Skip to main content
Arkib

SIRIM & UNIDO BANGUNKAN PROJEK LOJI DEMONSTRASI SOLAR TERMAL PERTAMA

By 2018-09-24April 19th, 2020No Comments

MACHAP, 24 Sep 2018 – Projek Loji Demonstrasi Solar Termal yang dibangunkan oleh SIRIM dengan kerjasama Organisasi Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIDO) merupakan loji demonstrasi yang menggunakan teknologi solar termal pertama seumpamanya dibina pada skala industri di negara ini.

Loji demonstrasi tersebut mampu menyediakan tenaga pemanasan solar yang mampan untuk proses pelecuran ayam itik, yang dapat menggantikan 80 peratus tenaga pemanasan oleh dandang elektrik yang kini digunakan dalam operasi.

Projek ini dapat mengurangkan pelepasan karbon sehingga 69 tan setahun, dan menjimatkan penggunaan elektrik sehingga RM50,000.00 setahun. Sistem ini terdiri daripada pengumpul tiub pemanasan solar, tangki simpanan haba dan penukar haba yang dikawal secara automatik.

SIRIM hari ini menyerahkan projek loji demonstrasi berkenaan kepada PPNJ Poultry & Meat Sdn Bhd dalam satu majlis penyerahan di sini yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Hj. Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang mewakili Menteri, YB Puan Yeo Bee Yin. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Seri Haji Saipolbahari Suib, Pengerusi Ahli-ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan Presiden dan YBrs. Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM,

Projek kerjasama Global Environment Facility (GEF)/UNIDO dan SIRIM ini juga telah berjaya melatih seramai 167 tenaga profesional dalam latihan pakar, 339 penggiat industri dalam latihan pengguna dan lebih daripada 630 peserta seminar kesedaran bagi mewujudkan critical mass terhadap penerimaan teknologi baharu dan penerapan yang berjaya dalam sektor perindustrian.

Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil berkata selain daripada loji demonstrasi PPNJ Poultry & Meat ini, SIRIM melalui kepakaran dan teknologi kejuruteraannya sendiri turut berjaya menyesuaikan teknologi itu kepada tiga (3) buah lagi loji dalam sektor makanan dan minuman serta perhotelan iaitu Muslim Kitchen Sdn Bhd di USJ, Selangor, Syarikat Aameen Sdn Bhd di Teluk Intan, Perak dan De Baron Hotel Sdn Bhd di Langkawi, Kedah.

“Maklum balas yang dikumpulkan sangat menggalakkan di mana syarikat pengeluar makanan ini berjaya mengurangkan lebih daripada 50 peratus penggunaan bahan bakar fosil dan bil elektrik, manakala hotel di Langkawi ini pula menggunakan sepenuhnya tenaga suria untuk bekalan air panas di salah satu tingkat hotel,” katanya lagi.

###

Mengenai SIRIM Berhad

Sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang utama di negara ini. SIRIM Berhad juga adalah peneraju Kualiti dan telah menerima pengiktirafan antarabangsa bagi Standard dan Penilaian Pematuhan, selaras dengan misinya untuk “menyediakan inovasi yang berkualiti dan lestari kepada Industri, Kerajaan dan Masyarakat”.  


Perhubungan Media:

  • Ruhil Amani Zainal Abidin, Tel: 603 5544 6770 / 013-2010402 e-mail: ruhil@sirim.my
  • Amalia Hasannudin, Tel: 603 5544 5021 / 017-3096519 e-mail: amalia@sirim.my

Skip to content