Skip to main content
Berita

‘An Evening of Fear’

By 2014-03-11Disember 14th, 2020No Comments

UKK_8373

 

Apakah rumah tinggal memberi persepsi seram kepada anda? Bagaimana pula tempat gelap, rupa hodoh dan bunyi-bunyian aneh? Adakah ianya mengejutkan anda? Cari jawapannya di Pameran Science of Fear yang sedang berlangsung di Pusat Sains Negara (PSN), Kuala Lumpur.

Sambutan di PSN mendapati ramai pengunjung beratur untuk merasai pengalaman yang menakutkan. Pameran ini adalah tarikan terbaru yang dibawa oleh PSN untuk memberi penerokaan baru bidang sains kepada semua pengunjung. Pameran ini bertemakan ketakutan dan ia merupakan antara produk pameran bertema yang popular dari Tokyo, Jepun dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan di setiap destinasi pamerannya. Antaranya di Niigata Science Museum yang mencatatkan 110,000 pengunjung pada kali pertama ia dianjurkan pada tahun 2010, Nagoya City Science Museum, The Pier-2 Art Center, Taiwan dan BEXCO, Korea pada tahun 2011 serta Okinawa Prefectural Museum & Art Museum pada tahun 2012.

Pameran Science of Fear mengutarakan perasaan takut kepada ketidakpastian dan perihal kebimbangan. Apakah yang tersembunyi di tempat gelap dan adakah ianya benar atau paranormal. Di sini, fenomena sistem minda manusia yang menzahirkan kewujudan hantu dirungkai menggunakan teknologi kejuruteraan genetik. Kajian saintifik menunjukkan perasaan sebagai emosi semulajadi manusia. Ia adalah naluri pertahanan diri semulajadi yang dicetus apabila seseorang mendapati bahawa dia berada dalam keadaan merbahaya atau terancam. Antara perkara lain yang menakutkan manusia adalah seperti ketinggian, labah-labah, ular dan serangga.

Ia juga menerangkan kaitan antara manusia dan ketakutan. Misalnya, bagaimana perasaan takut wujud terhadap hantu, serangga dan kegelapan tetapi tidak pada peralatan moden seperti kereta dan barangan elektronik yang boleh menyebabkan kecederaan. Pameran Science of Fear dibahagikan kepada 4 bahagian utama iaitu Haunted House Area, Scientific Area, Observation Area, dan Experience Area.

Objektif pameran Science of Fear diadakan adalah untuk menyingkap dan meleraikan persoalan tentang kewujudan perasaan takut melalui paparan elemen-elemen seram yang mampu mencetus perasaan takut dan emosi cemas dalam minda manusia. Perasaan dan emosi ini diterangkan melalui penemuan kajian saintifik bagi membuktikan bahawa perasaan takut wujud disebabkan peranan otak manusia. Di samping itu, ia juga mampu membuka minda masyarakat Malaysia yang terlalu mempercayai fenomena paranormal untuk melihat kejadian-kejadian aneh dan mistik yang boleh diterangkan melalui konsep-konsep sains.

Bersempena pameran ini, majlis An Evening of Fear diadakan khusus bagi Ahli Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama ahli keluarga masing-masing untuk merasai dan menerokai pengalaman menakutkan di Pameran Science of Fear. Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pameran ini mula dibuka kepada pengunjung pada 30 Disember 2013 bertempat di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur dan akan berakhir pada 30 April 2014. Harga tiket bagi pameran ini ialah RM8 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Untuk sebarang info lanjut mengenai pameran ini boleh menghubungi Pusat Sains Negara di talian 03-20893400 atau melayari laman web www.psn.gov.my serta facebook Pusat Sains Negara.

Skip to content