Skip to main content
Berita

1800 Penduduk Bakal Menikmati Air Bersih Terawat Melalui Projek Bekalan Air Bersih Menggunakan Teknologi Membran Protable Drinking Water Filtration

By 2017-01-23Mac 8th, 2017No Comments

SABAH, 23 Januari 2017- Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bersama-sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Membrane Technology Sdn Bhd dan Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan menjalankan projek pembekalan air bersih kepada kira-kira 1800 komuniti Kg. Rumindako Kiulu, Tamparuli.

Projek bekalan air bersih ini merupakan salah satu program di bawah platform Sosial Inovasi MOSTI (MSI) yang dijalankan oleh pihak MTDC dengan menggunakan teknologi membrane portable drinking water filtration system berjenama ‘Pahlawan Tuah2000’ yang telah dibangunkan oleh Membrane Technology Sdn. Bhd. (MTSB).

Membrane Technology Sdn Bhd. (MTSB) adalah sebuah syarikat penerima Dana Pengkomersilan Hasil Penyelidikan & Pembangunan (CRDF) daripada MTDC yang membangunkan teknologi membrane portable drinking water filtration system melalui kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai pembekal teknologi.

Majlis penyerahan projek telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Madius Tangau hari ini kepada komuniti Kampung Rumindako Kiulu, Tamparuli dengan dihadiri oleh wakil-wakil MTDC, MTSB, UTM serta komuniti Kg. Rumindako Kiulu.

Datuk Seri Panglima Madius Tangau dalam ucapannya berkata “Tujuan Program MSI adalah untuk membantu masyarakat dan komuniti memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan hidup melalui pelaksanaan projek, perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau hasil inovasi menggunakan teknologi sedia ada.

Di samping itu tambahnya, ia juga merupakan inisiatif kerajaan dalam menggalakkan pembudayaan inovasi di kalangan masyarakat dan menyampaikan hasil inovasi kembali kepada rakyat. Dana yang diperuntukkan oleh kerajaan melalui MOSTI yang terhasil dalam bentuk produk dan teknologi yang inovatif dapat dimanfaatkan secara langsung kepada rakyat dan kita ingin memastikan ianya benar-benar mampu memberi impak langsung kepada golongan sasaran”

Pemilihan projek bekalan air bersih menggunakan teknologi ini adalah berdasarkan kepada keberkesanannya di dalam projek-projek terdahulu yang dijalankan oleh MTSB iaitu penghasilan 40 unit Drinkme Water Vending Machine dan dua unit Pahlawan Tuah4000.

Sistem Pahlawan Tuah2000 ini mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 2,000 liter/jam air bersih iaitu bersamaan keperluan harian 200 isi rumah serta telah direka bentuk supaya mesra pengguna dan mudah dikendalikan.

Menurut Cik Suriati, Ketua Pegawai Eksekutif MTSB “Penapisan air melalui teknologi membran adalah sebuah proses pemisahan membran menjadi pecahan material melalui liang atau jurang dalam susunan molekul struktur secara berterusan. Seterusnya air akan dirawat melalui penapisan air songsang (reverse osmosis filtration)”.

Projek membekalkan air bersih melalui teknologi membrane ini akan mampu menyediakan bekalan air bersih yang sudah dirawat yang mencukupi kepada 1800 penduduk di Kg. Rumindako Kiulu dan seterusnya akan dapat mengurangkan masalah kesihatan yang dihadapi penduduk di kawasan ini.

Bagi meningkatkan kelangsungan penggunaan Pahlawan Tuah2000, Komuniti Kg. Rumindako Kiulu akan diberi latihan pengendalian dan penjagaan sistem penapisan air berteknologi tinggi ini. Selain itu, mereka juga akan turut didedahkan dengan cara-cara menjana ekonomi setempat secara berterusan melalui hasil aplikasi sistem Pahlawan Tuah2000.

Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, “Di bawah Program MSI, MTDC telah dipertangungjawabkan oleh MOSTI untuk melaksanakan lapan Program di mana lapan Syarikat Pembekal Teknologi yang terdiri daripada penerima Dana CRDF dan universiti awam tempatan akan menjalankan pelbagai aktiviti berteraskan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup pelbagai lapisan masyarakat termasuk projek bekalan air bersih dengan menggunakan teknologi membrane portable drinking water filtration system yang diadakan di sini pada hari ini.

Menerusi Program MSI, MTDC menyalurkan dana kepada lapan syarikat yang mempunyai inovasi dalam pelbagai bidang termasuk universiti awam tempatan bagi membantu masyarakat setempat di seluruh Malaysia. Kesemua projek di bawah program MSI ini memfokuskan kepada pembangunan golongan miskin, perkhidmatan dan peningkatan kemahiran menerusi teknologi MTDC CRDF.

Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI)

YAB Perdana Menteri telah bersetuju projek-projek RMKe-11 yang bersifat people centric akan dilaksanakan berdasarkan enam Pemacu Perubahan (Game Changer) melalui Platform Transformasi National Blue Ocean Strategy (NBOS). MOSTI Social Innovation (MSI) merupakan salah satu program yang akan dilaksanakan di bawah Game-Changer Innovation RMKe-11 mulai tahun 2016. Objektif Program MSI adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat melalui pelaksanaan projek, perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau hasil inovasi menggunakan teknologi sedia ada yang boleh dilaksanakan secara mampan.

Sehubungan dengan ini, MTDC telah dilantik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk untuk menjalankan lapan program di bawah platfom MSI dan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama di antara MTDC dan lapan pembekal teknologi yang terdiri daripada penerima Dana CRDF dan universiti telahpun berlangsung pada 14 November 2016.

Menerusi program MSI, lapan Syarikat Pembekal Teknologi yang terdiri daripada penerima Dana CRDF dan universiti akan menjalankan pelbagai aktiviti berteraskan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup pelbagai lapisan masyarakat.

MTDC

Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) telah ditubuhkan pada tahun 1992 dengan objektif berikut – sebagai agen pemacu pembangunan syarikat berasaskan teknologi, menggalakkan pemindahan hasil penyelidikan dan pembangunan (P&P) tempatan dan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri modal teroka di Malaysia.

Semenjak Rancangan Malaysia ke-7 (RMK-7), MTDC telah diamanahkan oleh Kerajaan untuk menguruskan dana khas kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk meningkatkan kandungan teknologi mereka melalui pengkomersilan penyelidikan dan pembangunan (P&P) dan / atau pengambilalihan teknologi asing. Tidak hanya terhad kepada pengurusan dana, MTDC turut membangunkan pusat teknologi inkubator yang ditempatkan dibeberapa universiti dan institut penyelidikan tempatan (IPT) bagi memberi fokus kepada pelbagai kluster industri.

Dengan gabungan dedikasi, ilmu, teknologi, inovasi, kredibiliti, sokongan dan perkhidmatan penjagaan yang diberikan kepada semua syarikat dalam ekosistemnya, menjadikan MTDC sebuah syarikat yang mempunyai gandingan lengkap, menghasilkan nilai dan membantu memperkembangkan ekonomi Negara.

Skip to content