Skip to main content
Berita

1,150 Pelajar Terima Manfaat Sarung Kaki Berteknologi Nano Bagi Menyemai Minat Terhadap Sains

By 2016-04-28Mac 9th, 2017No Comments

TUARAN, 28 APRIL 2016 – Penyerahan Sarung Kaki Berteknologi Nano (Nanosocks) telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau kepada 1,150 pelajar SMK Tenghilan sebagai alat pembelajaran bagi menyemai minat mereka terhadap sains serta menjaga kesihatan dan kebersihan diri mereka.

Nanosocks ini merupakan sumbangan NanoTextile Sdn. Bhd., anak syarikat kepada NanoMalaysia Berhad iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Nanosocks ini dicipta sebagai agen penyah-bau, mampu menghalang pembiakan kulat dan bakteria serta proses pembuatannya adalah mesra alam semulajadi.

Majlis penyerahan dilaksanakan bersempena program ilmiah ‘Taklimat Kesedaran Teknologi Nano’ anjuran NanoMalaysia Berhad yang dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, bagi meningkatkan pemahaman dan memupuk minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi yang merupakan cabang pendidikan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM).

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, “MOSTI amat menitikberatkan kesedaran sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan pelajar dan selaras dengan pendidikan STEM, kami terpanggil untuk menyerahkan sumbangan Nanosocks kepada SMK Tenghilan supaya para pelajar dapat mengenal dan memahami dengan lebih mudah aplikasi teknologi nano. MOSTI telah merangka pelbagai usaha untuk membudayakan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di kalangan rakyat Malaysia dan pengenalan mereka kepada teknologi nano dan aplikasinya dalam bidang tekstil negara pada hari ini adalah wajar dan bertepatan dengan misi STEM”.

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Dr. Rezal Khairi Ahmad dalam ucapan aluannya menambah, “NanoTextile Sdn. Bhd. adalah sebuah anak syarikat NanoMalaysia dan terpanggil untuk turut sama menjayakan pembudayaan STEM walaupun pihak kami lebih menjurus kepada aktiviti perindustrian dan pengkomersialan teknologi nano di Malaysia. Bagi kami, teknologi nano adalah untuk semua dan produk Nanosocks adalah contoh mudah difahami yang dicipta untuk kegunaan masyarakat. Para pelajar dijangka dapat memahami teknologi nano dengan lebih mudah melalui kegunaannya setiap hari dengan harapan suatu hari nanti mereka bakal menerajui bidang teknologi nano Malaysia.”

Pengetua SMK Tenghilan, En. Justin Rumpod pula berkata, “SMK Tenghilan amat menghargai Taklimat Kesedaran Teknologi Nano yang diadakan di sekolah kami dan berbesar hati menerima sarung kaki berteknologi nano. Para pelajar kami telah menerima banyak manfaat melalui pembelajaran teknologi nano daripada MOSTI, NanoMalaysia dan NanoTextile Sdn. Bhd.

Turut sama hadir dalam majlis tersebut adalah YBhg. Dato’ Dr. Cheng Kok Leong, Pengerusi NanoTextile Sdn. Bhd. serta Dr. Thomas Ong, Ketua Pegawai Eksekutif NanoTextile Sdn. Bhd yang telah menyampaikan taklimat ‘Revolusi Teknologi Nano dalam Industri Tekstil’ kepada para pelajar.

Skip to content