Skip to main content
Berita

Pengurusan Bencana Mampan Dengan Teknologi Terkini

By 2015-10-27Mac 9th, 2017No Comments

KUALA LUMPUR, 27 OKTOBER 2015 – Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB®), dengan kerjasama Southeast Asia Disaster Prevention Research Institute – UKM bakal mengemukakan cadangan pengurusan bencana secara mapan dengan menggunakan teknologi terkini.

Bencana seperti tanah runtuh, gempa bumi, banjir, jerebu dan kebakaran telah memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi, alam sekitar, kesihatan dan keselamatan. MOSTI menerusi agensinya seperti ATSB, Jabatan Meteorologi Malaysia, Agensi Remote Sensing Malaysia, Agensi Angkasa Negara, Agensi Nuklear Malaysia, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan MIMOS bersedia untuk menyokong dan membantu semua implementasi pengurusan bencana bagi negara menerusi teknologi terkini yang dimiliki.

MOSTI turut menyokong usaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam melaksanakan Rangka Kerja Sendai 2015-2030 yang telah dipersetujui oleh ahli Pertubuhan Bangsa Bersatu melalui pelbagai pendekatan termasuklah meningkatkan dialog serta kerjasama sesama komuniti sains dan teknologi berkaitan pengurusan bencana, memastikan perantaraan polisi sains dalam membuat keputusan yang mampan bagi pengurusan risiko bencana, aplikasi saintifik dan teknologi dalam penilaian risiko bencana dan kerjasama dalam kesiapsiagaan bencana.

Bagi mencapai hasrat tersebut, buat julung kalinya ATSB telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Teknologi & Aplikasi bagi Pengurusan Bencana 2015 dengan tema “Penggunaan Teknologi untuk Pengurusan Bencana Mampan”. Persidangan dua hari (27 hingga 28 Oktober) yang berlangsung Hotel InterContinental Kuala Lumpur ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Pengurangan Bencana Antarabangsa atau International Day for Disaster Reduction yang disambut pada 13 Oktober setiap tahun.

Persidangan ini memberi penumpuan kepada teknologi serta aplikasi terkini dalam pengurusan bencana alam dan teknologi yang meliputi aspek pencegahan, amaran awal, misi menyelamat & pemulihan pasca bencana.

“Diharapkan cadangan pengurusan bencana yang bakal dikemukakan mampu memberi satu resolusi terbaik bagi Malaysia menghadapi apa juga bentuk bencana seterusnya mengurangkan impak yang menjejaskan kesejahteraan rakyat” ujar YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi semasa merasmikan persidangan tersebut.

Persidangan ini melibatkan 22 pembentangan berkaitan teknologi pencegahan, ramalan bencana dan pengurusan risiko. Pembentangan dibuat oleh pakar/penyelidik/pembangun teknologi dari dalam dan luar negara seperti Jepun, Vietnam dan Korea Selatan. Turut diselitkan dalam persidangan ini ialah satu forum yang menghimpunkan pakar-pakar tempatan dari pelbagai latar belakang untuk membincangan topik berkenaan Pengurusan Bencana di Malaysia. Selain itu turut dipamerkan teknologi dalam pengurusan bencana seperti teknologi satelit, radar, unmanned aerial vehicle, komunikasi dan sebagainya di ruang pameran.

Skip to content