Skip to main content
Berita

Kejohanan Roket Kebangsaan 2017 Program Berbentuk Sukan Sains Dan Tarik Minat Ke Arah STEM

Kuala Lumpur, 19 September  –   Kejohanan Roket Kebangsaan 2017 (KRK2017) telah berlangsung bermula dari 16 September 2017 di Planetarium Negara Kuala Lumpur dan telah menutup tirainya pada hari ini di Stadium Arena, Universiti Malaya.

 

Kejohanan ini merupakan sebuah pertandingan roket air berbentuk “sukan sains” yang menggabungkan aktiviti kecergasan fizikal di atas padang dan aplikasi teori sains berkaitan dengan roket dan teknologi pelancarannya.

 

Saya percaya bahawa penganjuran KRK2017 dapat meningkatkan pengetahuan dan minat golongan pelajar serta menyumbang kepada peningkatan peratusan pemilihan  bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik  atau ringkasnya STEM di kalangan pelajar-pelajar di seluruh negara” ujar YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) semasa majlis perasmian penutup hari ini.

 

“Penganjuran KRK2017 pada kali ini juga adalah selaras dengan usaha MOSTI untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di kalangan masyarakat. Kementerian ini melalui Planetarium Negara akan sentiasa mencari formula, agar bidang ini sentiasa dekat di hati masyarakat” tambahnya lagi.

 

Planetarium Negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Malaya (UM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menganjurkan program ini sejak tahun 2003 dan tahun ini merupakan edisi kali ke-15 ia telah dilaksanakan.

Juara  KRK2017 bakal membawa pulang Piala Pusingan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi, sebuah Teleskop Skywatcher Star Discovery 127 beserta hadiah iringan seterusnya mewakili Malaysia dalam Pertandingan Roket Air Peringkat Asia Pasifik bersempena The 24th Session of Asia Pasific Regional Space Agency Forum (APRSAF) Water Rocket Event di Bengaluru, India.  Pada edisi yang lalu, pasukan Malaysia telah berjaya merangkul tempat pertama di peringkat Asia Pasifik pada tahun 2014 di Tokyo, Jepun dan sekali lagi pada tahun 2016 di Laguna, Filipina.

 

MOSTI mengharapkan agar program seumpama ini akan dapat mengikis tanggapan negatif masyarakat terhadap bidang STEM dan seterusnya memberikan impak secara langsung kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada golongan generasi muda, khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah di Malaysia.

 

Turut menerima hadiah pada kejohanan KRK2017 kali ini adalah Naib Johan Keseluruhan dan Tempat Ketiga Keseluruhan yang menerima hadiah berupa plak, pingat, edukit dan sijil kecemerlangan. Selain itu pemenang bagi Kategori Pembentangan Terbaik, Kategori Sasaran Terbaik, Kategori Payload Terbaik dan Kategori Inovasi Terbaik juga telah menerima hadiah berupa plak, pingat, dan sijil kecemerlangan bagi setiap kategori.

 

Majlis perasmian penutup kejohanan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah. Turut sama hadir adalah YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar bin Hj Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), En. Zulhibabullah Ismail, Wakil Pengarah Planetarium Negara, Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Malaya, Wakil Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Wakil Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA.

 

 


 

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Korporat

Planetarium Negara

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

 

Skip to content