Portal Rasmi
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Small Font Medium Font Large Font
Light Button Red Button Blue Button
 
Ministry of Science, Technology and Innovation (MOSTI)
Aktiviti & Program
 
PDF Cetak E-mail

program_n_aktiviti




 

1.  Pembangunan Petunjuk Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Kebangsaan

Pembangunan petunjuk STI kebangsaan adalah penting bagi membantu penggubal dasar mengenal pasti hala tuju dan potensi pembangunan STI negara. MASTIC bertanggungjawab mengumpulkan maklumat, mengeluarkan statistik dan membangunkan petunjuk rasmi yang berkaitan dengan status, trend dan hala tuju masa depan STI di Malaysia. Statistik dan petunjuk tersebut diperoleh hasil daripada beberapa kajian yang dijalankan secara dwitahunan dengan merujuk kepada panduan "Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD)". Berikut merupakan aktiviti kajian yang dijalankan:

mastic_rnd_1

i) Kajian Penyelidikan dan Pembangunan Kebangsaan

Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengukur kadar pelaburan dalam menghasilkan pengetahuan sains dan teknologi yang baru dengan melihat pencapaian di dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara. Hasil daripada kajian ini menyediakan gambaran menyeluruh mengenai perkembangan aktiviti R&D yang dijalankan oleh sektor awam dan swasta di Malaysia. Data aktiviti R&D yang tepat dan terkini perlu dikumpulkan secara komprehensif bagi menyediakan input yang penting bagi penggubal dasar.

mastic_innovation_1

ii) Kajian Inovasi Kebangsaan

Kajian Inovasi Kebangsaan telah dijalankan sejak tahun 1994 bagi menyediakan maklumat berkenaan dengan tahap perkembangan teknologi negara. Ia membolehkan penggubal dasar mengenal pasti ciri-ciri inovasi secara komprehensif yang amat penting untuk campur tangan dasar. Kaedah yang diguna pakai di dalam kajian ini adalah berdasarkan Oslo Manual dan Community Innovation Survey yang dijalankan di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

awareness

iii) Kajian Kesedaran Awam Sains & Teknologi Malaysia

Kajian ini bertujuan untuk mengukur tahap kesedaran rakyat Malaysia, sikap, minat dan pemahaman sains dan teknologi (S&T) serta sejauh mana penglibatan masyarakat umum di dalam program S&T dan kejayaan pelaksanaan program-program tersebut. Hasil penemuan kajian ini adalah penting bagi penggubal dasar untuk merancang dan melaksanakan strategi yang sesuai dalam memastikan S&T mudah difahami dan lebih menarik minat masyarakat. Masyarakat awam sebaliknya akan mendapat faedah melalui program S&T yang efektif, di mana ia akan membawa kesan yang positif kepada pembangunan sosial dan ekonomi. Selain itu, perbandingan boleh dilakukan dengan negara-negara lain bagi tujuan penggubalan dasar dan penandarasaan.

bibliometric
iv) Kajian Bibliometrik Malaysia

    Kajian bibliometrik kebangsaan dilaksanakan sebagai asas kepada pembangunan pangkalan data bibliometrik kebangsaan yang diperlukan untuk merancang pembangunan strategik sains dan teknologi (S&T) negara. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti output pengetahuan S&T oleh saintis Malaysia yang diukur dengan melihat kepada bilangan kertas kerja yang dihasilkan di peringkat antarabangsa, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pencapaian institusi dan individu dalam bidang tertentu serta mengenal pasti tahap kerjasama di kalangan institusi dan negara.

st20indicators

v) Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia

Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia merupakan gabungan data daripada kajian-kajian yang dilaksanakan oleh MASTIC termasuk data-data sekunder yang diperoleh daripada organisasi dan agensi lain. Laporan ini memberikan maklumat terperinci terhadap pencapaian dan trend S&T seperti pendidikan, pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan, inovasi, penerbitan saintifik dan kesedaran awam. Ia juga mengandungi petunjuk yang komprehensif bagi menandaras status dan pencapaian negara dengan tahun-tahun sebelumnya dan juga perbandingan antarabangsa.

2.        Pangkalan data Online : MASTICLink

MASTICLink merupakan sumber maklumat tunggal yang menyimpan maklumat berkaitan dengan sumber manusia, projek dan kemudahan S&T negara. Maklumat-maklumat ini disumbangkan oleh pelbagai individu dan organisasi daripada institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut penyelidikan kerajaan (GRI) di Malaysia. Maklumat tersebut boleh dicapai oleh orang awam melalui portal MASTIC di mana pendaftaran (percuma) sebagai ahli portal adalah diperlukan. Di antara maklumat yang terdapat di dalam MASTICLink ialah:

i) Direktori Organisasi S&T

Direktori ini mengandungi senarai organisasi yang terlibat di dalam aktiviti sains dan teknologi di Malaysia. Maklumat yang diperoleh adalah berdasarkan daripada kajian yang dijalankan oleh MASTIC dan dikategorikan kepada sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

ii) Direktori Modal Insan S&T

Mengandungi profil sumber manusia yang terlibat di dalam aktiviti S&T daripada sektor awam dan swasta. Daripada senarai CV tersebut, MASTIC telah menerbitkan senarai pakar S&T yang diiktiraf oleh organisasi masing-masing.

iii) Direktori Projek S&T

Maklumat projek S&T yang sedang atau telah dilaksanakan oleh penyelidik daripada IPT dan GRI disimpan di dalam pangkalan data ini. Projek yang direkodkan adalah terdiri daripada projek yang dibiayai oleh geran penyelidikan MOSTI seperti ScienceFund, TechnoFund dan InnoFund serta projek-projek lain yang dibiayai oleh agensi kerajaan, universiti dan swasta.

iv) Direktori Kemudahan dan Peralatan S&T

Pangkalan data ini mengandungi senarai kemudahan dan peralatan S&T yang terdapat di agensi-agensi kerajaan termasuk universiti-universiti. Ini merangkumi makmal dan kemudahan khusus, tempat percubaan dan peralatan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta aktiviti S&T yang berkaitan. Direktori kemudahan dan peralatan S&T diterbitkan oleh MASTIC bagi menggalakkan perkongsian peralatan dan juga mengelakkan pembelian peralatan saintifik yang sama di kalangan agensi kerajaan.

v) Direktori Produk/Teknologi S&T

Pangkalan data ini mengandungi maklumat produk, teknologi dan inovasi penyelidik tempatan yang berpotensi untuk dikomersialkan. Selain itu, pangkalan data ini juga mengandungi maklumat projek siap yang mempunyai potensi untuk dibangunkan ke peringkat yang lebih tinggi.

vi) Pangkalan Data Dilanggan : Tech Watch (Explorer), LawNet, Science Online

Menyediakan maklumat terkini mengenai bidang teknologi yang berkembang pesat pada masa kini dan berpotensi untuk dimajukan pada masa hadapan bagi tujuan penyelidikan dan pengkomersilan. MASTIC mengharapkan agar daripada langganan pangkalan data atas talian tersebut, individu dan organisasi yang berminat akan memperoleh maklumat STI yang strategik yang terkini agar pengetahuan yang diperoleh setaraf dengan negara-negara maju.


3.       Knowledge Resource for Science and Technology Excellence, Malaysia (KRSTE.my)

KRSTE.my merupakan adalah satu inisiatif untuk meningkatkan sistem pengurusan maklumat MOSTI dimana ia berkemampuan untuk mengintegrasikan maklumat daripada pelbagai pangkalan data dan sistem, bagi membolehkannya maklumat STI dan R&D dicapai melalui satu sumber.

Kepentingan sistem KRSTE.my sangat berkait rapat dengan aktiviti semasa MOSTI yang bertanggungjawab menjana pengetahuan berasaskan STI melalui pengumpulan, penyediaan, pengurusan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan ICT secara meluas. Sistem KRSTE.my akan: 

  • Menggalakkan kolaborasi antara komuniti S&T dari dalam dan luar negara untuk perkongsian maklumat aktiviti R&D seperti melalui program Brain Gain dan pengkomersilan hasil R&D;
  • Dapat meningkatkan produktiviti R&D/S&T negara dengan kemampuan perkongsian dan pertukaran maklumat di kalangan komuniti STI;
  • Meningkatkan keupayaan capaian dan carian maklumat STI bagi membantu penggubal dasar dan agensi perancangan pusat membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat;
  • Sebagai platform kepada MOSTI untuk membangunkan kandungan maklumat STI tempatan, Indigenous knowledge serta memelihara memori institusi (institutional memory) dengan menyediakan kemudahan perkongsian dan capaian setempat;
  • Menyediakan platform bagi aktiviti pengurusan pengetahuan seperti pengumpulan, penyimpanan, pengurusan dan penyebaran maklumat secara elektronik mengikut keperluan tahap keselamatan kandungan.

4.        Insentif S&T

Penyelidikan dan pembangunan serta inovasi teknologi memainkan peranan penting dalam strategi kerajaan Malaysia untuk memastikan perkembangan mampan dan kemajuan ekonomi yang berasaskan pengetahuan (k-ekonomi). Menyedari faktor ini, kerajaan telah meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap perkembangan sains dan teknologi di negara ini.

i) Geran Industri dan R&D

Sejak 1988 lagi, Kerajaan telah melaksanakan sistem geran berpusat untuk membiayai penyelidikan sains dan teknologi (S&T) di institusi awam dan agensi penyelidikan. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertanggungjawab menguruskan dana dan melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan S&T negara. Agensi swasta lain seperti MDC, MSC dan MTDC turut sama dalam memberikan bantuan.



ii) Pinjaman dan Modal Usaha Niaga

Sejak kebelakangan ini, kerajaan Malaysia melalui pelbagai kementerian dan agensi telah membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mencapai kejayaan dari peringkat awal sehinggalah ke pelbagai peringkat perkembangannya. Bantuan kewangan ditawarkan untuk membantu memulakan atau mengembangkan perniagaan ini dan mencapai kejayaan melalui pinjaman perniagaan yang diperuntukkan kepada usahawan dan pemilik perniagaan industri tertentu. Pinjaman ini boleh didapati melalui institusi kewangan seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad serta Bank Industri dan Teknologi Malaysia Berhad bagi membolehkan usahawan ini mendapat pinjaman dan kemudahan kredit sehingga 100% dalam usaha menyokong aspirasi perniagaan mereka. Manakala modal usaha niaga pula merupakan satu alternatif pembiayaan. Usaha Kerajaan menyokong industri Modal Usaha Niaga ini telah terbukti melalui komitmennya pada masa lepas malah usaha ini masih diteruskan dengan memperuntukkan dana yang mencukupi untuk memenuhi keperluan industri.

iii) Insentif Cukai S&T

Penglibatan syarikat swasta dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) penting bagi mendorong pengindustrian negara. Untuk menggalakkan lagi penglibatan sektor swasta dalam menjalankan R&D, kerajaan Malaysia telah menyediakan pelbagai jenis insentif untuk aktiviti R&D. Kebanyakan potongan dan elaun R&D diperuntukkan menurut Akta Cukai Pendapatan 1967. Kategori insentif melalui Status Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan diperuntukkan menurut Akta Promosi Pelaburan 1986.

iv) Dana Pembangunan Modal Insan (HCD)

Program Dana Pembangunan Sumber Manusia dalam bidang S&T adalah usaha Kerajaan untuk mengukuhkan keupayaan dan kebolehan sumber manusia meningkatkan S&T di Malaysia. Antara objektif program ini adalah menambah bilangan ahli sains dan penyelidik yang sememangnya kurang di negara ini. Matlamat program ini juga untuk mengukuhkan lagi fungsi R&D di institusi pengajian tinggi dan institusi penyelidikan awam; dan meningkatkan daya saing negara melalui pembangunan sumber manusia yang terlatih, inovatif dan kreatif.


5.        Portal MASTIC

Sebagai pusat maklumat STI negara, MASTIC perlu menyediakan maklumat STI secara atas talian agar mudah dicapai oleh pengguna dari dalam dan luar MOSTI. Justeru itu, MASTIC telah membangunkan laman web yang boleh dicapai di www.mastic.gov.my. Terdapat pelbagai maklumat yang boleh diperoleh melalui laman web tersebut seperti maklumat bahan-bahan penerbitan MASTIC, insentif S&T dan dana/geran R&D, pangkalan data MASTICLink, pangkalan data luar yang dilanggan dan capaian ke siste KRSTE.my. Pengguna dikehendaki mendaftar sebagai ahli portal secara percuma sebelum dibenarkan mencapai maklumat STI kerana tahap capaian pengguna akan ditentukan melalui maklumat yang dimasukkan.



6.        Perpustakaan MOSTI

MASTIC bertanggungjawab menguruskan operasi Perpustakaan MOSTI sesuai dengan fungsinya sebagai pusat maklumat STI. Perpustakaan MOSTI merupakan sumber maklumat yang unggul bagi menyokong visi MOSTI untuk menjadi pelopor dalam memajukan sains, teknologi dan inovasi di Malaysia.

Perpustakaan ini menyimpan koleksi bahan rujukan di dalam pelbagai bidang STI seperti inovasi, bioteknologi, biodiversiti, sains marin, teknologi informasi dan telekomunikasi (ICT) dan pembangunan mapan serta mengandungi maklumat STI mengenai dasar, pengurusan STI, masa hadapan dan alam sekitar. Sehingga kini perpustakaan MOSTI menempatkan lebih daripada 13,000 keluaran monographs, 32 jenis majalah/jurnal yang dilanggan, surat khabar, pangkalan data atas talian (dalaman MOSTI dan antarabangsa), sumber multimedia, tesis, laporan tahunan, proceeding dan laporan-laporan lain.

Perpustakaan MOSTI adalah dibuka kepada semua penyelidik/kakitangan kerajaan, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga individu daripada sektor awam dan swasta yang berminat. Untuk maklumat lanjut mengenai perpustakaan, sila layari laman web perpustakaan melalui laman web MOSTI di www.mosti.gov.my atau portal MASTIC di www.mastic.gov.my atau login terus ke iportal.mastic.gov.my


<kembali> <seterusnya>

Source : MASTIC

Terakhir dikemaskini pada Khamis, 21 Julai 2011 11:11
 
 
Direktori Web

Anda Adalah Pelawat Ke :

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter

Anda telah lawati portal ini [1] kali hari ini
Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 dan ke atas dengan resolusi 1024 x 768

Dikemaskini Pada :

 
msc-status
  ipv6
w3c W3C xhtml W3C css

Hakcipta Terpelihara © 2014 MOSTI : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Aras 1-7, Block C4 & C5, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62662 Putrajaya, Wilayah Persekutuan
Tel : (603) 8885 8000 | Faks : (603) 8888 9070 | E-mel : info[at]mosti.gov.my


 
go to top