Skip to main content
Berita

31 Produk R&D MOSTI Tembusi Pasaran Komersil

By 2014-04-04Disember 14th, 2020No Comments

phoca_thumb_l_UKK_0010

 

MOSTI menerusi inisiatif Tahun Pengkomersilan MOSTI 2014 (MCY2014) melancarkan 31 produk R&D dalam pelbagai bidang iaitu sains perubatan dan kesihatan (8), pertanian dan perhutanan (7), bioteknologi (6), ICT (6), teknologi kejuruteraan (3) dan sumber manusia (1). Kesemua produk ini menjadikan jumlah keseluruhan produk yang telah berjaya dikomersilkan sehingga 4 April 2014 ialah sebanyak 32 produk. Inisiatif MCY2014 menyasarkan 60 produk R&D untuk dikomersilkan pada tahun 2014 dan seterusnya mencapai sasaran 360 produk menjelang 2020.

MCY2014 yang telah dilancarkan pada Januari 2014 yang lalu memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kadar pengkomersilan teknologi dan produk R&D yang telah menerima peruntukan dana MOSTI dan bantuan daripada agensi MOSTI di bawah RMKe-9 dan RMKe-10. Inisatif ini juga bermatlamat ke arah menambahkan hasil negara di samping menyediakan peluang pekerjaan dalam ekonomi yang berkembang berasaskan inovasi melalui pengkomersilan R&D.

Di bawah RMKe-9, sebanyak 4,566 projek telah diluluskan di bawah dana MOSTI dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2,901 juta. Sejumlah 2,627 harta intelek telah dihasilkan, 14,390 peluang pekerjaan diwujudkan dan RM2,811 juta hasil jualan telah diperoleh.

Di bawah RMKe-10 pula, sehingga Februari 2014, sebanyak 1,386 projek telah diluluskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM649.2 juta, penghasilan 175 harta intelek, pewujudan 3,343 peluang pekerjaan dan RM332 juta hasil jualan diperoleh.

Pelaksanaan inisiatif MCY2014 melalui penyediaan platform pengkomersilan teknologi (TCP) akan memberi tumpuan kepada pembangunan produk bagi memperluaskan peluang pasaran dan mengukuhkan kerjasama strategik dengan pemain industri. Dalam mencapai matlamat ini, empat inisiatif akan diberi penekanan iaitu:

  • Program bina upaya;
  • Program pembangunan produk;
  • Fasilitasi akses kepada pasaran; dan
  • Fasilitasi akses kepada infrastruktur.

Di samping itu MOSTI akan terus mempergiatkan lagi inisiatif perkhidmatan seperti penyediaan direktori produk R&D dan inisiatif promosi yang lain.

Skip to content