Skip to main content
Berita

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA AGENSI NUKLEAR MALAYSIA DAN PERSATUAN KANSER KEBANGSAAN MALAYSIA (NCSM)

By 2012-09-12Mac 10th, 2017No Comments

 

PUTRAJAYA, 12 September –  Satu Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Agensi Nuklear Malaysia dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (National Cancer Society Malaysia – NCSM ) telah diadakan di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini.

MoU ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan kerjasama di antara Nuklear Malaysia dan NCSM dalam penggalakan aplikasi penggunaan bahan radiofarmaseutikal penjana Technetium (Tc-99m) untuk pengimbasan tahap keadaan pesakit-pesakit kanser khususnya bagi mereka yang tidak berkemampuan. Usaha ini juga adalah merupakan sumbangan Nuklear Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan sosial.

MoU ini berkuat kuasa selama 12 bulan mulai 1 Ogos 2012 hingga 31 Julai 2013 dan boleh diperbaharui selepas mendapat persetujuan bersama.

Memorandum ditandatangani oleh Dr. Mohamad bin Lebai Juri, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia dan Dr. Saunthari Somasundaram, Presiden Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia dan disaksikan oleh YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Terdahulu dalam ucapannya, YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili menyatakan bahawa program persefahaman yang melibatkan aplikasi sains tidak asing bagi MOSTI. Namun begitu, program persefahaman dengan NCSM ini merupakan program pertama yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

Nuklear Malaysia, dengan pengalamannya dalam bidang nuklear selama 40 tahun, telah berjaya membangunkan keupayaan untuk mengeluarkan bahan-bahan radiofarmaseutikal termasuk Technetium-99m. Dalam bidang perubatan nuklear, Technetium-99m (Tc-99m) adalah bahan radioaktif  yang digunakan dalam pengimejan fisiologi badan manusia bagi tujuan diagnosis yang tidak dapat dihasilkan oleh kaedah-kaedah pengimejan lain.

Kemudahan pengeluaran bahan radio farmaseutikal di Nuklear Malaysia telah dianugerahkan pensijilan Amalan Pembuatan Terbaik  atau Good Manufacturing Practice (GMP) yang diiktiraf oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia. Pensijilan ini menjamin produk yang dihasilkan dengan mematuhi standard antarabangsa serta selamat dan berkualiti tinggi. 

Usaha kerjasama ini akan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang diberikan oleh NCSM, sebuah badan kebajikan kepada pesakit kanser. Pusat-pusat kanser NCSM terdapat di Pusat Sumber dan Kesejahteraan, Pusat Pengesanan Kanser Wanita, Pusat Perubatan Nuklear, Pusat Rawatan Kanser dan Rumah Harapan Kanak-kanak.

Skip to content