Skip to main content
Berita

Pelajar Malaysia Sertai Ekspedisi Pendidikan Artik

By 2015-07-26April 12th, 2021No Comments

 

SEPANG, 26 JULAI 2015 –  Bagi menarik minat pelajar untuk lebih mendekati bidang sains terutamanya bidang sains polar dan memberi inspirasi kepada guru-guru untuk memperkenalkan konsep baru dalam mendidik pelajar, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), telah menghantar 4 pelajar dan 2 orang guru bagi menyertai ekpedisi pendidikan ke benua Artik melalui program Students On Ice: Arctic Expedition. Program yang bermula dari 27 Julai sehingga 10 Ogos 2015 ini adalah dengan kerjasama kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Program Students on Ice ini merupakan program anjuran Student on Ice Foundation yang berpusat di Kanada bagi memberi pendedahan ke pada pelajar mengenai isu-isu semasa berkaitan Benua Artik terutamanya isu perubahan iklim.  YPASM telah merangka persefahaman dengan Student on Ice Foundation bagi membolehkan Malalaysia menghantar peserta buat julung kalinya. Peserta dipilih dari kalangan 24 pelajar dan 12 orang guru yang telah dicalonkan oleh Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu dan MRSM melalui Polar Science Camp yang telah diadakan di Kuala Lumpur dan Terengganu pada Mei lepas.

“MOSTI percaya pembangunan modal insan yang lestari dalam bidang sains, teknologi dan inovasi adalah satu komponen penting dalam usaha kerajaan mengejar status negara berpendapatan tinggi.  MOSTI sentiasa menggalakkan usaha berterusan semua pihak dalam memastikan kelangsungan pakar-pakar saintis dan penyelidik negara yang dapat menyumbang kepada penerokaan ilmu, penjanaan ekonomi dan kelestarian alam,” kata YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi semasa menghadiri Majlis Pelepasan Pelajar Bagi Program Students On Ice: Arctic Expedition hari ini.
Bagi program pertama ini, Malaysia akan diwakili oleh empat (4) orang pelajar yang akan diiringi oleh seramai 2 orang guru iaitu:

i.    Ahmad Amirul Farhan bin Zulkifli, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek , Kuala Terengganu,16 tahun, Pelajar
ii.    Nurul Izzaidah binti Zulkifli, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan,Besut, 16 tahun, Pelajar.
iii.    Roszita binti Mat Zin ,Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Besut, 37 tahun, Guru.
iv.    Ashraf Hakimi bin Nurulfaizin, Maktab Rendah Sains Mara, Kuala Kubu Bharu, 16 tahun, Pelajar.
v.    Raslan Bin Abdul Rahman, Maktab Rendah Sains Mara, Alor Gajah, 16 tahun, Pelajar.
vi.    Rakesh bin Sala, Maktab Rendah Sains Mara, Gemencheh, 38 tahun, Guru.

Pengumuman mereka yang terpilih telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin pada Malam Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2015 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada bulan Mei lepas.

Sepanjang ekspedisi ini, peserta-peserta akan menulis tentang aktiviti harian dalam bentuk blog yang akan di muat naik bersama gambar dan video melalui portal www.studentsonice.com/arctic2015.

 

Skip to content