Skip to main content
Berita

NANO Malaysia 2013, Kerjasama Antara Akademia dan Industri Dalam Nanoteknologi

By 2013-12-10Disember 14th, 2020No Comments

phoca_thumb_l_Nano_HL

 

Melaka, 10 Disember 2013 – Nano Malaysia 2013 Convention & Expo anjuran bersama Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan ( NND ) dan NanoMalaysia Berhad ( NMB) dengan sokongan Kementerian Sains , Teknologi dan Inovasi ( MOSTI ) akan diadakan di Melaka International Trade Centre (MITC ) dari 10-12 Disember 2013.

Nano Malaysia 2013 Convention & Expo dibahagikan kepada empat program utama iaitu Konvensyen Penyelidikan dan Pembangunan Nanoteknologi; Seminar Pengkomersilan Nanoteknologi; Bengkel Antarabangsa Pengurusan Penyelidikan dan Pembangunan Nanoteknologi dan pameran. Konvensyen kali ini akan memberi tumpuan kepada beberapa bidang aplikasi mikro dan nanoteknologi dalam teknologi bahan; kimia; tenaga dan alam sekitar; serta sistem dan peralatan elektronik. Konvensyen turut memberi fokus kepada perkembangan dalam aspek pendidikan; penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan dan perindustrian nanoteknologi itu sendiri.

Demografi peserta terdiri daripada pelbagai kategori dalam ekosistem nanoteknologi di Malaysia seperti ahli-ahli sains; penyelidik dan pencipta; ahli-ahli akademik dan pelajar; penggubal dasar; pegawai kerajaan; pemodal teroka; usahawan dan lain-lain.

Pameran atau ekspo kali ini diadakan bagi memberi pendidikan dan kesedaran mengenai manfaat dan potensi nanoteknologi kepada masyarakat. Salah satu kumpulan sasaran utama bagi pameran ini adalah pelajar sekolah dan universiti. Pameran ini turut menghimpunkan ahli-ahli akademik, penyelidik, saintis, usahawan dan penggubal dasar untuk berkongsi dan bertukar maklumat berkaitan penyelidikan dan inovasi terkini; bidang kerjaya dan peluang perniagaan di samping sebagai satu platform untuk mempamer dan mempromosikan produk dan teknologi inovatif mereka.

Konvensyen yang dirasmikan oleh YB. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ini akan memberi halatuju dalam bidang penyelidikan dan pembangunan nanoteknologi untuk masa hadapan dan membuka ruang kepada peserta untuk mempromosikan hasil pencapaian; menggembleng usaha kerjasama dan meneroka peluang pengkomersialan dalam bidang nanoteknologi bersama.

Skip to content