Print Friendly
PERTANYAAN PTJ
TUNTUTAN PERJALANAN

SAYA BERCADANG UNTUK MENGGUNAKAN KENDERAAN SENDIRI BAGI MENJALANKAN TUGAS RASMI. ADAKAH SAYA LAYAK MENUNTUT ELAUN PERJALANAN KENDERAAN ATAU TAMBANG GANTIAN?
Bagi perjalanan yang boleh dihubungi terus melalui kapal terbang atau kereta api, seseorang pegawai adalah dikehendaki untuk menggunakan kapal terbang atau kereta api dan tidak layak untuk menuntut Elaun Perjalanan Kenderaan jika jarak perjalanan adalah melebihi jarak 240KM.Walau bagaimanapun, Ketua Jabatan boleh
membenarkan untuk pegawai untuk menuntut elaun perjalanan kenderaan dalam ke
adaan seperti berikut:

i. Jika seseorang pegawai itu dikehendaki juga menjalankan tugas rasminya di beberapa tempat di sepanjang perjalanan;
ii. Apabila didapati mustahak dan terpaksa bagi seseorang pegawai berkenderaan sendiri; dan
iii. Apabila seseorang pegawai mustahak dan terpaksa membawa pegawai lain sebagai penumpang yang juga menjalankan tugas rasmi.

Di samping itu Ketua Jabatan juga boleh membuat pilihan sama ada membenarkan pegawai untuk menuntut elaun perjalanan kenderaan atau hanya menuntut tambang gantian mengikut budi bicaranya.

TAMBANG GANTIAN

Seseorang pegawai yang menggunakan kenderaan sendiri untuk bertugas di satu tempat sahaja yang jaraknya melebihi 240KM daripada Ibu Pejabat dan terdapat perkhidmatan kapal terbang atau kereta api, layak menuntut Tambang Gantian yang bersesuaian dengan kelayakannya.

Tambang Gantian adalah persamaan dengan tambang kapal terbang atau kereta api dan perlu dinyatakan di dalam baucar tuntutan yang ia telah menggunakan kenderaannya sendiri. Pegawai yang menuntut tambang gantian tidak layak menuntut apa-apa tambang atau bayaran tambahan yang bersabit dengan perjalanan kapal terbang seperti tambang dari rumah ke lapangan terbang.

ADAKAH PEGAWAI YANG MENGHADIRI TEMU DUGA UNTUK KE JAWATAN LAIN BOLEH DIBAYAR TUNTUTAN SEPERTI BERTUGAS RASMI?

Hanya pegawai yang menghadiri temu duga kenaikan pangkat atau kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL) sahaja layak dibayar tuntutan tersebut

ADAKAH PAKAR YANG DILANTIK OLEH SESEBUAH JABATAN BAGI MEMBANTU MENYELESAIKAN KES MAHKAMAH LAYAK MENUNTUT TUNTUTAN PERJALANAN?

Pakar layak dibayar tuntutan perjalanan kerana melaksanakan tugas rasmi untuk menyelesaikan kes mahkamah dengan syarat perkara tersebut dinyatakan dengan jelas dalam surat rasmi perlantikan supaya tiada pertindihan bayaran berlaku.

 

BAYARAN LEBIH MASA

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BAYARAN LEBIH MASA?

Kerja lebih masa adalah kerja-kerja rasmi/ hakiki seseorang pegawai atau Jabatan yang dijalankan atas arahan Ketua Jabatan di luar waktu bekerja biasa yang telah ditetapkan, atau pada hari rehat mingguan atau pada hari kelepasan am. (Perintah Am 11 Bab G dan perkara 1.2 Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 1980)

SIAPAKAH YANG LAYAK DIBERIKAN BAYARAN LEBIH MASA?

Semua pegawai dalam Kumpulan Sokongan layak dibayar Bayaran Lebih Masa kecuali pegawai dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia. [Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 Tahun 1991 (PP9/1991), Perkara 24 Lampiran D6]

ADAKAH PEGAWAI YANG BERKELAYAKAN DIBERI BAYARAN LEBIH MASA BOLEH MEMILIH UNTUK DITUKAR DENGAN CUTI GANTIAN?

Ya. Pegawai yang berkelayakan boleh memilih untuk diberi Bayaran Lebih Masa atau Cuti Gantian. Jika pegawai memilih untuk mendapatkan Cuti Gantian, pegawai perlu mempunyai 9 jam kerja lebih masa untuk melayakkan diberi 1 hari Cuti Gantian. (Perintah Am 40 Bab C, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 13 Tahun 2005, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2007 dan Surat Edaran JPA bertarikh 11 Ogos 2010)

ADAKAH PEGAWAI YANG MENJADI PESERTA KURSUS/SEMINAR/BENGKEL YANG DIADAKAN DI LUAR WAKTU BEKERJA BOLEH DIBAYAR BAYARAN LEBIH MASA?

Tidak. Pegawai yang menjadi peserta kursus/ seminar/ bengkel tidak layak dibayar Bayaran Lebih Masa atau Cuti Gantian kecuali pegawai yang menjadi urusetia yang mengendalikan kursus/ seminar/ bengkel tersebut.

APAKAH SYARAT-SYARAT KERJA YANG MEMBOLEHKAN SESEORANG MENUNTUT BAYARAN LEBIH MASA?

Corak kerja lebih masa adalah meliputi semua jenis tugas seperti perkhidmatan kaunter, pemerosesan, penyeliaan dan pengawasan dengan tertakluk kepada syarat-syarat kerja seperti berikut:
1. kerja-kerja kecemasan:
2. kerja mustahak dan tidak boleh ditangguhkan kepada hari berikutnya oleh sebab penangguhan itu boleh memudaratkan perkhidmatan;
3. kerja-kerja yang dikehendaki dibuat oleh anggota melebihi daripada bidang tugas biasanya; dan
4. kerja-kerja yang perlu diuruskan dalam jangkamasa yang terhad.
(PP9/1991, Perkara 24 Lampiran D6)

ADAKAH PEGAWAI YANG DIARAHKAN BERTUGAS LEBIH MASA PADA HARI-HARI KELEPASAN AM/REHAT MINGGUAN/REHAT SABTU BOLEH DIBAYAR TUNTUTAN PERJALANAN DARI RUMAH KE PEJABAT?

Ya. Pegawai layak membuat tuntutan perjalanan jika diarahkan secara bertulis oleh Ketua Jabatan untuk datang ke pejabat atau ke mana-mana tempat yang diarahkan bagi menjalankan tugas rasmi selepas waktu bekerja biasa atau pada hari-hari kelepasan am/ rehat mingguan/ rehat sabtu.
(Perkara 13, Pekeliling Perbendaharaan WP1.4)

ADAKAH SEORANG PEGAWAI YANG SEDANG BERCUTI REHAT DAN KEMUDIANNYA DIPANGGIL UNTUK BERTUGAS DIBENARKAN MENUNTUT BAYARAN LEBIH MASA?

Pegawai yang sedang bercuti rehat tidak layak menuntut Bayaran Lebih Masa bagi hari-hari pegawai dipanggil untuk bertugas. Sebaliknya, pegawai hendaklah membatalkan/memendekkan cuti rehatnya bagi hari-hari pegawai dipanggil untuk bertugas. Tuntutan Bayaran Lebih Masa adalah dibenarkan sekiranya pegawai menjalankan kerja lebih masa berdasarkan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
(Perintah Am 11 Bab G)

ADAKAH PEGAWAI YANG BEKERJA BUKAN WAKTU PEJABAT (SYIF) LAYAK MEMBUAT TUNTUTAN ELAUN LEBIH MASA PADA HARI KELEPASAN AM

Pegawai yang bekerja syif layak menuntut elaun labih masa dan layak dibayar mengikut kadar hari kelepasan am
Memo JPA bertarikh 5 Disember 1998 (rujukan : JPA 63/31 BHG. 1 Klt. 7 (19)) – Para 2 (xvi) menyatakan bahawa jika hari kelepasan am jatuh pada hari giliran bertugas pegawai, maka hari giliran bertugas itu dikira sebagai hari kelepasan am.

ELAUN DAN BAYARAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM

BOLEHKAH JABATAN MEMBAYAR CAJ PERKHIDMATAN DAN CUKAI PERKHIDMATAN YANG DIKENAKAN BAGI BELANJA DOBI SEKIRANYA SESEORANG PEGAWAI MENGEMUKAKAN RESIT BAGI TUNTUTAN BELANJA DOBI BAGI TUGAS RASMI DAN DI RESIT BERKENAAN ADA DIKENAKAN CAJ PERKHIDMATAN DAN CUKAI PERKHIDMATAN?

Tuntutan ke atas caj perkhidmatan dan cukai perkhidmatan yang dikenakan bagi belanja dobi boleh dibayar sekiranya ia adalah bayaran wajib bagi perkhidmatan tersebut. Ini selaras dengan prinsip Bayaran Sewa Hotel seperti mana ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan WP 1.10/2013

ADAKAH LAYAK SEORANG PEGAWAI YANG MENUMPANG BILIK HOTEL PEGAWAI YANG LAIN, UNTUK MENUNTUT ELAUN LOJING MENGIKUT KELAYAKANNYA?

Seseorang pegawai yang menjalankan tugas rasmi di luar Ibu Pejabatnya dan perlu menginap layak menuntut Elaun Lojing mengikut kadar kelayakan pegawai sebagaimana ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan WP 1.4/2013. Seseorang pegawai yang mengikuti kursus pendek sepenuh masa di dalam negeri layak menuntut Elaun Lojing bagi sepanjang kursus mengikut kadar kelayakan pegawai sekiranya kemudahan tersebut tidak disediakan oleh Kerajaan atau Penganjur. Sehubungan itu, sekiranya pegawai memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, beliau layak untuk mengemukakan tuntutan berkenaan. Walau bagaimanapun, sekiranya pegawai menumpang bilik hotel pegawai lain dan bilik tersebut dibayar/ditanggung oleh Kerajaan, pegawai berkenaan tidak boleh menuntut Elaun Lojing.

SEKIRANYA SESEBUAH JABATAN MENGANJURKAN SESUATU KURSUS UNTUK ANGGOTA-ANGGOTANYA DAN MEMINTA SALAH SEORANG PEGAWAI DARI JABATAN TERSEBUT UNTUK MEMBERIKAN CERAMAH, ADAKAH PEGAWAI BERKENAAN LAYAK DIBAYAR SAGUHATI?

Pegawai tersebut layak diberi Bayaran Saguhati Penceramah/ Pensyarah
dengan syarat berikut:
i. tugas memberi ceramah/ syarahan bukan merupakan sebahagian daripada tugas rasmi pegawai;
ii. program latihan yang dianjurkan bukan merupakan program yang dijalankan secara bersama oleh Unit/ Seksyen pegawai bertugas dengan Unit/ Seksyen/ Bahagian lain dalam Jabatan sama ataupun secara kerjasama dengan Jabatan lain; dan
iii. Ketua Jabatan tidak menganggap pegawai berkenaan sebagai urus setia sesuatu program latihan yang dijalankan.

ADAKAH PEGAWAI YANG BERKURSUS PENDEK LAYAK MENUNTUT ELAUN MAKAN DENGAN KADAR TUGAS RASMI SERTA ELAUN MAKAN HARI SABTU DAN AHAD

Pegawai layak menuntut elaun makan dengan kadar bertugas rasmi sepanjang tempoh berkursus berdasarkan definasi ‘kursus pendek’ ialah sebarang kursus sepenuh masa yang tempohnya tiga (3) bulan atau kurang termasuk hari hujung minggu dan kelepasan am.
Mengikut WP1.10 Para 7.1, kadar elaun makan layak dituntut sepanjang tempoh kursus sekiranya kemudahan makan tidak disediakan.
WP 1.10 juga boleh dirujuk yang menyatakan pegawai yang berkursus selama 14 hari atau kurang layak menuntut elaun, kemudahan dan bayaran di bawah Pekeliling Bertugas Rasmi.

ADAKAH PEGAWAI LAYAK MEMBUAT TUNTUTAN BAGI PERJALANAN MENGIRINGI ANAK UNTUK RAWATAN LUAR STESEN SEKIRANYA DALAM SURAT RUJUKAN DOKTOR TERDAPAT ELEMEN YANG MENUNJUKKAN RAWATAN TERSEBUT DIBUAT ATAS PERMINTAAN PEGAWAI

Pegawai tidak layak membuat apa-apa tuntutan berkaitan rawatan tersebut kerana ia dibuat atas permintaan pegawai.

KEMUDAHAN PERJALANAN UDARA RASMI

BOLEHKAH PEGAWAI MEMBELI TIKET KAPAL TERBANG SENDIRI?

Bagi semua perjalanan udara rasmi sama ada dalam negara atau ke luar negara, pegawai sendiri boleh juga membeli tiket terus daripada syarikat penerbangan atau syarikat/agensi pelancongan berkenaan sama ada secara atas talian (on-line), melalui kaunter, secara tunai atau dengan menggunakan kad kredit dengan syarat perjalanan diluluskan oleh Ketua Jabatan dan semasa tuntutan perjalanan dibuat, salinan resit dikemukakan untuk mengesahkan pembelian tiket. Namun, pegawai sendiri patut menanggung sepenuhnya sebarang risiko atau kerugian akibat pemilihan kaedah pembelian tiket ini.”

APAKAH KOS-KOS YANG PERLU DITANGGUNG OLEH PEGAWAI JIKA MEMBELI TIKET SENDIRI?

Kos yang boleh dituntut oleh pegawai apabila membuat pembelian tiket penerbangan secara atas talian tanpa menggunakan WPUA adalah seperti berikut:
i. Harga Tiket Penerbangan;
ii. Surcaj Bahan Api;
iii. Cukai Lapangan Terbang;
iv. KLIA2 Fees (jika berkaitan);
v. Goods and Services Tax (GST)
vi. Bagasi (tuntutan berdasarkan kilogram bagasi paling minimum yang
ditawarkan oleh syarikat penerbangan);
vii. Insurans;
viii. Processing fee – fee tersebut adalah wajib bagi membolehkan tiket
dikeluarkan oleh syarikat penerbangan atau syarikat pengembara
pelancongan; dan
ix. Tuntutan-tuntutan lain yang diluluskan oleh Pegawai Pengawal.*

* Pegawai Pengawal boleh menentukan kos-kos lain yang boleh dituntut berdasarkan kepada kewajaran dan keperluan Kementerian/Jabatan/Agensi masing-masing.

SEKIRANYA PEGAWAI MEMBELI TIKET SENDIRI DAN MENGGUNAKAN SYARIKAT PENERBANGAN SELAIN DARIPADA MAS DAN SYARIKAT PENERBANGAN NEGARA,DENGAN MENDAPATKAN KADAR HARGA TIKET YANG LEBIH MURAH, DAN DITAWARKAN KELAS PENERBANGAN YANG LEBIH TINGGI DARIPADA KELAYAKAN,ADAKAH ITU DIBENARKAN?

Pada dasarnya pegawai hanya dibenarkan menggunakan perkhidmatan perjalanan udara mengikut kelayakan yang ditetapkan dan sebarang kemudahan naik taraf tidak dibenarkan. Namun begitu, sekiranya pegawai ingin membeli tiket sendiri dan menggunakan kelas penerbangan melebih kelayakan, tuntutan kos perjalanan udara hanya dibenarkan mengikut kelayakan sahaja.

BOLEH PEMBELIAN TIKET DIBUAT DENGAN MENGGUNAKAN PESANAN TEMPATAN (LO)?

Pada dasarnya, penggunaan LO untuk tujuan tempahan tiket kapal terbang adalah tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu penggunaan LO dibenarkan seperti berikut:
i. Tiada penerbangan menggunakan Syarikat Penerbangan Nasional/Negara ke destinasi yang dituju; atau
ii. MAS tidak mempunyai interline agreement dengan syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan ke destinasi yang dikehendaki.

KOMPILASI BULETIN BA MOSTI 2016