Skip to main content
Berita

Teknologi Fiber Mastic Asphalt (Fma) Alternatif Kaedah Turapan Konvensional Tingkatkan Jangkahayat, Keselamatan Dan Kurangkan Penyelenggaraan Jalanraya

By 2017-02-04Jun 7th, 2017No Comments

MELAKA, 4 Februari 2017 – Teknologi penurapan jalanraya di negara ini secara amnya menggunakan bahan fiber import yang memerlukan peruntukan besar untuk dinaiktaraf sekiranya berlaku sebarang kerosakan. Melalui platform Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI), permasalahan ini akan dapat diatasi melalui pengenalan teknologi Fibre Mastic Asphalt (FMA) yang tahan bebanan tinggi dan mempunyai jangka hayat yang jauh lebih panjang.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), Novapave Sdn Bhd dan JAPERUN Paya Rumput telah menjalankan projek menaiktaraf jalan kampong di dua lokasi iaitu di Jalan Wakaf Bertam Ulu, Tangga Batu, dan Jalan Gereja, Cheng, Melaka dengan menggunakan teknologi FMA. Majlis pelancaran projek ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Dalam ucapannya, YB Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah selaku ahli parlimen Tangga Batu berkata, masalah kerosakan jalanraya akibat sering digunakan oleh kenderaan berat turut mendedahkan risiko kemalangan kepada penguna lain khususnya penduduk kampung.

“Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) dilihat sebagai salah satu inisiatif MOSTI dan agensi di bawahnya seperti MTDC untuk menyelesaikan masalah komuniti dengan mengetengahkan teknologi seperti Fibre Mastic Asphalt (FMA) yang menyediakan infrastuktur jalanraya bertaraf antarabangsa kepada penduduk di Parlimen Tangga Batu khususnya di kawasan Paya Rumput. Teknologi FMA yang pertama seumpamanya ini telah dihasilkan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dikomersialkan oleh Novapave Sdn Bhd. Teknologi ini mampu mengatasi masalah kerosakan jalanraya kerana ianya mempunyai kapasiti untuk menampung kenderaan muatan berat serta meningkatkan ketahanan jalan raya. Ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi di samping mengurangkan kos penyelenggaraan.”

Ketua Eksekutif MTDC YBhg. Dato’ Norhalim Yunus berkata, syarikat Novapave Sdn Bhd yang merupakan syarikat penerima dana MTDC dan salah sebuah syarikat yang dilahirkan oleh Program Symbiosis MTDC, dipilih untuk menerajui projek ini berdasarkan kepada potensi teknologi FMA untuk mengantikan kaedah dan bahan turapan konvensional yang dilihat mempunyai ketahanan yang rendah.

Teknologi yang menggunakan selulos fiber sebagai bahan pembinaan merupakan fiber yang dihasilkan daripada bahan buangan domestik kelapa sawit atau dikenali dengan nama NOVACELTM. Melalui kajian dan penyelidikan yang dijalankan, NOVACEL™ yang dihasilkan dalam bentuk gentian selulos dipertingkatkan kualitinya dan sifatnya bagi menstabilkan campuran asphalt.

Antara kelebihan yang bakal dinikmati melalui aplikasi teknologi ini di sini, jangka hayat penggunaan jalan ini akan meningkat iaitu tujuh hingga sepuluh tahun berbanding turapan biasa manakala pihak berwajib pula mendapat keuntungan dari segi pengurangan kos penyelenggaraan dalam tempoh tersebut.

Menerusi Program MSI yang dilaksanakan oleh MTDC, MOSTI menyalurkan dana kepada lapan syarikat termasuk universiti yang mempunyai inovasi dalam pelbagai bidang di mana teknologi yang dihasilkan dapat membantu masyarakat dan komuniti memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan hidup melalui pelaksanaan projek, perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau hasil inovasi menggunakan teknologi sedia ada.

Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI)

YAB Perdana Menteri telah bersetuju projek-projek RMKe-11 yang bersifat people centric akan dilaksanakan berdasarkan enam Pemacu Perubahan (Game Changer) melalui Platform Transformasi National Blue Ocean Strategy (NBOS). MOSTI Social Innovation (MSI) merupakan salah satu program yang akan dilaksanakan di bawah Game-Changer Innovation RMKe-11 mulai tahun 2016. Objektif Program MSI adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat melalui pelaksanaan projek, perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau hasil inovasi menggunakan teknologi sedia ada yang boleh dilaksanakan secara mampan.

Sehubungan dengan ini, MTDC telah dilantik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menjadi agensi pelaksana menjalankan lapan program di bawah platfom MSI dan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama di antara MTDC dan lapan pembekal teknologi yang terdiri daripada penerima Dana CRDF dan universiti telahpun berlangsung pada 14 November tahun lepas.

Menerusi program MSI, lapan Syarikat Pembekal Teknologi yang terdiri daripada penerima Dana CRDF dan universiti akan menjalankan pelbagai aktiviti berteraskan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup pelbagai lapisan masyarakat.

Skip to content