Skip to main content
Berita

Dasar Pembangunan Negara Akan Terus Diperkasa Melalui Penggubalan Pelan Induk Sti

By 2016-01-28Mac 9th, 2017No Comments

PUTRAJAYA, Khamis 28 Januari 2016 — Malaysia membuat anjakan yang signifikan hari ini ke arah memperkasa agenda sains, teknologi dan industri (STI) melalui penggubalan Pelan Induk STI negara di bawah penyeliaan Majlis Sains Negara (National Science Council atau NSC) yang bermesyuarat kali pertama pada hari ini, dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.
Pelan Induk STI yang bersandarkan kepada Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) sedia ada akan memastikan peranan dan input STI diambil kira dalam penggubalan dan pelaksanaan semua polisi-polisi lain (STI for policy). Proses penggubalan Pelan Induk STI ini akan juga melibatkan antara lain kajian semula dan penetapan bidang fokus strategik penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara, peluasan skop Jabatan Statistik untuk turut meliputi pengumpulan data STI serta pembangunan Pelan Hala Tuju Modal Insan STI (National STI Talent Roadmap).
Menurut YAB Perdana Menteri, bagi memastikan kelangsungan agenda transformasi negara, NSC perlu mencari pendekatan untuk meningkatkan penguasaan dalam bidang STI serta memperkasa agenda STI negara. “NSC perlu memastikan ekosistem dan persekitaran yang kondusif untuk merancakkan agenda STI negara merentasi semua kementerian dan jabatan; sektor awam dan swasta; serta pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara. Penubuhan NSC saya harap dapat membantu meningkatkan keupayaan dan perspektif sains dan teknologi untuk memberi respons segera kepada kehendak dan tuntutan rakyat,” tambah YAB Perdana Menteri.
YAB Perdana Menteri turut menggesa supaya pendekatan yang komprehensif diambil bagi meningkatkan bilangan STEM (science, technology, engineering and mathematics) talent kerana negara masih belum mencapai sasaran 60% enrolmen pelajar dalam bidang sains . Agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu mempunyai fokus dan bidang keutamaan yang jelas dan bagi mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti buruh (labour productivity) pada kadar 3.7% setahun, berasaskan “STI-driven.”
Menurut YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, selaku Urus Setia, NSC diwujudkan bersandar kepada rasional supaya agenda sains, teknologi dan inovasi (STI) dipantau dan diselaraskan di bawah satu Majlis yang memberi keutamaan kepada agenda STI negara.
“Mulai hari ini kita hanya ada dua Majlis berkaitan STI yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, iaitu di peringkat kebangsaan kita ada NSC dan di peringkat antarabangsa, Global Science and Innovation Advisory Council (GSIAC),” tambah YB Menteri MOSTI.
Topik utama yang dibincangkan oleh NSC hari ini ialah mengenai “Mengarusperdana STI dalam Pembangunan Sosioekonomi Negara (Mainstreaming STI for the Nation’s Socioeconomic Development).”
NSC dianggotai oleh 29 ahli terdiri daripada YAB Timbalan Perdana Menteri, sebelas (11) Menteri, wakil akademik, industri serta individu dengan kepakaran berkaitan (seperti di Lampiran 1) dan bermesyuarat setiap suku tahun.

Skip to content