ksu_mosti2016

Tahun demi tahun Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melakar sejarah yang cemerlang apabila menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan, serantau dan juga global. Ini melambangkan pelaksanaan sistem tadbir urus yang berkesan dan tahap kompetensi yang tinggi warga Kementerian di pelbagai peringkat. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua warga MOSTI sama ada di ibu Pejabat, di Jabatan mahu pun di agensi-agensi di bawah MOSTI.

Kejayaan yang dicapai meliputi semua aspek merangkumi core business MOSTI dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkhidmatan dan juga pembudayaan STI negara. Ia disokong oleh sektor perkhidmatan sokongan termasuk pengurusan sumber manusia yang baik, akauntabiliti dalam pengurusan sumber kewangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan berasaskan perancangan dan pemantauan yang tersusun.

Saya juga amat bangga dengan sistem yang diamalkan di Kementerian berasaskan kepada prinsip `check and balance’ melalui pengauditan berkala dan penekanan kepada prinsip integriti. Dengan adanya unsur-unsur sokongan sebegini, setiap projek dan program yang telah dilaksanakan berupaya mencapai indikator prestasi yang tinggi yang telah dicapai oleh Kementerian. Pada masa yang sama, penekanan kepada impak dan bukan sahaja output, telah menyaksikan kumpulan sasar mendapat faedah dan manfaat langsung daripada setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh Kementerian. Ia secara langsung menyumbang kepada peningkatan kebajikan rakyat dan pertumbuhan ekonomi termasuk percambahan kekayaan negara.

Hala tuju pada masa hadapan, MOSTI perlu terus memperkukuh ekosistem dan skop tadbir urus STI bagi memastikan ia kekal relevan dan diiktiraf sebagai peneraju STI negara. Perkembangan dan kemajuan sains dan teknologi terkini dan pada masa hadapan memerlukan seluruh jentera di MOSTI memfokuskan kepada objektif yang jelas, kefahaman asas berkaitan STI yang kukuh dan penghayatan kepada tadbir urus yang baik.

Mengakhiri kata, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang telah bersama-sama membantu MOSTI berusaha melonjakkan agenda STI negara. Teruskan usaha untuk mencapai kecemerlangan dan marilah kita sama-sama bertekad untuk bekerja dengan penuh dedikasi sebagai satu pasukan yang mantap serta meningkatkan prestasi demi masa depan organisasi dan negara yang lebih gemilang.

 

Sekian, Terima kasih.

YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Bin Hj. Yahaya
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)