Skip to main content
Berita

Majlis Penyerahan Peranti Keselamatan Bagi Kaum Ibu Dan Bayi Yang Baharu Dilahirkan Di Hospital Kerajaan (B-TAG & TRACK)

By 2017-09-27April 21st, 2021No Comments

BANTING, 26 September – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa berusaha untuk mengarus perdanakan STI serta menyemarak dan membudayakan STI. Salah satu daripada usaha ini ialah pelaksanaan Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI). MOSTI melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) telah menjalankan penyelidikan dan menghasilkan Peranti Keselamatan Bagi Kaum Ibu dan Bayi Yang Baharu Dilahirkan DiHospital Kerajaan (B-Tag & Track) dengan kerjasama Hospital Banting.

Penggunaan Teknologi Radio Frequency Identification (RFID) yang digunakan dalam peranti B-Tag&Track telah  digunakan secara meluas di sektor angkasa khususnya di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bagi pengurusan inventori dan juga penentududukan perkakasan tertentu.  Kini, teknologi RFID telah diadaptasi ke Peranti B-Tag&Track bagi penentududukan dalam bangunan (indoor positioning) yang menjamin keselamatan bayi semasa berada di dalam wad. Selain itu, peranti ini juga berkeupayaan untuk membuat  pengesanan sepadan antara ibu dan bayi secara automatik.

 

Menurut Madius Tangau, “ Dengan adanya peranti B-Tag&Track ini, ianya akan meningkatkan tahap keselamatan ibu dan bayi sepanjang mereka berada di hospital. Saya yakin dengan adanya sistem ini, pastinya akan dapat membantu meningkatkan keyakinan rakyat dalam menggunakan perkhidmatan perubatan yang telah disediakan oleh pihak  Kerajaan khususnya yang melibatkan kelahiran bayi.

 

Menerusi projek ini, sistem keselamatan yang lengkap telah ditempatkan di Wad 1 dan Wad 2 Hospital Banting yang terdiri daripada dua (2) buah komputer meja yang dilengkapi perisian keselamatan, 20 set lengkap RFID tag untuk bayi, ibu dan katil bayi bagi kelahiran tunggal, satu (1) set lengkap RFID tag bagi kelahiran kembar, enam (6) RFID receiver di tempatkan di siling disepanjang wad, empat (4) door mount exciter di pintu masuk dan keluar wad.

 

Dengan adanya sistem B-Tag&Track ini ia dapat memudahkan tugas harian jururawat dalam memastikan tahap keselamatan bayi yang baharu dilahirkan di Hospital Kerajaan berada pada tahap yang optimum.

 

Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains Teknologi Inovasi) MOSTI, YBrs. Dr. Noordin bin Ahmad, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), YBrs  Dr. Murniati binti Haji Hasan, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor dan YBrs. Dr. Sabrina Che Ab Rahman, Pengarah Hospital Banting serta kira-kira 100 orang jemputan yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan MOSTI, Hospital Banting, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor,dan warga ANGKASA.

 


Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Korporat

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)

www.angkasa.gov.my /

Tel: 03-3182 4000/4042

Faks:  03-3181 1324

Facebook: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)

Twitter: ANGKASA Malaysia

Instagram : agensi.angkasa

Skip to content