Skip to main content
Berita

MCY 2.0: Kolaborasi Rakan Strategik Diperluaskan Ke Peringkat Antarabangsa

By 2017-02-23Mei 26th, 2017No Comments

KOTA KINABALU, 23 FEBRUARI – Sempena Tahun Pengkomersialan Malaysia 2017 (MCY 2.0) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Disember 2016 lalu, rangka kerja atau ekosistem pengkomersialan dimantapkan lagi dengan meluaskan kolaborasi rakan strategik daripada kalangan industri, kerajaan negeri dan antarabangsa.

Perkara ini dinyatakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dalam ucapannya di Sesi Networking Bersama Industri Dan Media & Soft Launch Tahun Pengkomersialan Malaysia 2017 (MCY 2.0).

Menurut beliau, “Komitmen KPI Khas MCY sebanyak 150 produk/perkhidmatan turut diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak institusi dan agensi termasuk kesemua universiti-universiti awam. Ini akan membuka lebih peluang untuk mencungkil lebih banyak hasilan R&D negara untuk diketengahkan”.

“130 produk/teknologi daripada 150 produk/teknologi yang disasarkan di bawah KPI Khas MCY 2016 telah dikomersialkan dengan anggaran nilai sebanyak RM155 juta. Manakala sebanyak 84 produk/teknologi daripada senarai 130 KPI Khas tersebut telah memasuki pasaran pada tahun 2016”, umum beliau akan pencapaian MCY 2016.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, “Program-program bina upaya dan suai padan perniagaan juga sedang diperkukuhkan dan diperluaskan lagi dalam tahun 2017 bagi memastikan teknopreneur tempatan bersedia untuk menghadapi cabaran pengkomersialan produk mereka di pasaran tempatan dan luar negara”.

Pada majlis yang sama, dilancar dua (2) produk iaitu Affordable Standard Wheelchair yang merupakan produk mampu milik oleh golongan OKU miskin dan Nahrim Hydraulic Markers (NHM) yang dapat mengenalpasti pencerobohan rizab sungai dengan mudah.

Skip to content