Skip to main content
Siaran/Kenyataan Media

SUPER BLUE BLOOD-MOON

By 2018-01-31Oktober 2nd, 2021No Comments

SIARAN MEDIA

PLANETARIUM NEGARA

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

__________________________________________________________

“SUPER BLUE BLOOD-MOON”

31 JANUARI 2018

__________________________________________________________

Pada 31 Januari 2018 ini rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan tiga fenomena serentak yang akan berlaku ke atas Bulan.

Pada tarikh tersebut, Bulan akan berada di kedudukan paling hampir dengan Bumi dan mengalami fasa penuh. Oleh kerana berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi, saiz Bulan yang sedang mengalami fasa penuh pada waktu itu akan kelihatan lebih besar daripada biasa dan fenomena ini dikenali sebagai Supermoon.

Fasa Bulan penuh pada tarikh tersebut juga merupakan fasa Bulan penuh yang kedua dalam bulan Januari 2018. Fenomena Bulan penuh yang kedua di dalam kalendar bulan yang sama dikenali juga sebagai Bluemoon.

Pada malam 31 Januari tersebut juga, Bulan akan mengalami peristiwa Gerhana Bulan Penuh. Fasa gerhana akan bermula dari jam 7:48 malam sehingga jam 11:11 malam. Fasa Gerhana Penuh pula akan bermula dari 8:51 malam sehingga ke kemuncak pada jam 9:29 malam dan akan tamat pada jam 10.07 malam. Umumnya gerhana Bulan juga dikenali sebagai Bloodmoon kerana warna bahagian gelap gerhana yang kemerah-merahan akibat biasan cahaya Matahari oleh atmosfera Bumi.

Gabungan ketiga-tiga fenomena tersebut dinamakan sebagai “Super Blue Blood-Moon” di mana, kali terakhir fenomena ini berlaku adalah pada 31 Mac 1866 iaitu sekitar 152 tahun yang lalu.

Semasa fenomena gerhana, Bulan akan terbit jam 7:19 malam di kaki langit pada arah Timur. Setelah Bulan berada pada ketinggian 6 darjah dari ufuk pada jam 7:48 malam, fasa gerhana bermula tetapi dalam bentuk gerhana separa sahaja. Fasa gerhana penuh bermula pada jam 8:51 malam ketika Bulan mencapai ketinggian 21 darjah dari ufuk. Fasa gerhana Bulan penuh maksimum dicapai pada jam 9:29 malam ketika Bulan berada pada ketinggian 30 darjah dari ufuk. Fasa gerhana penuh berakhir pada jam 10:07 malam ketika Bulan berada 38 darjah dari ufuk. Selepas jam 10:07 malam, Bulan mengalami fasa gerhana separa sekali lagi sehingga keseluruhan gerhana selesai pada jam 11:11 malam.

Keseluruhan rakyat Malaysia akan berpeluang menyaksikan fenomena gerhana Bulan penuh tersebut sekiranya cuaca mengizinkan dan kawasan tepi pantai yang menghadap laut di sebelah Timurnya, kawasan puncak bukit, tanah tinggi, di atas bangunan tinggi atau di mana sahaja kedudukan yang tiada halangan pandangan ke arah ufuk dan langit di sebelah Timur adalah merupakan lokasi yang baik untuk menyaksikan gerhana pada 31 Januari 2018.

Planetarium Negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mengadakan Program Pencerapan Gerhana Bulan Penuh “Super Blue Blood-Moon” pada 31 Januari 2018 mulai jam 7:00 malam sehingga 12:00 tengah malam di hadapan pintu masuk Planetarium Negara.

Pengunjung-pengujung akan berpeluang menggunakan beberapa buah teleskop bagi menyaksikan fenomena gerhana yang disediakan oleh Planetarium Negara. Terdapat juga aktiviti taklimat dan penerangan mengenai gerhana, panduan dan aktiviti astro-fotografi serta sesi solat gerhana pada malam tersebut. 

Orang ramai diminta tidak melepaskan peluang untuk menyertai Program Pencerapan Gerhana Bulan Penuh “Super Blue Blood-Moon” mulai jam 7:00 malam sehingga 12:00 tengah malam di Planetarium Negara pada 31 Januari 2018.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22735484 atau email info@planet.gov.my atau melayari laman sesawang Planetarium Negara di www.planetariumnegara.gov.my atau Facebook Planetarium Negara.

 

Planetarium Negara
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

Skip to content