Aplikasi Sistem Fertigasi Tumbuhan: Menjana Ekonomi Usahawan Sabah

TUARAN, 10 Jun 2017 – Pemindahan teknologi Aplikasi Sistem Fertigasi Tumbuhan oleh NIBM, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempercepat dan meningkatkan hasil tuaian secara optimum seterusnya menjana ekonomi para usahawan Sabah.

YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau pada hari ini telah merasmikan Majlis Penyerahan Fasiliti Lengkap Nurseri Tumbuhan dan Bengkel Inovasi Sosial MOSTI (MSI) Fasa II: Aplikasi Sistem Fertigasi yang bertujuan menyediakan fasiliti lengkap nurseri tumbuhan sebagai tempat penanaman tumbuhan secara holistik bagi para usahawan muda dalam penghasilan tanaman tumbuhan secara konsisten melalui penggunaan benih kultur tisu dan nurseri yang dilengkapi dengan sistem fertigasi dan  sensor.

Projek di bawah MSI ini merupakan anjuran Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI-NIBM) bersama Koperasi Bela Rakyat (KOBERA)  mendedahkan para usahawan muda dengan informasi terkini berkenaan penggunaan sistem fertigasi berteknologi tinggi seperti penggunaan sistem sensor di dalam nurseri bagi penanaman sayuran di fasiliti yang disediakan ini. Fasiliti yang berteraskan teknologi moden ini mudah untuk dipraktikkan dan ianya juga mengajar para usahawan muda untuk menggandakan hasil keluaran mereka dan dalam masa yang sama mengeluarkan hasil yang lebih berkualiti.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, “kesemua tumbuhan yang dicadangkan itu mempunyai nilai komersil yang tinggi. Melalui kaedah fertigasi ini, peserta dapat menghasilkan anggaran 2.6kg hasil tuaian untuk satu pokok berbanding kaedah tanaman biasa iaitu 0.8kg hingga 1.5kg sepokok. secara tidak langsung, pendapatan peserta akan meningkat sebanyak 20% hingga 50% setiap tuaian. setiap peserta dianggarkan akan mendapat pulangan berjumlah RM400 hingga RM600 setiap tuaian.”

Tambah beliau lagi, “Saya berasa bangga kerana teknologi-teknologi yang disampaikan oleh NIBM dapat diterapkan kepada para peserta melalui penganjuran bengkel-bengkel seperti  ini. Saya berharap fasiliti yang dibangunkan ini dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada generasi muda di tuaran, malahan juga kepada semua peringkat masyarakat di sabah. Saya turut berharap semoga usaha bina upaya ini tidak berhenti disini, malahan terus lestari dengan penganjuran bengkel-bengkel seumpamanya di masa hadapan.”

Hasil daripada program ini juga, adalah diyakini, dengan adanya prasarana sedemikian, para usahawan muda dapat menggunakannya sebagai sumber teknologi dan dalam masa yang sama dapat memberi inspirasi khususnya dalam pembangunan pertanian moden.Ianya juga akan memberi impak yang tinggi kepada para usahawan muda dalam memperkenalkan dan mendedahkan kepada mereka sistem teknologi tanaman terkini sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Bengkel di bawah Program MSI ini adalah berteraskan program jangkau luar (outreach) ke peringkat akar umbi meliputi pembangunan atau pelaksanaan idea sama ada yang berbentuk produk, perkhidmatan atau model bagi memenuhi keperluan sosial (meeting unmet social needs). MSI bukan sahaja dilihat akan memberi manfaat kepada masyarakat tetapi juga akan meningkatkan keupayaan individu untuk bertindak melalui jaringan kerjasama pelbagai pihak.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBrs. Prof. Madya Dr. Norihan Mohd Saleh , Pemangku Pengarah Eksekutif Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI), YBhg. En. Rozairi Bin Muhammad Ketua Pegawai Eksekutif, dan YBhg. Encik Daukim Bin Gilu, Pengerusi KOBERA.

 

Related Posts

RELATED POSTS