Skip to main content
Berita

MyHackaton 2020, Inisiatif Utama Di Bawah Penjana, DiLancarkan Untuk Membangunkan Penyelesaian Digital Bagi Memastikan Rakyat Menerima Bantuan Segera

Kuala Lumpur, 3 Oktober 2020 – MOSTI mempelawa inovator, jurutera perisian, pakar subjek dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyertai MYHackathon 2020, sebuah acara hackathon nasional yang dianjurkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk bersama-sama mencipta penyelesaian digital bagi membantu meningkatkan penyampaian Kerajaan dan perkhidmatan awam.
Pelancaran MYHackathon 2020 Pusingan Kuala Lumpur hari ini disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Dr Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI yang mewakili YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Tema bagi MYHackathon 2020 pusingan KL ialah Prihatin Rakyat yang memberikan fokus kepada penyelesaian digital bagi menyalurkan bantuan segera kepada golongan yang memerlukan, kurang upaya, miskin bandar, dan warga emas, termasuk pendaftaran dalam talian, pengurusan pendaftaran, pengesahan dan pemantauan bantuan kerajaan; pengeluaran bantuan kewangan/bukan kewangan atau bantuan kepada penerima yang layak; pendaftaran dalam talian, pengurusan pendaftaran, pengesahan, kemudahan dan pemantauan bagi orang kurang upaya (OKU); Identiti Digital Nasional; dan untuk warganegara mendapatkan akses maklumat dan perkhidmatan untuk Gerbang Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (GOSG). Objektifnya adalah untuk memastikan kumpulan sasaran dan penerima mendapat bantuan tepat pada masanya.
MYHackathon 2020 terbahagi kepada dua kategori iaitu:
i. SPRINT – peserta diberi peluang untuk menyertai secara suka-suka (join for fun) dan jika idea mereka terpilih, mereka tidak perlu memberikan komitmen untuk 12 bulan seterusnya bagi mencari penyelesaian.
ii. MARATHON – para peserta menyertai dengan hasrat untuk menyelesaikan pernyataan-pernyataan masalah kerajaan dan sekiranya mereka dipilih sebagai pemenang, mereka perlu membangunkan idea penyelesaian ke peringkat projek rintis dalam tempoh sehingga 12 bulan.
MYHackathon 2020 ini diterajui oleh Cradle Fund Sdn Bhd dan disokong oleh Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC), MAMPU JABATAN PERDANA MENTERI, University Makers (UniMAKER), dan Unifi di bawah Telekom Malaysia Berhad sebagai rakan telekomunikasi rasmi. MYHackathon 2020 akan dianjurkan sebanyak enam pusingan di lokasi yang berlainan di seluruh Malaysia. Setiap lokasi akan mengetengahkan tema tertentu dan set pernyataan masalah yang berkaitan bagi memaksimumkan nilai dan impak. Pernyataan masalah telah dikenal pasti pada semua peringkat kerajaan dari persekutuan, negeri dan tempatan/daerah dan dikategorikan di bawah enam tema – Prihatin Rakyat, Rakyat Sihat Sejahtera, Ilmu Pelita Hidup, Bina Negara, Nilai Keluarga Asas Pembangunan dan Rakyat Produktif.
Pusingan pertama di Kuala Lumpur ini menyaksikan penyertaan 191 pasukan dalam talian dan 91 pasukan fizikal, dengan 141 orang yang hadir secara fizikal dari 91 pasukan ini. Pusingan MYHackathon 2020 seterusnya akan diadakan di Kuala Terengganu, Johor Bahru dan Pulau Pinang sebelum kemuncaknya, peringkat akhir ‘Battle of the Best’ yang akan diadakan di Cyberjaya pada bulan Disember.
Untuk maklumat lanjut mengenai MYHackathon 2020, layari https://myhackathon.gov.my/.
Skip to content