Skip to main content
Berita

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTSS)

By 2018-04-23Ogos 6th, 2018No Comments

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) dengan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTSS) telah diadakan pada 23 April 2018 di Hotel Imperial, Kuching, Sarawak. ARSM diwakili oleh Tuan Haji Azlikamil Napiah (Ketua Pengarah ARSM) manakala JTSS diwakili oleh Sr Zaidi Haji Mahdi (Pengarah JTSS). Majlis telah disaksikan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan (Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak) dan YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Haji Yahaya (Ketua Setiausaha, MOSTI).

Kerjasama dua hala ini telah bermula sejak tahun 2009 dengan penghasilan data vektor litupan tanah daripada imej satelit bagi tiga (3) kawasan perintis iaitu Matang, Sibu dan Kapit. Kerjasama ini diteruskan dengan pembangunan Sistem Litupan Tanah Sarawak pada tahun 2016 yang membolehkan status litupan tanah dipantau dengan lebih mudah, tepat dan efisyen. Sehingga kini, kerjasama ini telah berjaya menghasilkan peta litupan tanah untuk keseluruhan negeri Sarawak bagi tahun 2013 dan 2014.

Pada tahun ini, kerjasama diperbaharui semula dengan menaik taraf dokumen kerjasama daripada Nota Kerjasama kepada MoU untuk tempoh selama lima (5) tahun. Melalui MoU ini, kedua-dua agensi akan berkerjasama untuk menghasilkan Peta Litupan Tanah Sarawak Edisi Kedua menggunakan data dan imej remote sensing yang terkini.

Pembangunan pelbagai sistem/pakej aplikasi melalui pendekatan secara strategi lautan biru ini telah membolehkan ARSM dan JTSS menggunakan secara optimum kepakaran dalaman sedia ada di agensi masing-masing. Ini akan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan aktiviti agensi masing-masing yang akhirnya menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kelestarian keselamatan negara serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berpaksikan rakyat. Pembangunan 25 sistem aplikasi yang berimpak tinggi dengan kos yang rendah ini bukan sahaja telah menjimatkan peruntukan kerajaan sebanyak anggaran RM70 juta, malah dapat menjamin keselamatan data terutamanya data-data yang bernilai strategik.

Skip to content