Skip to main content
Arkib

Penduduk Kampung Walou, Ranau, Sabah Terima Bekalan Elektrik Melalui Sistem Hibrid Solar – Mikro Hidro 10kW

By 2019-07-18April 19th, 2020No Comments

Terletak kira-kira 176KM dari Kota Kinabalu, penduduk Kampung Walou, Ranau kini menikmati bekalan elektrik asas untuk kegunaan seharian dengan siapnya Sistem Hibrid Solar-Mikro Hidro dengan kapasiti 10kW.

Projek ini merupakan salah satu projek yang dibiayai oleh dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) Sabah. AAIBE Sabah merupakan satu akaun amanah yang mana dana akaun ini disumbangkan oleh syarikat penjana elektrik bebas di Sabah untuk membiayai projek/aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembangunan industri bekalan elektrik khususnya di Sabah.

Selain itu, pusat komuniti atau Women’s Community Centre turut dibina bagi menyediakan ruang untuk komuniti kampung ini khususnya kaum wanita melakukan aktiviti sosial. Antaranya aktiviti perusahaan kecil yang dapat menjana pendapatan, kelas memasak atau tempat untuk anak-anak belajar bersama.

Projek yang dilaksanakan oleh pihak Ranhill dengan kerjasama daripada badan bukan Kerajaan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan penduduk Kampung Walou ini, telah dirasmikan oleh YB Puan Isnaraissah Munirah Majilis, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada 13 Julai 2019. Turut hadir ialah YBrs. Dr. Zahrul Faizi Hussien, Ketua Pegawai Eksekutif RanhillPower, YB Jonathan Yasin, Ahli Parlimen Ranau dan YB Senator Adrian Lasimbang, Ahli Dewan Negara.

Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai 20 peratus penggunaan tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2025 serta membangunkan infrastruktur pembekalan tenaga elektrik kepada masyarakat di kawasan luar bandar dan pendalaman.

Skip to content