Skip to main content
Berita

Majlis Anugerah Tokoh Pereka Negara dan Malaysia Good Design Mark 2011

By 2012-03-27Mac 11th, 2017No Comments

 

SHAH ALAM (27 Mac 2012) : YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari ini telah menyampaikan ‘Anugerah Tokoh Pereka Negara’ kepada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pengiktirafan ‘Malaysia Good Design Mark 2011’ kepada 17 syarikat tempatan di atas kejayaan mereka menghasilkan produk yang kreatif, inovatif dan mempunyai rekabentuk yang menarik, di dalam satu majlis anjuran Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).

‘Tokoh Pereka Negara’ diberikan kepada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menghargai sumbangan beliau membangunkan Malaysia menerusi bidang inovasi rekabentuk. Pembangunan pesat negara termasuk pembinaan jambatan Pulau Pinang, KLCC, Putrajaya dan KLIA membuktikan komitmen YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membina pelbagai mercu tanda yang boleh meletakkan Malaysia seiring dengan negara-negara maju lain diperingkat antarabangsa. Malahan penganugerahan ini turut diberikan bagi menghargai inisiatif YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan Majlis Rekabentuk Malaysia pada tahun1993, dengan hasrat ingin meningkatkan daya saing produk keluaran tempatan menerusi inovasi rekabentuk dipasaran global.

Selain itu, sebanyak 80 produk daripada pelbagai kategori telah diterima untuk penilaian dan dari jumlah tersebut sebanyak 30 produk didapati menepati spesifikasi yang ditetapkan sekaligus layak menerima ‘Malaysia Good Design Mark’ bagi tahun 2011. Penilaian dilakukan oleh panel juri profesional dari pelbagai latar belakang dan profesyen berdasarkan kepada beberapa kriteria utama seperti nilai estetika dan penampilan popular, penggunaan yang praktikal dan berfungsi, elemen ergonomik di samping ciri-ciri keselamatan.

‘Malaysia Good Design Mark’ merupakan pengiktirafan rekabentuk oleh Kerajaan Malaysia melalui Majlis Rekabentuk Malaysia. Ia diberikan kepada rekabentuk produk yang berkualiti dan inovatif hasil rekaan dan keluaran syarikat. Pengiktirafan ini memperakui usaha sektor perindustrian dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan berterusan dalam mempertingkatkan produk baru. Ini diharapkan dapat menjadikan Malaysia sebagai penyumbang kepada kemajuan teknologi dan ekonomi global.

Sepanjang 15 tahun ‘Malaysia Good Design Mark’ dianjurkan, Majlis Rekabentuk Malaysia telah memberi pengiktirafan kepada lebih dari 350 produk. Selain itu, pihak Malaysia Rekabentuk Malaysia juga telah membuat pengubahsuaian sistem penilaian bagi memperkemaskan dan memastikan kualiti program adalah setanding dengan program seumpamanya anjuran negara lain kerana secara tidak langsung produk dengan logo ‘Malaysia Good Design Mark’ mewakili Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar produk terbaik di dunia.

Majlis Rekabentuk Malaysia telah diberi mandat oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menerajui dan menyelaras aktiviti-aktiviti rekabentuk di Malaysia agar setanding diperingkat global.

Skip to content