Skip to main content
Berita

Lawatan YB Menteri MOSTI ke syarikat Aerodyne Group, Cyberjaya

Cyberjaya, 14 September 2020 – YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) hari ini telah mengadakan lawatan ke syarikat Aerodyne Group di Cyberjaya bagi melihat produk teknologi dan inovasi yang dibangunkan oleh syarikat tersebut.
Aerodyne Group merupakan peneraju syarikat teknologi multinasional di Malaysia dengan pengkhususan perkhidmatan dron dan pengurusan data di dalam bidang DT3 (Drone Technology, Data Technology & Digital Transformation). Aerodyne kini telah berkembang dengan memiliki 400 kakitangan dan kini menduduki tempat ke-3 dalam Laporan Pembekal Perkhidmatan Dron Antarabangsa 2019 yang dikeluarkan oleh DRONE Industry Insight (DRONEII).
Aerodyne menyokong transformasi digital dengan menggunakan dron untuk membantu pelanggan menguruskan infrastruktur aset kritikal mereka dengan lebih berkesan. Delegasi MOSTI telah disambut oleh Encik Kamarulazman Muhamed, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Aerodyne Group. KPE Aerodyne Group telah memberikan penerangan mengenai fungsi, peranan, kepakaran, kemudahan dan khidmat yang disediakan oleh syarikat Aerodyne. Selain itu, YB Khairy dan delegasi dari MOSTI juga turut dibawa melihat demonstrasi produk teknologi dan inovasi yang dihasilkan oleh syarikat Aerodyne seterusnya menyertai sesi townhall bersama kakitangan Aerodyne.
Skip to content