Skip to main content
Berita

National Technology & Innovation Sandbox Bakal Pacu Pemulihan Ekonomi

NTIS: Fasiliti Setempat untuk para penyelidik, penginovasi, syarikat pemula menjalankan pengujian stres produk, perkhidmatan dan mekanisme ke arah pembangunan masa depan masyarakat
CYBERJAYA, 19 OGOS 2020 – Prospek Malaysia untuk menjadi negara pesat membangun dan didorong oleh inovasi diperkukuhkan lagi dengan pelancaran National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) pada hari ini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd. Yassin.
NTIS adalah inisiatif utama yang diumum di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA). Ia bertujuan memacu perjalanan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi dengan meningkatkan pembangunan dan akses kepada teknologi canggih. Diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) sebagai sekretariat utama. NTIS bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Keluaran Negara Kasar (KNK) dan keterangkuman sosial serta meningkatkan penglibatan, pelaburan dan kolaborasi dalam penyelidikan oleh sektor swasta.
“Kita semua impikan Malaysia yang pesat, negara yang membangun dengan kehidupan berkualiti tinggi dan negara di mana setiap seorang daripada kita menjadi rakyat yang berjaya. Saya percaya visi ini boleh dipacu melalui teknologi. NTIS memberikan kita peluang untuk mentransformasi Malaysia kepada ekonomi yang didorong oleh inovasi, memastikan kita memupuk masyarakat yang amat aktif, berdaya tahan dan berdaya saing sementara menaikkan reputasi negara di serata dunia,” kata Perdana Menteri Yang Amat Berhomat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd. Yassin.
Tambah beliau, bagi mewujudkan ekonomi yang lebih baik untuk rakyat, ia memerlukan usaha bersama daripada semua lapisan masyarakat. “Memacu agenda inovasi negara terutamanya secara realiti dan pasca COVID-19 memerlukan penglibatan setiap rakyat Malaysia terdiri daripada kementerian dan agensi kerajaan sehinggalah kepada sektor swasta, ahli akademik dan syarikat pemula tempatan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Khairy Jamaluddin berkata, rakyat akan mendapat manfaat menerusi pelaksanaan NTIS, selain ia dapat memacu inovasi Malaysia dan meningkatkan pembangunan bakat negara, “Inisiatif NTIS ini merupakan komitmen berterusan Kerajaan terhadap usaha R&D dan inovasi tempatan dengan membuka jaminan bahawa produk, teknologi dan perkhidmatan hasil R&D serta inovasi tempatan mempunyai tempat di pasaran terbuka dan mempunyai potensi pengkomersialan ini juga bermakna mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pengusaha inovasi untuk berkembang
maju dalam negara.”
Enam projek perintis yang telah dikenal pasti untuk memulakan NTIS ialah:
1. Robot mudah alih yang ringan ditugaskan dalam sektor pertanian untuk meningkatkan kecekapan kerja dan mengurangkan bilangan pekerja yang diperlukan.
2. Alat bantuan pernafasan separa (semi ventilator) yang pertama untuk membantu pesakit yang mengalami kesukaran bernafas.
3. Robot untuk membantu proses pemulihan bagi pesakit strok atau kondisi perubatan lain dengan fungsi anggota terhad/terjejas.
4. Penyelesaian dron untuk mengautomasi penyembur racun perosak yang berketepatan tinggi, menjimat masa dan kos dalam sektor pertanian.
5. Robot linear pungut-dan-letak bagi kegunaan sektor pembuatan yang dapat mengurangkan bilangan pekerja yang diperlukan dan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kualiti penghasilan.
6. Robot penghantaran pertama buatan Malaysia di hospital untuk membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan untuk menyampaikan khidmat kepada pesakit COVID-19, mengurangkan potensi pendedahan kepada virus dengan mendadak.
Skip to content