Skip to main content
Siaran/Kenyataan Media

KESEDIAAN MALAYSIA MEMPERUNTUKKAN SEBANYAK USD1 JUTA BAGI DANA ASEAN STI PARTNERSHIP

By 2017-10-22Oktober 2nd, 2021No Comments

NAY PYI TAW, 22 OKTOBER 2017 – Malaysia bersedia memperuntukkan sebanyak USD1 juta bagi Dana ASEAN STI Partnership.

 

Pengumuman ini dibuat oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini yang telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri- Menteri Sains dan Teknologi ASEAN Kali Ke-17 (AMMST-17) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar (MICC 2).

 

Inisiatif ini diharapkan akan merancakkan lagi jalinan kerjasama STI di kalangan penyelidik, saintis dan jurutera dalam aspek pembangunan penyelidikan di rantau ASEAN.

  

Semasa Mesyuarat AMMST ke-17 juga, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau telah menyatakan  komitmen kerajaan Malaysia untuk menandatangani Deklarasi Inovasi ASEAN semasa Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin ASEAN yang bakal berlangsung di Filipina pada November 2017

 

Penyertaan YB Menteri mewakili Malaysia amat signifikan kepada negara dalam mengetengahkan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara di peringkat rantau Asia Tenggara.

 

Mesyuarat AMMST ke-17 pada kali ini dianjurkan sebagai sebahagian acara kemuncak kepada Program Flagship ASEAN iaitu Minggu Sains, Teknologi  dan Inovasi ASEAN kali Ke-10 (ASTIW-10) yang bertemakan  “Science, Technology and Innovation for Sustainable, Inclusive and Equitable Growth”.

 

ASTIW-10 merupakan acara istimewa buat ASEAN yang dianjurkan setiap 3 tahun sekali bagi mempamerkan pencapaian utama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). ASTIW-10 dianjurkan selama 10 hari bermula dari 12 hingga 20 Oktober 2017.

 

Sepanjang tempoh ASTIW-10, beberapa siri Mesyuarat dan program telah diadakan seperti Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Sains dan Teknologi ASEAN kali Ke-73 (ASEAN COST), Mesyuarat Bersama Rakan Dialog ASEAN iaitu Amerika Syarikat, Russia dan Kesatuan Eropah, Forum Inovasi dan Keusahawanan ASEAN serta Pameran STI ASEAN.

 

Terdahulu, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Hj Yahaya telah mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat peringkat pegawai kanan Kerajaan iaitu Mesyuarat ASEAN COST ke-73 serta Mesyuarat bersama Rakan Dialog ASEAN yang berlangsung  dari 17 hingga 19 Oktober 2017 sebelum Mesyuarat AMMST ke-17.

 

Kepimpinan Malaysia jelas terserlah dengan kesediaan Malaysia menerajui beberapa agenda penting di peringkat ASEAN. Antara agenda Malaysia yang telah dibentangkan di peringkat ASEAN adalah mengenai cadangan penubuhan ASEAN Young Scientists Network. Inisiatif ini bagi mengerakkan tenaga pemikir ASEAN dari kalangan generasi muda. Melalui inisiatif ini, STI akan terus dilihat sebagai kuasa pemacu serta penggerak utama pembangunan ekonomi serta sosial negara anggota ASEAN bagi mencapai matlamat Satu Komuniti ASEAN dalam aspek keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan sosial.

 

Malaysia turut berpeluang menonjolkan nama negara diperingkat antarabangsa menerusi Pameran STI ASEAN yang mempamerkan  perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi penyelidikan Malaysia berteraskan STI. Menerusi pameran tersebut, Malaysia berpeluang mempromosikan projek flagship MOSTI iaitu Tahun Pengkomersilan Malaysia 2.0 (MCY 2.0)  yang bakal diadakan bersekali dengan penganjuran Global Entrepreneur Community Summit  di Kuala Lumpur pada 12 – 13 Disember 2017.   Produk tempatan yang telah mencapai status export ready turut dipamerkan di samping perkhidmatan dan produk agensi MOSTI.

 

Komitmen Malaysia dalam menjadikan agenda STI negara dikukuhkan lagi dengan pertemuan dua hala di antara YB Menteri bersama rakan-rakan sejawatnya dari negara Filipina, Thailand, Kembojadan Myanmar bagi mengukuhkan peluang kerjasama dalam pelbagai bidang STI seperti keselamatan siber, standard, bioteknologi, aplikasi nuklear dan meteorologi.

 

-TAMAT-

Skip to content