Suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi. Ia dijalankan oleh kaunselor profesional bagi membantu perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh dalam menyelesaikan masalah berkaitan tugas-tugas perkembangan dan keadaan hidup. Pertemuan adalah secara sukarela dan berterusan sepanjang hayat berlandaskan Etika Kaunseling.
Kaunseling bukan bererti nasihat, walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik juga untuk klien . Keistimewaan khidmat kaunseling ialah ia membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi. Penerimaan dan perakuan sumber diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri.
AKTA KAUNSELOR 1998 [AKTA 580]
Terdapat suatu akta yang dilihat mengawal selia perkembangan dan penguatkuasaan peraturan-peraturan berkaitan dengan profesion kaunselor iaitu Akta Kaunselor 1998 [Akta 580] mendefinisikan kaunseling sebagai ;
"..Suatu proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu perubahan, kemajuan, penyesuaian yang holistik, baik dan sukarela pada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat klien.."
Akta Kaunselor 1998 [Akta 580] sudah diterima pakai dari segi amalan dan perundangan profesion di Malaysia sejak ianya diwartakan pada 19 Mac 1998. Seksyen 22 Akta Kaunselor jelas menerangkan tentang keperluan pendaftaran dan pelanggaran subseksyen (1) seksyen ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.