Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau AKRAB merupakan nama khusus bagi pegawai yang dilantik sebagai pembimbing rakan sekerja sepertimana yang dikehendaki dalam PP18/2005.

AKRAB membawa maksud Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak, Bestari yang merupakan ciri-ciri penting yang perlu ada pada seorang rakan pembimbing.

AKRAB juga merupakan penjenamaan semula versi rakan pembimbing, pembimbing rakan sekerja, pegawai khidmat nasihat, pegawai khidmat kaunseling dan pelbagai nama yang merujuk kepada peranan sebagai rakan pembimbing di agensi.

AKRAB merupakan agen penggerak kepada pelaksanaan budaya kerja kelas pertama dalam perkhidmatan awam.

Menyediakan perkhidmatan membimbing bagi membantu rakan sekerja meningkatkan potensi dan kecemerlangan diri.

  • Membantu mengembang dan mengukuhkan budaya kerja cemerlang;
  • Mengukuhkan nilai kendiri;
  • Mewujudkan suasana dan persekitaran kerja harmoni;
  • Mewujudkan perkongsian pengetahuan, maklumat dan masalah;
  • Mewujudkan kaedah penyelesaian masalah secara dalaman;
  • Mewujudkan kesepakatan di kalangan rakan sejawat; dan
  • Mewujudkan kelompok sokongan kepada pegawai yang memerlukan bantuan
VISI
Menjadikan AKRAB sebagai penggerak kepada pembangunan modal insan dalam Pengurusan Sumber Manusia.

MISI

  • Melaksanakan aktiviti bimbingan kepada warga organisasi;
  • Membantu pegawai yang memerlukan bantuan dalam menghadapi permasalahan dalam kehidupan;
  • Bertindak sebagai perantara antara pegawai yang memerlukan bantuan dengan Pegawai Psikologi dalam membuat saringan kesesuaian masalah; dan
  • Mewujudkan hubungan baik dengan pihak pengurusan sumber manusia di agensi bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti AKRAB

akrab

Logo AKRAB terdiri daripada 3 warna utama iaitu biru bermaksud ketenangan, keharmonian, warna kehidupan, kesetiaan dan kemanusiaan; kuning bermaksud keceriaan, bebas dari belenggu masalah dan merah bermaksud bersedia membantu dan membimbing. Bentuk 3 orang di tengah logo bermaksud semangat setiakawan, sepakat, kerjasama dan muhibbah. Bentuk bulatan pula membawa maksud kesepaduan dan bersatu hati. Lambang Persekutuan bermaksud berkhidmat dengan ikhlas untuk Negara.

Pemilihan ahli-ahli AKRAB dalam sesebuah Kementerian adalah berdasarkan kepada pegawai-pegawai yang mempunyai kriteria seperti yang digariskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1999 iaitu Panduan Mewujudkan Perkhidmatan Kaunseling dalam Agensi. Sebagai panduan mewujudkan kelompok AKRAB, pemilihan ahli boleh dipilih di kalangan pegawai Pengurusan dan Profesional atau kakitangan Kumpulan Sokongan. Ahli yang dipilih hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut :

  • personaliti yang menarik, iaitu senang dan selesa didampingi;
  • berminat dengan tugas membimbing/kaunseling dan sanggup menghadiri kursus berkaitan kaunseling;
  • mempunyai ketahanan diri yang tinggi;
  • kebolehan menilai dan menghayati perasaan orang lain;
  • mempunyai integriti diri yang tinggi seperti jujur, amanah dan dipercayai;
  • kebolehan menjadi pendengar yang baik.
  • mempunyai Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) yang baik; dan
  • kesediaan melakukan kerja-kerja secara sukarela

Penjawat awam yang mengikuti Program Peningkatan Kemahiran Kaunseling (PPKK) Tahap Pertama dan Tahap Kedua anjuran Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam layak ditauliah sebagai ahli AKRAB serta boleh berfungsi sebagai rakan pembimbing dan mentor di kementerian atau jabatan masing-masing. Sijil Pentauliahan ahli AKRAB akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Last Updated ( Tuesday, 10 January 2012 )