Skip to main content
Berita

MDEC dan MYNIC ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia

By 2013-09-10Disember 14th, 2020No Comments

h

 

Putrajaya, 10 September 2013– Multimedia Development Corporation (MDeC) dan MYNIC Bhd (Pusat Rangkaian Maklumat Malaysia) bersama fungsi dan peranannya telah dipindahkan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) setelah pertimbangan bagi penyelarasan dan penyatupaduan segala urusan yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di bawah satu kementerian, mendapat persetujuan kerajaan mengikuti jejak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah pun diletakkan dalam Kementerian ini sejak 2009.

Perwujudan KKMM dalam Kerajaan baru selepas Pilihan raya Umum Ke-13 lalu, adalah bertepatan dalam penyusunan semula peranan dan fungsi agensi-agensi yang berkaitan dengan ICT di bawah satu bumbung.

Langkah ini dapat memastikan fungsi dan kuasa yang selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 diletakkan di bawah seorang menteri iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan pembangunan industri ICT yang kini meliputi percantuman teknologi telekomunikasi, teknologi maklumat, penyiaran dan Internet dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan demi mencapai dasar objektif negara.

Sebelum ini, bermula pada tahun 2004 SKMM yang berperanan lebih kepada mengawalselia industri komunikasi diletakkan di bawah KementerianTenaga, Air dan Komunikasi manakala MdeC serta beberapa agensi lain yang berkaitan dengan IT diletakkan di bawah MOSTI. Bagi memantapkan lagi peranan penggubalan dasar dan pembangunan IT Negara, MOSTI telah mewujudkan beberapa agensi baru. Namun kuasa perundangan dilihat masih berpandukan kepada Akta 1998 yang diurustadbir di bawah SKMM.

MDeC, sebuah agensi yang diwujudkan khusus untuk menjayakan pelaksanaan Projek Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor- MSC) yang pada awalnya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kemudian dipindahkan ke Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia satu ketika dahulu di mana SKMM juga ditempatkan. Manakala MYNIC pula, berperanan dalam pentadbiran domain merupakan tugas dan peranan yang dikawalselia oleh SKMM.

Dari segi pembangunan kandungan dan multimedia pula, penyelarasan agensi-agensi dapat menyelaraskanpenggunaan geran-geran pembangunan kandungan seperti filem animasi dan sebagainya yang disediakanoleh MDeC dan SKMM serta FINAS secara optimum serta lebih tersusun kerana tujuan penyediaan geran-geran tersebut adalah sama.

Penyusunan semula fungsi-fungsi di atas di bawah satu kementerian turut menjadikan KKMM sebagai penggerak utama dalam segala aspek perancangan, penggubalan dan pengawasan dasar bagi industri komunikasi dan multimedia, mewujudkan hubungan rapat dengan sektor swasta serta menjaga kepentingan negara di peringkat antarabangsa.

Ia juga penting dalam usaha penggemblengan sumber secara komprehensif dan optimum dalam agenda transformasi negara seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Digital Malaysia dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang bakal menyumbang untuk pembangunan industri komunikasi dan multimedia negara ke arah negara berpendapatan tinggi.

Skip to content