Skip to main content
Berita

Cybersecurity Malaysia Beri Khidmat Pemulihan Data untuk Bantu Mangsa Banjir di Pantai Timur

By 2015-03-12Disember 14th, 2020No Comments

SERI KEMBANGAN (12 MAC 2015): Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya, CyberSecurity Malaysia (CSM) – pusat pakar teknikal keselamatan siber Nasional, akan menawarkan perkhidmatan pemulihan data kepada mangsa-mangsa banjir di jajahan dan daerah yang terlibat banjir di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia, iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu. Inisiatif ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) CSM yang dikenali sebagai “Ops Jelajah Cyber”.

Program ini diadakan khusus bagi membantu mangsa bencana banjir (secara individu/orang perseorangan) mendapatkan semula maklumat, data, imej serta informasi yang disimpan di dalam gajet ICT seperti komputer, telefon bimbit, kad sim serta kas memori yang telah musnah atau rosak akibat bencana banjir.

“Bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini telah meninggalkan banyak kesan serta impak dari segi fizikal dan juga mental dalam kalangan mangsa banjir. Jika dulu, mereka sibuk dan fokus untuk memastikan kediaman, kelengkapan rumah serta pakaian, kini mereka mula memberi tumpuan kepada gajet-gajet ICT yang musnah dan tenggelam oleh banjir. Maka, program yang diadakan ini amat bertepatan untuk mangsa-mangsa banjir tampil mendapatkan bantuan bagi mengembalikan semula data serta informasi yang musnah dan rosak,” kata YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, semasa pelancaran “Ops Jelajah Cyber” yang disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah bagi pihak beliau.

Antara bantuan yang disediakan ialah mengenal pasti masalah (diagnostic) yang dihadapi mangsa banjir, membaik pulih USB thumb drive, external hard disc dan kad memori, mengadakan penyaringan data (data sanitization) serta ceramah mengenai pengurusan data, keselamatan serta ancaman siber masa kini dan pengendalian insiden melalui pusat bantuan Cyber999.

“Sebagai sebuah Kementerian yang diberi tanggungjawab mengenai pembangunan sains dan teknologi di Malaysia, maka adalah wajar untuk kita mengembeling tenaga pakar dari CSM untuk turun padang membantu mangsa banjir dengan menawarkan khidmat kepakaran dalam bidang pemulihan data,” ujar Datuk Dr. Ewon Ebin lagi.

Proses pemulihan data yang ditawarkan melalui program ini bergantung kepada tahap serta jenis kerosakan yang dialami gajet serta peralatan ICT berkenaan. Menurut Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, “sekiranya ia melibatkan kerosakan fizikal, ia dapat dipulihkan dengan proses penggantian komponen mekanikal atau elektrikal yang terlibat, dan jika ia melibatkan kerosakan logikal, ianya dapat dipulihkan dengan membaiki sistem fail media storan digital yang terlibat.”

“Kami menjemput orang ramai supaya hadir dengan membawa bersama media storan digital yang ditengelami air seperti USB thumb drive, external hard disc dan Kad Memori. Mereka hanya perlu membawa Kad Pengenalan bagi tujuan pendaftaran, menyenaraikan jenis data ataupun fail yang ingin dibaikpulih seperti Microsoft Office, fail multimedia dan sebagainya. Individu juga diminta membawa bersama USB thumb drive, external hard disc, cakera padat (hard disk) atau Kad Memori baru untuk storan data atau maklumat yang dibaik pulih,” jelas Dr. Amirudin lagi.

Konvoi “Ops Jelajah Cyber” bertolak dari perkarangan pejabat CSM di Seri Kembangan menuju lokasi pertama iaitu Kota Bharu di Negeri Kelantan diikuti negeri Pahang dan Terengganu. “Ops Jelajah Cyber” ini mendapat sokongan Kerajaan Negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu serta beberapa organisasi dalam industri keselamatan siber antaranya, Prisma Khas Sdn Bhd, Myung Inovasi Terkini Sdn Bhd, Huawei Malaysia, WS Mentari Sdn Bhd dan Trends Integrated.

Skip to content