Skip to main content
Berita

KARNIVAL SAINS DAN INOVASI ZON UTARA

By 2012-06-30Mac 10th, 2017No Comments

 

KEDAH, 30 Jun 2012 (Sabtu): Karnival Sains dan Inovasi Zon Utara, iaitu salah satu program induk Tahun Sains dan Gerakan  Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Turut hadir pada majlis yang sama ialah Yang Berhormat Datuk Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Menteri MOSTI; Yang Berbahagia Dato’ Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha MOSTI; Rektor UiTM Kedah; dan wakil-wakil Kerajaan Negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Lebih 2,000 orang telah membanjiri Dewan Perdana, UiTM Merbok Kedah sempena Majlis Perasmian ini.

Karnival Sains dan Inovasi Zon Utara yang berlangsung selama dua hari ini merupakan satu platform yang kaya dengan penyaluran dan perkongsian ilmu sains, teknologi,dan inovasi untuk semua lapisan masyarakat.  

Program dua hari ini bermula dari 30 Jun hingga 1 Julai 2012, dijangka menarik seramai 10,000 orang pengunjung dari segenap lapisan masyarakat untuk mengikuti pelbagai aktiviti sains, teknologi dan inovasi yang telah disediakan sepanjang Karnival Sains dan Inovasi Zon Utara.

Karnival yang dianjurkan melalui kerjasama strategik antara pihak UiTM Kedah dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pelbagai Kementerian, Badan Bukan Kerajaan dan pihak swasta dijangka memberi kesan berganda kepada usaha kerajaan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian kita.  

Orang awam termasuk pelajar dan belia, akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti yang berbentuk interaktif dan pameran sains dan teknologi serta mendorong mereka untuk memupuk budaya sains dan inovasi untuk kehidupan seharian.

Sebanyak 120 aktiviti interaktif dan pertandingan dan 93 pameran produk inovasi diadakan untuk orang ramai. Antara aktiviti menarik ialah pertandingan Lego Build-It, pertandingan Geo-catchingmenggunakan GPS, pertandingan layang-layang 3D, bengkel Angkasawan Space Camp, pertandingan roket air, persembahan sains muzikal, bengkel animasi BoBoiBoy dan Petrosains Science Show.

Sempena program ini juga, pihak Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah mengadakan program Jejak Inovasi yang mana Flag-off program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri MOSTI pada majlis yang sama. Program dari 30 Jun hingga 4 Julai 2012 ini bertujuan untuk mengesan inovasi akar umbi untuk pembangunan lestari yang akhirnya bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar. Bermula pada tahun lepas, Jejak Inovasi kali ini akan menjejaki inovasi akar umbi di empat daerah di Kedah.

Program ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada pereka cipta akar umbi serta menggalakkan pencetusan idea baharu dan pengkomersilan produk inovasi hasil ciptaan rakyat kreatif dan telah menghasilkan pelbagai produk atas inisiatif sendiri.

Skip to content