Print Friendly
Dana Pra Pengkomersilan

Kami adalah syarikat yang baru sahaja ditubuhkan. Oleh itu, terdapat dokumen tertentu yang tidak dapat dikemukakan sepertimana yang disyaratkan di dalam senarai semak di borang permohonan. Bagaimanakah cara untuk kami teruskan dengan permohonan ini?

Di dalam permohonan tersebut, sila nyatakan dokumen yang dimaksudkan dan perincikan sebab-sebab mengapa ianya tidak dapat dikemukakan. Walau bagaimanapun, peraturan ini tidak merangkumi maklumat yang perlu diisi di dalam borang permohonan tersebut.

Adakah peruntukan dana tersebut boleh digunakan untuk tujuan pembayaran gaji pekerja?

Tidak. Peruntukan dari Dana Pra Pengkomersilan hanya boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan sahaja. Pembayaran gaji adalah merangkumi kos pengurusan dan wajar ditampung oleh entiti sendiri. Sila rujuk Garis Panduan Dana Pra Pengkomersilan.

Setelah projek diluluskan, adakah kami berhak menerima kesemua jumlah kelulusan dana?

Pihak penerima dana berhak mendapat keseluruhan jumlah geran. Walau bagaimanapun, pembayaran akan dilakukan secara berperingkat seperti yang telah dipersetujui bersama di antara entiti dengan Kementerian. Pembayaran pertama akan dilakukan setelah dokumen perjanjian dimatikan setem manakala pembayaran seterusnya adalah secara berperingkat iaitu bergantung kepada pencapaian milestone projek. Pihak Kementerian akan menilai dengan terperinci terhadap jumlah peruntukan berdasarkan pencapaian dan nilai kos semasa projek.

Adakah entiti perlu mengembalikan peruntukan yang disalurkan setelah projek tamat?

Dana Pra Pengkomersilan ialah 100% geran yang diberikan kepada pemohon yang layak. Oleh yang demikian, tiada pembayaran balik perlu dilakukan. Walau bagaimanapun, sekiranya entiti gagal mematuhi perjanjian dan garis panduan dana, MOSTI berhak mengambil tindakan menurut perjanjian, iaitu termasuk meminta penerima dana membayar balik dana yang diterima.

Bagaimana dengan harta intelek?

Hasil yang dibangunkan daripada Dana Pra Pengkomersilan adalah digalakkan untuk didaftar dan dipatenkan. Setelah hasil tersebut didaftarkan, entiti perlu memberitahu MOSTI untuk tujuan rekod. Pemilikan harta intelek projek terletak sepenuhnya kepada entiti.

 

Dana Sains

Bolehkah peruntukan dana dipindahkan dari satu vot ke vot yang lain?

Boleh, semua permohonan pemindahan yang berjumlah 20% atau kurang daripada jumlah vote peruntukan asal haruslah dikemukakan ke Research Management Centre (RMC) manakala yang melebihi daripada 20% mesti melalui kelulusan pihak MOSTI dan permohonan perlu disertai dengan justifikasi yang kukuh. Pemindahan hanya boleh dilakukan sekali tetapi dalam kes-kes tertentu kelulusan boleh diberi melebihi dari sekali tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan dari Ketua Klaster.

Bolehkah penyelidik memohon untuk sesuatu pembelian:

– Peralatan atau perkhidmatan?

Penyelidik boleh memohon kepada MOSTI melalui RMC dengan justifikasi yang kukuh TETAPI tertakluk kepada dana yang telah diperuntukkan.

– Laptop, komputer peribadi, pencetak dan lain-lain?

Tidak boleh. Penyelidik telah dianggap dilengkapi dengan peralatan tersebut (yang disediakan oleh Universiti / Institusi Penyelidikan). TETAPI dalam hal tertentu keperluan untuk komputer berkuasa tinggi misalnya untuk menjalankan dan memproses data, penyelidik boleh mengemukakan permohonan untuk pembelian dengan menggunakan dana yang diperuntukkan.

Bolehkah penyelidik memohon untuk perlanjutan tempoh projek?

Boleh, dengan alasan dan justifikasi yang kukuh. Pihak Klaster berhak untuk tidak membenarkan perlanjutan tempoh sekiranya justifikasi yang dikemukakan tidak kukuh atau meragukan.

Bahagian Industri

Apakah itu Klaster Industri?

Bahagian Industri MOSTI telah ditubuhkan pada 16 Disember 2007 yang bertujuan untuk memainkan peranan penting dalam memperkasakan kemampuan dan kapasiti industri dalam bidang-bidang teknologi yang strategik iaitu Bahan Termaju, Pembuatan Termaju, Nanoteknologi, Tenaga Alternatif dan Waste to Wealth dalam menghadapi cabaran global. Ianya adalah selaras dengan perubahan dan peranan baru MOSTI.

Apakah fungsi Klaster Industri?

Merancang dan menggubal dasar-dasar berkaitan industri dalam bidang–bidang keutamaan iaitu, bahan termaju, pembuatan termaju, nanoteknologi, tenaga alternative dan waste to wealth. Mengurus dan mengendali penilaian strategik dan pemantauan projek-projek R&D di bawah klaster Industri yang dibiayai dengan menggunakan dana ScienceFund, InnoFund dan TechnoFund.

Apakah agensi-agensi di bawah Klaster Industri?

Klaster Industri terdiri daripada SIRIM Berhad, Agensi Nuklear Malaysia, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA), Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) dan Jabatan Standard Malaysia.

Bahagian Bioteknologi Kebangsaan (Biotek)

Apakah itu BioNexus?

BioNexus Status ialah satu gelaran yang dianugerahi kepada syarikat-syarikat bioteknologi yang berkelayakan, membuatkan mereka layak untuk mendapat keistimewaan-keistimewaan yang terkandung di dalam BioNexus Bill of Guarantees

Adakah anda tahu tentang BioNexus?

BioNexus Status ialah satu gelaran yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat bioteknologi yang berkelayakan di mana mereka layak untuk mendapat keistimewaan-keistimewaan yang terkandung di dalam BioNexus Bill of Guarantees

Apakah keistimewaan-keistimewaan yang terkandung di dalam BioNexus Bill of Guarantees?

 

  1. Kebebasan pemilikan;
  2. Kebebasan pada sumber dana secara global;
  3. Kebebasan membawa pekerja yang berilmu dan bermaklumat;
  4. Kelayakan untuk insentif-insentif kompetitif dan bantuan lain;
  5. Kelayakan untuk menerima bantuan piawaian dan akredetasi antarabangsa;
  6. Pengurusan mantap tentang Harta Intelektual(IP);
  7. Capaian untuk pusat kecemerlangan dan penyelidikan rangkaian pautan maklumat sokongan;
  8. Capaian untuk berkongsi makmal-makmal dan kemudahan yang berkaitan; dan
  9. BiotechCorp sebagai agensi setempat.
Innospace

Apa itu Innospace?

Innospace merupakan pusat inovasi komuniti yang ditubuhkan di premis SIRIM. Pada masa ini terdapat dua (tiga) Innospace yang sedang beroperasi iaitu Innospace Melaka, Sabah dan Sarawak. Innospace ditubuhkan khas untuk menyediakan satu platform bagi para pereka cipta akar umbi membangunakan idea mereka serta mendapat bantuan dari segi nasihat dan pakar rujuk dalam membangun dan mengkomersil produk inovasi. Innospace juga berperanan dalam membudayakan inovasi dalam kehidupan rakyat.

Siapa yang layak menggunakan Innospace?
Innospace dibuka kepada semua rakyat Malaysia terutamanya kepada pereka cipta akar umbi.

Apakah kemudahan yang terdapat di Innospace?
Innospace dilengkapi dengan peralatan yang mampu membantu para pereka cipta akar umbi membuat rekaan, prototaip dan modeling idea inovatif mereka serta akses komputer yang boleh membantu dalam membuat rujukan secara atas talian (online). Innospace juga menjalankan sesi ceramah dan latihan (bengkel) untuk pelbagai peringkat umur dari pra-persekolahan sehingga pereka cipta ynag sudah berumur. Ceramah dan bengkel yang dianjurkan oleh Innospace melibatkan kreativiti, inovasi dan pemasaran produk.

Bahagian Angkasa, Laut dan Atmosfera (S2S)

Apakah hasil yang diperolehi daripada Program Angkasawan Pertama Negara?

Selain dari menaikkan nama negara di peringkat dunia, meningkatkan minat dan kesedaran rakyat umum dan pelajar-pelajar khususnya terhadap kepentingan sains dan teknologi, program ini juga berjaya menanamkan rasa kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Ini adalah antara faedah tidak ketara (intangible) dari program tersebut. Antara faedah yang ketara (tangible) pula adalah hasil dari program penyelidikan sains mikrograviti yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik daripada UKM, UM, UPM, UiTM, MARDI dan Institut Perubatan Penerbangan, MINDEF. Dari analisa awal yang telah dilakukan, semua kajian saintifik yang dijalankan telah menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan, malahan beberapa hasil kajian tersebut telah menghasilkan beberapa paten yang berjaya difailkan di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun. Di samping itu, sekurang-kurangnya satu technology spin-off akan dikomersialkan. Angkasawan Negara juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau telah diminta untuk melaksanakan beberapa uji kaji saintifik oleh agensi angkasa antarabangsa seperti JAXA dan ESA.

Adakah kerajaan Malaysia berhasrat untuk meneruskan Program Angkasawan Negara Kedua?

Kerajaan telah bersetuju pada dasarnya, untuk meneruskan Program Angkasawan Negara Kedua ini. Penerusan program ini adalah penting untuk memastikan pembangunan keupayaan negara di dalam sektor angkasa dan juga bidang-bidang berkaitan seperti sains mikro-graviti, teknologi sistem sokongan hayat (life support system) dan kerjasama antarabangsa dapat diteruskan. Namun begitu, penghantaran angkasawan negara ke misi angkasa lepas, sama ada angkasawan kedua, mahupun misi lain akan datang yang menjadi sebahagian dari program ini, akan ditentukan keperluannya oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Program Angkasawan adalah suatu projek high content yang melibatkan pelbagai aspek yang memerlukan kepada perincian yang teliti. Antaranya adalah misi program yang harus mempunyai kandungan yang akan dapat memberikan pulangan yang lebih besar kepada negara di dalam bidang penemuan saintifik, penjanaan ilmu baru, dan penjanaan ekonomi negara. Ini memerlukan tempoh perlaksanaan misi di Stesen Angkasa antarabangsa (ISS) yang lebih panjang (contohnya beberapa bulan). Pembangunan misi saintifik ini telah pun dimulakan oleh pihak Kementerian melalui agensi di bawahnya sejak dua tahun lepas lagi. Aspek lain yang juga penting adalah kerjasama pelaksanaan program dengan negara Rusia atau dengan Amerika Syarikat. Hanya dua negara ini (sehingga hari ini) yang mempunyai keupayaan untuk menghantar angkasawan ke ISS. Kementerian telah pun mengadakan beberapa perbincangan awal dengan agensi angkasa kedua negara ini dan perbincangan lanjut akan dirancang lagi. Sehingga kini, perincian kerjasama ini masih sedang diteliti oleh pihak kerajaan.

Sejauh manakah keberkesanan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional?

Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) terdiri daripada tiga komponen, iaitu Komponen Pemantauan dan Pengumpulan Data, Komponen Pemprosesan dan Analysis dan Komponen Hebahan dan Disseminasi. Komponen Pemantauan dan Kutipan Data meliputi 28 buah stesen seismik, 17 buah stesen pasang surut, tiga buah pelampung tsunami dan 18 buah kamera pantai. Data dari semua stesen tersebut diterima secara masa nyata. Operasi pemantauan gempa bumi dan tsunami dijalankan secara berterusan 24 jam setiap hari sepanjang tahun. Di peringkat serantau dan antarabangsa, SAATNM kini dihubungkan dengan 25 buah stesen seismik dan 36 buah stesen pasang surut secara masa nyata. SAATNM juga dihubungkan secara terus dengan Pacific Tsunami Warning Center (PTWC), Hawaii, USA, Pusat Amaran Awal Tsunami Japan Meteorological Agency, Jepun, Pusat Amaran Awal Tsunami India, Agensi Klimatologi, Meteorologi dan Geofizika, Indonesia dan Biro Meteorologi Australia untuk menerima amaran awal tsunami. Kesemua maklumat ini memberi kelebihan kepada SAATNM bagi mengeluarkan maklumat yang tepat dan cepat tentang kejadian gempa bumi dan tsunami. Penyebaran maklumat dan amaran tsunami dilaksanakan melalui SMS Gateway, telefon, crawler TV, talian hotline, faksimili, Fixed Line Alert System (FLAS) dan laman web JMM. Siren amaran awal tsunami yang dipasang di 23 lokasi strategik akan diaktifkan sekiranya terdapat ancaman tsunami di kawasan pantai komuniti tersebut. Maklumat gempa bumi dan amaran awal tsunami akan dikeluarkan dalam tempoh masa 12 minit selepas sesuatu kejadian gempa bumi.

Bagaimanakah amaran awal cuaca buruk dihebahkan secara meluas kepada orang ramai?

JMM menggunakan medium komunikasi dalam penyebaran maklumat seperti penghantaran SMS kepada individu serta agensi pengurusan bencana mengenai amaran awal cuaca buruk. Hebahan juga dikeluarkan dalam bentuk „crawler‟ yang disiarkan dalam media elektronik utama tempatan (televisyen) seperti RTM, TV3, Astro Awani dan juga Bernama. Selain itu, perkembangan terkini keadaan cuaca semasa juga disiarkan sebanyak 2 kali sehari melalui siaran televisyen di RTM iaitu melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia pada 8.30 pagi dan juga rancangan Berita Wilayah pada 5.15 petang. Melalui rancangan ini, maklumat cuaca semasa serta amaran cuaca buruk akan disampaikan kepada orang awam. Maklumat yang sama juga dihebahkan kepada radio-radio tempatan dan akhbar-akhbar utama negara. JMM juga melakukan hebahan melalui laman web rasmi, www.met.gov.my dengan mengeluarkan kenyataan akhbar bagi memberi penjelasan tentang amaran atau nasihat yang dikeluarkan.

Bahagian Teras Sains & Teknologi

Apakah fungsi utama Bahagian/Klaster Teras Sains & Teknologi?

Fungsi utama Bahagian Teras S&T adalah melaksanakan penilaian dan pemantauan bagi projek-projek R&D bagi dana ScienceFund (SF), Community InnoFund (CIF) dan TechnoFund (TF). Bahagian ini juga berperanan meningkatkan tahap kesedaran sains dan teknologi dengan menyediakan persekitaran yang menggalakkan aktiviti reka cipta, inovasi dan pembangunan teknologi di kalangan masyarakat.

Namakan agensi-agensi di bawah MOSTI yang diselaraskan oleh Bahagian/Klaster Teras Sains & Teknologi?

Jabatan Kimia Malaysia, Akademi Sains Malaysia dan Pusat Sains Negara

  1. Bagaimana saya ingin memohon kerjasama daripada pihak Pusat Sains Negara untuk mengadakan Kem Sains di kawasan komuniti saya?Jawapan: Anda dikehendaki untuk mengemukakan permohonan bertulis terus kepada Pusat Sains Negara dan salinan kepada Setiausaha Bahagian Bahagian/Klaster ini.

Alamat Pusat Sains Negara:

Pusat Sains Negara,
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,
Persiaran Bukit Kiara 50662 Bukit Kiara,
Kuala Lumpur

Alamat Bahagian Teras Sains & Teknologi
Bahagian Teras Sains & Teknologi
Aras 2,  Blok C4
Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62662 Putrajaya
Wilayah Persekutuan Putrajaya

Bahagian Dasar ICT

Apakah peranan NITC?

Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) merupakan organisasi utama yang menguruskan ICT secara strategik untuk kepentingan negara. Majlis tersebut berfungsi sebagai penasihat utama dan perunding kepada Kerajaan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan ICT dalam pembangunan nasional.

Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC), sebagai penasihat utama kerajaan dalam bidang ICT dan ‘think tank’, mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan bahawa agenda ICT Nasional adalah selaras dengan cita-cita Malaysia. Di antara misinya termasuk memastikan bahawa penggunaan ICT dioptimumkan di dalam ETP dan GTP. Peranan dan fungsi NITC sedang berkembang untuk membantu Agenda Transformasi Nasional, menekankan usaha lebih bersepadu dalam mengurangkan dan akhirnya menghilangkan “silo” atau “ad-hoc” inisiatif dalam pembangunan ICT Nasional.

Apakah inisiatif Kerajaan untuk memastikan Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) berjalan lancar?

Dasar Keselamatan Siber Nasional telah dirancang untuk memudahkan Malaysia bergerak menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (K-ekonomi).

Dasar ini diformulasikan berdasarkan kepada Rangka Keselamatan Siber Nasional yang terdiri dari undang-undang dan peraturan, teknologi, organisasi awam-swasta, institusi dan aspek antarabangsa.

Dasar Keselamatan Siber Nasional akan mengurangkan risiko kepada Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) yang terdiri daripada sistem maklumat rangkaian 10 sektor-sektor kritikal. Sektor-sektor CNII tersebut adalah:

  • Pertahanan dan keselamatan negara
  • Perbankan/kewangan
  • Maklumat dan komunikasi
  • Tenaga
  • Pengangkutan
  • Air
  • Perkhidmatan kesihatan
  • Kerajaan
  • Perkhidmatan kecemasan
  • Makanan dan pertanian

Apakah bentuk sokongan yang boleh diberikan kepada penganjur yang memohon untuk mendapatkan sokongan dari MOSTI bagi penganjuran persidangan, bengkel atau seminar berkaitan ICT?

Sokongan yang diberikan adalah berasaskan kepada perkara berikut:

  • Penggunaan nama dan logo MOSTI hanya di leaflet, brochure, bunting, banner, iklan atau sebarang penerbitan yang berkait rapat dengan kempen/promosi penganjuran tersebut sahaja;
  • MOSTI tidak disabitkan dengan sebarang perkara, sekiranya pihak penganjur menghadapi masalah penganjuran atau didakwa pihak tertentu;
  • Tidak melibatkan sumbangan kewangan daripada MOSTI;
  • Kakitangan MOSTI tidak dilantik menganggotai sebarang jawatankuasa penganjuran persidangan dan kempen/promosi pada penganjuran tersebut;
  • MOSTI tidak terlibat dengan sebarang urusan surat menyurat untuk menjemput peserta program tersebut dan;
  • MOSTI akan membatalkan kebenaran ini sekiranya timbul sebarang kemusykilan yang bercanggah dengan dasar MOSTI.

Adakah eContent Fund di bawah MOSTI masih menerima peruntukan dalam RMKe-10?

Dalam RMKe-10, program eContent Fund di MOSTI tidak diteruskan lagi kerana tiada peruntukan. Walau bagaimanapun, peruntukan bagi pembangunan kandungan digital kini telah disalurkan ke Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Dana tersebut dipanggil Dana Industri Kreatif. Pemohon yang berminat dinasihatkan untuk mengakses laman web http://www.kpkk.gov.my untuk keterangan lanjut.

CyberSecurity Malaysia

Siapakah CyberSecurity Malaysia?

CyberSecurity Malaysia merupakan sebuah agensi di bawah kawal selia MOSTI yang dipertanggungjawabkan bagi memantau aspek e-Keselamatan Nasional. Ianya adalah sebuah syarikat berhad dengan jaminan (A Company Limited by Guarantee). Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web korporat CyberSecurity Malaysia iaitu: www.cybersecurity.my

Apakah Peranan CyberSecurity Malaysia?

Kerajaan telah mewartakan peranan CyberSecurity Malaysia melalui Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan Jil.53, No.13, bertarikh 22 Jun 2009 dengan mengenalpasti CyberSecurity Malaysia sebagai sebuah agensi yang membekalkan perkhidmatan kepakaran keselamatan ICT dan mengenalpasti secara berterusan bidang-bidang yang membahayakan keselamatan Negara.

Apakah produk atau servis CyberSecurity Malaysia?

Sebagai peneraju kepakaran keselamatan siber Negara, CyberSecurity Malaysia menyediakan perkhidmatan berikut:

  • Perkhidmatan Pusat Bantuan Cyber999, dan Pasukan Tindak balas Kecemasan Komputer Malaysia
    (MyCERT) www.mycert.org.my
  • Perkhidmatan Forensik Digital (CyberCSI) dan Pemulihan Data
  • Pengurusan Keselamatan dan Amalan Terbaik
  • Perkhidmatan Penilaian Kelemahan dan Jaminan Keselamatan
  • Badan Pensijilan Common Criteria Malaysia www.cybersecurity.my/mycc
  • Pembangunan Profesional Keselamatan Maklumat https://www.cyberguru.my/cybersec/
  • Program Kesedaran Keselamatan Maklumat melalui Program CyberSAFE (Cyber Security Awareness For Everyone) www.cybersafe.my
  • Kajian Dasar Keselamatan Maklumat

Apakah fungsi CyberSecurity Malaysia?

CyberSecurity Malaysia diberi mandat oleh Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan perkhidmatan untuk seluruh rakyat Malaysia dalam bidang berikut:

  • Perkhidmatan kecemasan siber dan forensik digital.
  • Perkhidmatan pengurusan kualiti keselamatan siber.
  • Pembangunan professional dalam bidang keselamatan maklumat dan perkhidmatan capaian (outreach).
  • Pelaksanaan Dasar Keselamatan Siber Nasional.
  • Pusat koordinasi teknikal nasional bagi aspek keselamatan siber.
  • Penyelidikan dan kajian risiko ancaman siber.

Apakah visi atau wawasan CyberSecurity Malaysia?

CyberSecurity Malaysia berazam untuk menjadi Sebuah Pusat Rujukan dan Pakar Keselamatan Siber Negara Yang Diiktiraf di Peringkat Global Menjelang 2020. Apakah misi atau matlamat CyberSecurity Malaysia? CyberSecurity Malaysia wujud untuk memelihara keselamatan ruang siber negara agar sentiasa kondusif dan menggalakkan kemapanan, kemakmuran sosial dan penciptaan kekayaan.

Adakah anugerah yang pernah diterima oleh CyberSecurity Malaysia?

Pada tahun 2010, CyberSecurity Malaysia telah menempa kejayaan dan pengiktirafan samada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Antara pencapaian dan pengiktirafan tersebut adalah:

  • Anugerah Khas Program Corporate Social Responsibility (CSR) 2010 – oleh Committee for ASEAN Youth Coorperation and the National Youth Commision Philippines
  • Anugerah Jenama Terbaik Keselamatan 2009 – oleh The Asia Pacific BrandLaureate Foundation (The Grammy Awards for Branding), SMEs Chapter Awards. Ini merupakan kali ke-dua CyberSecurity Malaysia menerima anugerah ini. Kali pertama adalah pada tahun 2008

Pengiktirafan turut diberikan kepada pegawai-pegawai CyberSecurity Malaysia. Yang paling berprestij adalah The Harold F. Tipton Lifetime Achievement Award 2010 oleh International Information System Security Certification Consortium (ISC)2, yang berpengkalan di USA, yang dianugerahkan kepada Lt. Kol. Dato‟ Husin Jazri, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia. Beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah menerima anugerah ini sejak diperkenalkan pada tahun 2001 (10 tahun yang lalu).

Siapakah yang mengetuai pucuk pimpinan CyberSecurity Malaysia?

CyberSecurity Malaysia diketuai oleh Jeneral Dato‟ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara) selaku Pengerusi Lembaga Pengarah, dan Lt Kol Dato‟ Husin bin Jazri (Bersara) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Apa yang dimaksudkan dengan Cyber999?

Cyber999 merupakan sebuah pusat bantuan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia untuk membantu seluruh rakyat Malaysia menangani isu-isu keselamatan siber, iaitu insiden keselamatan atau ancaman keselamatan yang dihadapi oleh orang ramai semasa menggunakan Internet.

Bagaimana caranya menggunakan khidmat bantuan Cyber999?

Ada berbagai cara untuk menghubungi Cyber999. Yang paling popular adalah melalui e-mel ke alamat ini: cyber999@ cybersecurity.my atau telefon nombor ini: 1 300 88 2999.

Cara-cara lain untuk menghubungi Cyber999 ada dipamerkan di laman web ini: http://www.mycert.org.my/cyber999

Bolehkah saya mendapat maklumat insiden yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999?

Ya. Jumlah insiden atau jenis-jenis insiden yang dilaporkan ke Cyber999 boleh didapati di laman web ini: www.mycert.org.my

Sebanyak 8,090 insiden telah dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 pada 2010, peningkatan sebanyak 127% berbanding 3,564 insiden pada 2009.

Apakah fungsi Jabatan Forensik Digital?

Jabatan Forensik Digital menyediakan khidmat kepakaran dalam segala aspek berkaitan forensik digital termasuk pemulihan data cakera keras dan telefon mudah alih, serta kajian forensik data, audio dan video. Ia juga adalah pusat rujukan bagi pertukaran maklumat dan kemahiran untuk agensi penguatkuasa undang-undang & badan regulatori. Pakar forensik digital CyberSecurity Malaysia telah diiktiraf sebagai saksi pakar di mahkamah melalui Perisytiharan 399 Kanun Acara Jenayah. Sebanyak 600 kes dikendalikan pada tahun 2010, berbanding 374 pada tahun 2009 (peningkatan sebanyak 60.4%)

Apakah yang dimaksudkan dengan Skim Common Criteria Malaysia (Malaysian Common Criteria Scheme (MyCC))?

Maklumat terperinci mengenai MyCC boleh didapati di laman web ini: www.cybersecurity.my/mycc
Skim MyCC diwujudkan berikutan perlantikan CyberSecurity Malaysia oleh Kerajaan sebagai badan pensijilan tunggal untuk skim penilaian dan pensijilan berdasarkan Common Criteria, MS ISO/IEC15408. CyberSecurity Malaysia juga diterima telah sebagai ahli Common Criteria Recognition Arrangement (CCRA) dikalangan 26 buah negara-negara maju. Setakat ini (Disember 2010), sebanyak 33 produk ICT tempatan dinilai melalui Malaysian Common Criteria Scheme (MyCC).

Apakah yang dimaksudkan dengan Perkhidmatan Pembangunan Profesional Keselamatan Maklumat?

Jabatan Pembangunan Profesional Keselamatan Maklumat (Information Security Professional Development) mengendalikan kursus latihan keselamatan siber dan pensijilan professional dan telah membantu seramai 1,720 profesional di Malaysia mendapat pensijilan antarabangsa di dalam bidang keselamatan maklumat setakat 31 Disember 2010. Untuk maklumat lanjut sila layari www.cybersecurity.my atau https://www.cyberguru.my/cybersec/

Adakah CyberSecurity Malaysia menganjurkan seminar atau persidangan?

Ya, CyberSecurity Malaysia amat aktif dalam perkongsian ilmu dan kerap mengadakan seminar dan persidangan bertaraf dunia. Sila layari laman web rasmi CyberSecurity Malaysia www.cybersecurity.my untuk maklumat atau pengumuman tentang seminar atau persidangan yang akan dibawakan oleh CyberSecurity Malaysia.

Sejak tahun 2010, CyberSecurity Malaysia menganjurkan acara tahunan yang digelar CSM-ACE, iaitu bermaksud „Pameran, Persidangan dan Penganugerahan Keselamatan Siber Malaysia‟ (Cyber Security Malaysia Awards, Conference and Exhibition, “CSM-ACE”).

CSM-ACE merupakan acara keselamatan maklumat terbesar di rantau Asia Tenggara, turut menampilkan penyampai (speaker) bertaraf dunia. Majlis makan malam dan anugerah Malaysia Cyber Security Awards turut diadakan sempena CSM-ACE. Maklumat terperinci boleh didapati di laman web www.csm-ace.my

CyberSecurity Malaysia juga menerajui sambutan Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day) pada bulan Februari setiap tahun, dan Hari Keselamatan Komputer Sedunia (Computer Security Day) pada bulan November setiap tahun. Sambutan di Malaysia diadakan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber di kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanakan caranya untuk menghubungi CyberSecurity Malaysia?

Alamat, nombor telefon, peta lokasi, dan sebagainya ada dipamerkan pada laman web CyberSecurity Malaysia. Ini pautannya: http://www.cybersecurity.my/en/about_us/contact/main/detail/732/index.html

Untuk pertanyaan am: info@cybersecurity.my
Pertanyaan tentang latihan (training) : training@cybersecurity.my
Untuk melaporkan insiden keselamatan ke Pusat Bantuan Cyber999 : cyber999@cybersecurity.my

Alamat ibu pejabat :

CyberSecurity Malaysia,
Level 8, Block A,
Mines Waterfront Business Park,
No 3 Jalan Tasik, The Mines Resort City,
43300 Seri Kembangan,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Waktu bekerja :
Isnin- Jumaat 08:30 – 17:30 waktu Malaysia (+8 GMT)
Telefon pejabat : +603 – 8946 0999, +603 – 8992 6888

MIMOS Berhad

Apa itu MIMOS Berhad (MIMOS) dan peranannya sebagai agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia?

MIMOS Berhad ditubuhkan pada tahun 1985 di bawah Jabatan Perdana Menteri dan perbadankan pada 16 Mac 1995. MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia dan menumpukan kepada pembangunan dan penyelidikan (reseach and development, R&D) yang didorong pasaran seperti Advanced Analysis & Modeling, Advanced Computing, Information Security, Intelligent Informatics, Knowledge Technology, Microenergy, Microelectronics, Nanoelectronics, Psychometrics dan Wireless Communications.

Apakah produk keluaran MIMOS?

MIMOS tidak mengeluarkan produk. MIMOS hanya melesenkan platform teknologinya kepada syarikat ICT tempatan yang berkelayakan bagi mengukuhkan keupayaan mereka untuk bersaing secara global dan meningkatkan rantai nilai industri ICT Malaysia. Setelah menerima teknologi MIMOS, penerima teknologi akan terus mengembangkan platform teknologi ini menjadi produk.

Dari mana MIMOS mendapatkan sumber kewangan dan bagaimana ia mengukur kejayaannya?

MIMOS adalah sebuah organisasi tidak membuat keuntungan yang menerima sumber kewangan dari Kementerian Kewangan. MIMOS menjalankan R&D bagi memperkasa industri watan. MIMOS mengukur kejayaan apabila para penerima teknologi mampu mengembangkan perniagaan mereka serta memasarkan produk yang berasaskan teknologi platform yang telah MIMOS lesenkan.