Skip to main content
Arkib

Exco Alam Sekitar Capai Kata Sepakat Untuk Menubuhkan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar Bagi Membendung Kegiatan Mencemarkan Alam Sekitar di Negeri-Negeri

By 2019-08-06April 19th, 2020No Comments

Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) pada 2 Ogos 2019, anjuran Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah mencapai kata sepakat agar semua Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan mengambil langkah proaktif pencegahan serta meningkatkan pemantauan terhadap isu alam sekitar di negeri-negeri. Ini adalah bagi memastikan kegiatan mencemarkan alam sekitar di negeri-negeri dapat dibendung secara lebih berkesan melalui kerjasama di antara Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mesyuarat juga bersetuju dengan keputusan YB Puan Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang menurunkan kuasa kepada semua EXCO kerajaan negeri yang memegang portfolio alam sekitar untuk mengetuai sendiri operasi bersepadu pemantauan sungai, kilang haram serta menangani isu dan aduan alam sekitar di negeri masing-masing. Penurunan kuasa ini adalah bagi membolehkan penguatkuasaan terhadap undang-undang sedia ada diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan sebarang kegiatan pencemaran. Di mesyuarat tersebut, MESTECC turut membentangkan kertas kerja dan berkongsi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menjalankan operasi bersepadu.

Pada mesyuarat yang sama, Menteri dan EXCO Alam Sekitar memberi perhatian serius terhadap bilangan kilang kitar semula haram yang wujud dan bersetuju meningkatkan penguatkuasaan di peringkat negeri bagi menutup kilang-kilang haram. Perbincangan dengan MESTECC dan JAS Negeri akan diadakan bagi menambah baik denda yang dikenakan terhadap pengoperasi kilang haram melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974). Buat masa ini, MESTECC sedang meneliti kerangka perundangan baharu perlindungan alam sekitar bagi mengkaji semula AKAS 1974. Menteri dan EXCO Alam Sekitar turut disaran untuk memberi maklumbalas mengenai perkara-perkara dasar dan elemen-elemen baharu kepada penggubalan rang undang-undang baharu alam sekitar tersebut.

Pada masa yang sama MESTECC akan bekerjasama dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Kementerian Luar Negara untuk mengadakan Joint Committee on Environment bersama Kerajaan Thailand untuk menangani isu-isu alam sekitar merentas sempadan.

Dokumen Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut dibentangkan dan Menteri serta EXCO Alam Sekitar bersetuju untuk terus memantau tapak pelupusan sampah di negeri-negeri agar tidak berlaku jerebu dan tiada larut lesap (leachate) ke dalam sungai. Di bawah AKAS 1974, tindakan tegas boleh diambil ke atas tapak pelupusan sampah yang mencemarkan alam sekitar.

Kerajaan negeri juga akan menjadikan Program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HSAN) sebagai satu program utama di dalam takwim negeri. Sambutan HASN 2019 akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 19 hingga 20 Oktober 2019. Program ini adalah antara usaha Kerajaan Pusat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar yang merupakan tanggungjawab bersama. Program ini juga di cadang diperluaskan ke peringkat sekolah.

MEXCOE turut memberi tumpuan terhadap peningkatan pengurusan kualiti air sungai di setiap negeri dan pelaksanaan dan tindakan bersepadu perlu dijalankan untuk mengawal pelepasan daripada punca-punca pencemaran terutamanya daripada loji kumbahan dan tapak pelupusan sampah.

Pada masa yang sama semua Kerajaan Negeri telah memberi sokongan padu kepada Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018 hingga 2030 (Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018-2030) yang telah dilancarkan oleh MESTECC. Inisiatif ini akan dapat mengatasi masalah pencemaran plastik sekali guna di semua peringkat.

Mesyuarat MEXCOE ini dipengerusikan oleh YB Puan Yeo Bee Yin dan turut dihadiri YB Puan Isnaraissah Munirah Majilis, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.