXIII-12 dan kini dianggotai oleh 28 buah negara. Mesyuarat-mesyuarat ICG/IOTWMS dihadiri oleh pegawai kanan negara-negara ahli IOC, ICG/IOTWMS dan negara-negara serantau yang terlibat dengan pengoperasian pusat-pusat amaran tsunami dan pengurusan bencana. Sehingga kini sebanyak 10 sesi mesyuarat ICG/IOTWMS telah diadakan dan Malaysia juga pernah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat ICG/IOTWMS-V di Putrajaya pada 8-10 April 2008.
Dalam ucapan penutupnya, YB Menteri berharap mesyuarat ini dapat dijadikan sebagai satu platform untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh dan lebih rapat antara semua negara anggota yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam menangani isu-isu yang berkaitan pengurusan bencana.

PUTRAJAYA, 13 April 2017 – Golongan Teknologis dan Juruteknik kini boleh mendapat laluan yang jelas untuk mendapat pengiktirafan melalui pendaftaran keahlian dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). MBOT mengiktiraf Teknologis dan Juruteknik sebagai profesion Ikhtisas yang sekali gus menjulang martabat bidang teknologi serta pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET).

MBOT telah dilancarkan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 17 November 2016, telah membuka pendaftaran keahlian kepada Teknologis dan Juruteknik dalam dua kategori di peringkat kemasukan, iaitu Teknologis Berijazah bagi lulusan ijazah dalam bidang teknologi, serta Juruteknik Berkelayakan bagi pemegang diploma dan sijil kemahiran dalam bidang teknikal. Teknologis dan Juruteknik yang berdaftar dengan MBOT ini akan mendapat peluang pengiktirafan sebagai Teknologis Profesional (Professional Technologist) atau Juruteknik Bertauliah (Certified Technician) mengikut bidang kepakaran masing-masing. Sehingga 12 April 2017, sebanyak 1,899 orang telah berdaftar melalui sistem pendaftaran dalam talian MBOT.

MBOT juga telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd bagi membekalkan kad keahlian MBOT dengan ciri-ciri Touch ‘n Go kepada 250,000 bakal ahli MBOT. Pertukaran perjanjian telah dilaksanakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Academician (Dr.) Ts. Ahmad Zaidee bin Laidin FASc., Presiden MBOT dan YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Putih, Pengerusi Touch ‘n Go Sdn Bhd dan disaksikan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Kad keahlian MBOT dengan ciri-ciri Touch ‘n Go ini memberi nilai tambah kepada ahli berdaftar, selain menggunakan teknologi terkini yang mudah dan mesra pengguna dalam urus niaga secara elektronik. Kad Touch ‘n Go boleh digunakan untuk transaksi pembayaran di plaza tol, pengangkutan awam, parkir dan premis-premis perniagaan yang mempunyai terminal Touch ‘n Go.

Pemegang-pemegang ijazah sarjana muda, diploma dan sijil dalam bidang teknologi dan teknikal layak memohon pendaftaran sebagai Teknologis Berijazah dan Juruteknik Berkelayakan, seterusnya untuk mendapatkan gelaran sebagai Teknologis Profesional dan Juruteknik Bertauliah. Maklumat lanjut serta permohonan pendaftaran keahlian boleh dilakukan secara dalam talian, serta boleh didapati di laman sesawang www.mbot.org.my atau e-mel kepada info@mbot.org.my atau menghubungi talian telefon 03-8800 MBOT (6268).

BUKIT JALIL, 11 Apr 2017 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menekankan kepentingan teknologi pentaksiran digital ketika negara melangkah ke era Revolusi Industri Ke-4
Menterinya Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pada waktu negara sedang giat membangunkan ekonomi digital, lebih banyak operasi yang selama ini dilakukan secara manual harus didigitalkan, menamakan pengurusan sumber manusia sebagai satu contoh.

“Dalam dunia yang tidak menentu dan persekitaran yang sukar difahami hari ini, peranan psikometrik menjadi semakin penting. Organisasi mesti menyedari hakikat keperluan bagi pentaksiran saintifik, dan betapa keperluan tersebut wujud setiap hari di sekeliling kita. Kerumitan abad ke-21 memerlukan penyelesaian abad ke-21,” katanya.

“Dengan integriti dan ketelusan semakin diperhalusi dalam pentadbiran negara, pendigitalan proses pemilihan menjadi bertambah penting,” kata Wilfred pada majlis pelancaran Teknologi Pentaksiran Digital untuk Revolusi Industri Ke-4, di sini.

Turut hadir pada majlis itu, yang diadakan sempena Simposium Psikometrik Malaysia 2017, ialah Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Seri Dr Mohd Azhar Haji Yahaya, Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Datuk Abdul Wahab Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia Datuk Fadilah Baharin serta barisan pengurusan tertinggi universiti tempatan dan pemimpin industri.

Wilfred berkata pentaksiran digital bukan lagi satu pilihan malah satu keperluan dalam mewujudkan tenaga kerja yang dapat menyumbang secara berkesan dalam Revolusi Industri Ke-4. Beliau berkata, dengan penerimagunaan standard antarabangsa MS ISO, ekosistem untuk pentaksiran digital di negara ini kini lengkap dan industri tempatan semakin hampir untuk menjadi peserta global.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata kemahiran abad ke-21 seperti penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kreatif, kerja berpasukan dan penyesuaian budaya akan menjadi penting untuk kemajuan negara, tetapi set kemahiran ini tidak dapat diukur dengan baik oleh kelayakan akademik tradisional.

“Tidak dinafikan teknik psikometrik yang diamalkan pada abad lalu dapat mengukur kemahiran, tetapi ini tidak dapat dilakukan dengan jitu. Pentaksiran kemahiran abad ke-21 secara tepat adalah menggunakan teknik pentaksiran digital termaju, seperti yang sedang dibangunkan di MIMOS hari ini,” katanya.

Pada majlis itu, dua standard antarabangsa telah diterima guna sebagai Standard Malaysia (MS ISO). Majlis itu juga menyaksikan perasmian Persatuan Psikometrik Malaysia dan pertukaran dokumen MoU antara MIMOS dan rakan usahasamanya. Tiga belas rakan strategik teknologi MIMOS juga diiktiraf pada majlis itu.
Fadilah berkata kedua-dua standard baharu tersebut menyediakan kriteria amalan baik dan panduan bagi pemaju dan pentadbir ujian profesional, yang berpotensi untuk meningkatkan keyakinan terhadap keadilan ujian pentaksiran, dan membuat orang ramai kurang terdedah kepada andaian kurang tepat yang dibuat berdasarkan ujian tidak saintifik.

Kedua-dua standard baharu ini akan menyediakan garis panduan penting bagi agensi-agensi kerajaan dan swasta yang ingin menggunakan kaedah pentaksiran digital untuk pelbagai tujuan seperti pengambilan, kenaikan pangkat dan penempatan kakitangan pada masa depan, katanya.