Skip to main content
Berita

NICE ’17 Inisiatif Mengarusperdanakan STI Dengan Sasaran 500,000 Pengunjung

PUTRAJAYA, 6 OKTOBERNational Innovation and Creative Economy Expo 2017 (NICE’17), ekspo terbesar Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara yang akan diadakan pada 12 hingga 16 Oktober 2017 menyasarkan 500,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dan satu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengarusperdanakan STI.

 

NICE ’17 yang bertemakan “Negaraku Berinovasi” dianjurkan oleh Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi dan akan diadakan di tiga (3) lokasi utama iaitu Technology Park Malaysia (TPM), Pusat Sains Negara (PSN) serta Planetarium Negara (Planetarium). Majlis Pelancaran NICE ’17 akan dilaksanakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

 

YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam sidang media NICE ’17 pada hari ini mengharapkan NICE akan menjadi program dan “jenama” tahunan kerajaan yang mengetengahkan pelbagai hasil usaha Kerajaan di dalam usaha menggalakkan pembangunan dan kemajuan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara.

 

Menurut YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau lagi, usaha ini diambil bagi membudayakan inovasi dan kreativiti selaras dengan cita-cita Kerajaan melalui inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang berhasrat untuk menjadikan Malaysia negara maju, berteraskan inovasi dan mencapai kedudukan 20 negara terbaik dalam semua aspek.

 

NICE ’17 menyediakan pelbagai program menarik dan interaktif berasaskan kepada pertandingan, edutainment kreatif, 300 booth pameran bercirikan STI , bengkel, jualan dan program bina upaya, padanan perniagaan dengan fokus kepada 5 Kluster iaitu Kluster Teknologi, Kluster ICT, Kluster Edutainment, Kluster Wellness atau kesejahteraan dan Kluster Knowledge atau pengkayaan maklumat.

 

Antara program yang diyakini akan menarik ribuan pengunjung adalah pertandingan pertandingan NICE Drone GP, Robot Battle, KL Science Fiction – Lego, Gundam, Macross, Transformers, Fun Run for Science, NICE Games Convention, Science Book Fair,  Animation Village, Neo@Nice Forum, Telescope 500 Gathering @Planetarium, Upin Ipin, Didi & Friends, NanoMalaysia Smart Home, Malaysia 2050 dan banyak lagi.

 

Sempena NICE ’17 juga, tiket masuk ke PSN dan Planetarium Negara adalah PERCUMA termasuk Tayangan Planetarium. Petrosains sebagai rakan strategik pula akan menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk Yuran Keahlian Premium Petrosains dan diskaun sebanyak 10% untuk tiket masuk ke Petrosains.

 

Bagi kemudahan pengunjung, disediakan lebih 2,000 petak pakir kereta, 200 pakir bas,  50 tandas awam, 6 tandas OKU, 20 kawasan rehat keluarga, 30 gerai jualan makan minum dan 30 foodtruck disediakan, dua (2) surau untuk lelaki dan perempuan dengan keluasan 20″X 20″ setiap satu,  5 tram (dalam TPM) dengan kekerapan 15 minit setiap trip dan 5 bas (LRT Bukit Jalil ke TPM) dengan kekerapan 15 minit setiap trip disediakan juga secara percuma.

 

Dengan kerjasama 78 rakan strategik terdiri daripada pelbagai sektor iaitu kerajaan (25), swasta (37), IPT (14) antarabangsa (2), adalah diharapkan NICE ’17 dapat mengarusperdanakan STI dalam pembangunan sosio-ekonomi di Malaysia. Peningkatan minat terhadap STI serta pembudayaan kreativiti dan inovasi adalah dua (2) elemen penting NICE yang berupaya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi baharu menjelang 2050.

 

 

Skip to content