Skip to main content
Berita

Program Kreativiti & Science4U Di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sugut, Ranau, Sabah

By 2013-09-09Disember 14th, 2020No Comments

g

 

Ranau, 9 September – Program Kreativiti & Science4U anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah diadakan pada 5 hingga 7 September 2013 pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sugut, Ranau, Sabah.

YBrs. En. Japirin bin Sahadi, Setiausaha Politik Kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mewakili YB Menteri menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kreativiti & Science4U Ulu Sugut.

Program ini dibawa khas untuk para pelajar di sekitar kawasan Ulu Sugut, Ranau bagi tujuan meningkatkan tahap kesedaran dalam sains, teknologi dan inovasi selaras dengan pengisytiharan tahun 2010 sehingga 2020 sebagai Dekad Inovasi. Para pelajar diterapkan faktor yang menjamin kejayaan negara dalam dunia global yang sentiasa berubah iaitu modal insan yang berilmu, kreatif dan berinovasi.

Sebanyak 7 Agensi dan Bahagian di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)  telah mengambil bahagian dalam Karnival ini untuk berkongsi dan menyalurkan informasi dan teknologi masing-masing kepada para pengunjung. Agensi dan Bahagian MOSTI yang mengambil bahagian adalah Institut Agro- Bioteknologi (ABI), Bahagian Inovasi dan Pengkomersilan, SIRIM Berhad, Jabatan Kimia, Jabatan Meteorologi, Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Turut sama terlibat dalam pameran adalah Ranau Education Transmitting Community (RETC). Selain daripada itu, Pejabat Pelajaran Daerah Ranau dan Pertubuhan Unit Sains Kampung Lingkudau Ranau, Sabah (PUSKAL) turut mengambil bahagian untuk mengadakan pelbagai aktiviti, pertandingan serta mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Antara aktiviti-aktiviti interaktif yang dijalankan adalah pameran, demonstrasi dan pertandingan berteraskan sains dan kreativiti serta aktiviti gotong royong, pertandingan super spontan, pertandingan bolasepak persahabatan dan pencerapan bulan dan bintang bersama  penduduk tempatan, pelajar-pelajar dan guru-guru SMK Ulu Sugut. MOSTI juga dengan kerjasama SMK Ulu Sugut telah mengadakan Malam Sambutan Hari Kemerdekaan dan Sambutan Hari Raya peringkat sekolah.

Seramai 2,500 orang pengunjung yang terdiri daripada 2000 pelajar sekolah serta 500 orang ahli masyarakat sekitar Ulu Sugut hadir ke karnival ini. Seramai  270 orang pelajar dan guru dari 5 buah sekolah kebangsaan berhampiran iaitu SK Kaingaran, SK Makapoh, SK Karagasan, SK Malinsau dan SK Seri Gabungan  telah turut sama mengambil bahagian dalam Karnival tersebut. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada seberapa ramai yang mungkin, pelajar-pelajar di kawasan pedalaman untuk turut serta dalam pelbagai program yang dianjurkan oleh Kerajaan melalui MOSTI.

Melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang dihasilkan oleh MOSTI,  MOSTI menyokong inistiatif bagi pengukuhkan STEM atau Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik  di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 sehingga 2025 khususnya rancangan untuk memperkembangkan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan murid dalam 1 Sukan 1 Kelab dan 1 Badan beruniform.

Dalam hal ini,  MOSTI melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) akan menubuhkan Kelab Inovasi di sekolah-sekolah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Tujuan Kelab Inovasi ialah untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran pelajar untuk mencipta dan menyelesaikan masalah dan memupuk budaya pemikiran kreatif dan berinovasi mereka.

Kelab ini menyediakan platform untuk pembangunan idea-idea dan guru-guru kelab diberi latihan khusus untuk mengendalikan aktiviti kokurikulum secara berkesan dengan menggunakan  Innovation Toolkit yang telah dibekalkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia. Kita berharap melalui Kelab Inovasi ini kelak, akan berjaya menghasilkan anak-anak negeri Sabah, khususnya SMK Ulu Sugut, yang lebih kreatif dan berinovasi serta berjaya di dalam kerjaya mereka.

MOSTI juga telah menyampaikan sumbangan bahan-bahan bacaan seperti buku-buku cerita dan buku ilmiah untuk perpustakaan sekolah serta sumbangan derma kepada PIBG SMK Ulu Sugut.

Pihak media yang turut hadir di dalam program ini adalah Borneo Post Utusan Borneo, Harian Metro, New Sabah Times dan Daily Express.

Skip to content