| 20 November (Utusan Malaysia): Membangunkan teknologi roket tempatan |
|
|
|
DI sebalik usaha membangunkan industri teknologi tinggi seperti bioteknologi, kenderaan dan aeroangkasa, satu bidang yang tidak boleh dilupakan ialah aeronautik. Bidang tersebut berkaitan dengan mereka bentuk dan membina pesawat terbang dan juga teknologi roket. Teknologi roket sebagai contoh adalah sangat penting, apatah lagi sekiranya Malaysia bercadang untuk melancarkan sendiri satelit ke orbit. Justeru di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), satu penyelidikan berkaitan roket telah dimulakan sejak tahun 1989 lagi, bagi menguji penggunaan bahan dorong yang sesuai untuk pelancaran. Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM), Prof. Dr. Mohammad Nazri Mohd. Ja’afar, teknologi roket yang dikuasai boleh dimanfaatkan untuk menggantikan bahan dorong peluru berpandu yang dibeli oleh Malaysia memandangkan hayat bahan dorongnya hanyalah antara 10 dan 15 tahun sahaja. Dengan cara ini, negara tidak perlu lagi bergantung kepada pihak luar untuk menggantikan bahan dorong tersebut yang kosnya amat tinggi, melibatkan jutaan ringgit. ‘‘Kita boleh menggantikan sendiri bahan dorong tersebut jika negara kita mempunyai teknologi roket terutama dalam pembangunan bahan dorong pepejal. ‘‘Dari segi penggunaan sivil, bidang ini boleh memanfaatkan kaedah pembenihan awan menggunakan roket kecil. “Ini sangat berguna bagi mengelakkan banjir kilat di kawasan Lembah Klang,” kata beliau. Kajian yang diberi perhatian utama dalam penyelidikan beliau ialah pembakaran turbin gas dan juga pembangunan bahan dorong roket pepejal. Beberapa projek di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah diperoleh dalam membangunkan sebuah pembakar turbin gas yang mesra alam dan berupaya menggunakan bahan api bio. Timbal balik Idea tersebut kata beliau, merupakan hasil inisiatif daripada program timbal balik (offset) dengan syarikat pengeluar kenderaan serta enjin terkemuka iaitu Rolls Royce yang membangunkan enjin turbin gas untuk pesawat Airbus A380 dan juga Universiti Cambridge sebagai pusat teknologi universiti bagi syarikat terbabit telah menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dengan UTM dalam penghasilan bahan bakar menggunakan bahan api bio iaitu minyak kelapa sawit. Gabungan kepakaran itu melibatkan dua teknologi iaitu Universiti Cambridge berkaitan pembakaran semburan bahan api cecair untuk turbin gas, manakala UTM berkaitan penyediaan dan pencirian bahan api bio berasaskan minyak kelapa sawit. Kerjasama penyelidikan tersebut telah dimeterai menerusi majlis menandatangan perjanjian persefahaman antara UTM, Universiti Cambridge dan juga Rolls Royce pada Jun lalu yang disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Fokus penyelidikan ialah untuk membangunkan pangkalan data untuk sifat dan ciri pembakaran semburan bahan api bio terutamanya daripada minyak sawit berbanding dengan kaedah konvensional menggunakan kerosene. Penyelidikan awal telah dijalankan untuk menilai prestasi bahan api bio menggunakan pembakar industri bagi mengenal pasti jumlah minyak kepala sawit yang boleh ditambah ke dalam adunan bahan api bio tersebut yang terdiri daripada bahan api diesel dan minyak kelapa sawit.
Bahan api bio Hasilnya, didapati bahawa jumlah maksimum bahan api bio diperlukan ialah pada kadar 20:80 iaitu 20 peratus minyak sawit dan bakinya diesel. Campuran ini digunakan dalam turbin gas sebenar untuk menjana elektrik. UTM juga mereka bentuk dan membina sistem pembakar melibatkan kebuk pembakaran, penstabil nyalaan, dan system bekalan udara dan bahan api ke kebuk pembakaran. Menurut Dr. Mohammad Nazri, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal universiti tersebut telah menghantar seorang staf untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah di Universiti Cambridge sejak September tahun lalu berkaitan kajian prestasi bahan api cecair dalam enjin turbin gas. Seorang lagi staf sedang membuat persiapan untuk ke Universiti Cambridge sebelum bulan Januari 2009 dan akan menumpukan dalam kajian simulasi pembakaran semburan bahan api bio. Pada masa sama, UTM telah membangunkan ujian aliran sejuk turbin gas. Kajian tersebut melibatkan pengunaan anemometer Doppler tiga dimensi yang bertujuan mengkaji ciri-ciri semburan bahan api bio tersebut. Sebelum ini, UTM berjaya membangunkan bahan dorong pepejal yang berupaya mendorong roket kecil. Malah katanya, sebelum ini, UTM berjaya melancarkan beberapa roket kecil menggunakan bahan dorong yang dibangunkan sendiri di universiti tersebut tanpa bantuan dari pihak luar. Di negara lain termasuk China, Korea, Jepun dan sekarang India dan Iran yang mempunyai teknologi roket yang maju telah berupaya menghantar kapal angkasa atau satelit ke ruang angkasa lepas. Dr. Mohammad Nazri berkata, beliau bersama seorang lagi pensyarah UTM, Prof. Ir. Dr. Wan Khairuddin Wan Ali, juga telah menghasilkan bahan dorong roket yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan tempatan. ‘‘Kita (UTM) telah mempunyai sebuah makmal pendorongan roket yang membolehkan pembangunan bahan dorong pepejal dilakukan menggunakan ammonium nitrat atau potassium nitrat,” katanya. Makmal tersebut yang siap pada tahun lepas dengan kos kurang RM200,000 penting sebagai makmal ujian kadar pembakaran dan ujian tujahan statik dan tempat menghasilkan bahan dorong pepejal. Teknologi penghasilan bahan dorong roket perlu dimulakan supaya negara tidak terlalu bergantung sumber import semata-mata. Teknologi tersebut kata beliau penting untuk pelbagai kegunaan antaranya melancarkan roket bagi tujuan pembenihan awan atau sebagai hobi. Selain itu, teknologi bahan dorong roket boleh dimanfaatkan untuk kegunaan ketenteraan antaranya sebagai bahan dorong peluru berpandu.
|
| < Prev | Next > |
|---|





















