Skip to main content
Berita

Meningkatkan Daya Saing Produk Tempatan Menerusi Pengiktirafan Rekabentuk

By 2015-04-14April 12th, 2021No Comments

 

Putrajaya, 14 April 2015 – Rekabentuk menarik dan unik memberi nilai tambah kepada sesuatu produk dan akan membezakannya dengan produk yang lain. Dengan menyuntik elemen inovasi ke dalam sesuatu rekaan akan meningkatkan daya saing produk ke pasaran global.

Berucap di Majlis Penyampaian Malaysia Good Design Mark (MGDM) 2014, YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menggesa sektor perindustrian tempatan untuk memacu kejayaan melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk dengan rekabentuk yang lebih kreatif dan inovatif.

“Bagi produk yang memiliki fungsi teknologi, kualiti dan harga yang hampir sama, rekabentuklah yang menjadi penentu sama ada ia akan diterima atau popular di kalangan pengguna” tambahnya lagi.

Sebanyak 48 produk daripada 29 syarikat diberi pengiktirafan dalam MGDM 2014 kerana menepati standard penilaian rekabentuk yang telah ditetapkan. Pengiktirafan ini adalah bagi memperakui usaha sektor perindustrian dalam melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan berterusan untuk meningkatkan kualiti produk.

Sementara itu, YBhg Prof. Dato’ Dr Ahmad Haji Zainuddin, Pengerusi Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) turut memaklumkan bahawa MRM akan meneruskan anjakan paradigma sektor perindustrian tempatan dengan berusaha memperkenalkan inisiatif berkaitan bagi membantu produk keluaran tempatan terus menempa nama dan setanding di peringkat antarabangsa.

Skip to content