Print Friendly

 

UKK_2817

KUALA LUMPUR (7 Februari 2017) – Pengguna internet digesa agar menjadikan internet sebagai platfom pengumpulan ilmu yang berguna. Selain itu, mereka juga harus mengamalkan tatacara penggunaan internet secara positif dan beretika serta bertanggungjawab terhadap sesuatu tindakan yang diambil terutama dalam penyebaran dan perkongsian maklumat serta visual.

Gesaan tersebut dibuat oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sempena ‘Safer Internet Day’ 2017 yang disambut di seluruh dunia pada hari ini dengan tema “Be The Change: Unite For A Better Internet”.

“Seiring dengan evolusi teknologi maklumat dan komunikasi masa kini, orang ramai lebih banyak melayari internet dan mengakses laman media sosial sama ada untuk berkomunikasi atau berkongsi maklumat dan juga visual. Hasilnya, aktiviti tular menjadi satu fenomena yang semakin berleluasa. Justeru, pengguna internet harus tahu menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum ianya tular kepada orang lain.” ujar Datuk Seri Panglima Wilfred.

‘Safer Internet Day’ merupakan satu acara tahunan yang disambut secara global oleh lebih 100 buah negara di seluruh dunia dengan membawa pelbagai mesej dalam melestarikan budaya internet yang beretika. Di Malaysia, CyberSecurity Malaysia mengambil inisiatif murni ini untuk menerajui sambutan ‘Safer Internet Day’ sejak tahun 2010.

Sementara itu, Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia berkata, “Safer Internet Day kini menjadi sebahagian dari program CyberSAFE bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna internet mengenai penggunaan internet dan komputer secara berhemah. Mereka harus menjadikan amalan penggunaan internet secara beretika sebagai budaya hidup agar mereka tidak menjadi mangsa jenayah siber selain mewujudkan persekitaran siber yang makmur.”

Sempena sambutan ‘Safer Internet Day’, CyberSecurity Malaysia memperkenalkan kempen ‘Çallout Message – MyViralVow’. Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna internet tentang perlunya tanggungjawab dan etika ketika berkongsi sesuatu maklumat serta visual yang dilakukan secara dalam talian melalui aktiviti tular atau ‘online viral’.

Tular berupaya mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat terhadap hakikat sebenar sesuatu krisis, tragedi atau insiden. Maklumat serta visual tersebut juga mampu menyentuh sensitiviti, privasi dan reputasi sesebuah organisasi, individu malah negara.

Melalui kempen ini, para pengguna internet diharap dapat menjadi netizen yang bijak menilai kesahihan dan ketulenan sesuatu maklumat serta visual yang diperolehi sebelum menularkannya melalui laman-laman media sosial.