Skip to main content
Berita

MALAM APRESIASI MOSTI 2012

By 2012-05-23Mac 10th, 2017No Comments

 

PUTRAJAYA, 23 Mei 2012 – Malam Apresiasi MOSTI 2012 peringkat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diadakan di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya melibatkan kesemua jabatan dan agensi di bawah MOSTI. Ia bertujuan untuk meraikan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2011 serta menghargai khidmat bakti pegawai-pegawai MOSTI yang telah bersara pada tahun 2011.

YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah hadir untuk menyampaikan penghargaan kepada penerima-penerima APC tahun 2011 dan pegawai-pegawai MOSTI yang telah bersara.  Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Panglima menyatakan bahawa kemajuan, pencapaian prestasi sesebuah organisasi bergantung kepada kualiti modal insannya.  Justeru, para pekerja adalah mereka yang menjadi pemangkin dan penentu kepada kejayaan organisasi.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapannya menyeru agar para pekerja mempunyai sikap dan nilai kendiri yang positif seperti sanggup berkorban masa dan tenaga selain mengamalkan budaya kerja yang berdisiplin, tepat masa dan juga tepat fakta.  Ini adalah penting dalam penghasilan outcome berkualiti melebihi piawaian.

Dengan bertemakan “Pekerja Berprestasi Peneraju Transformasi”, majlis ini menyaksikan seramai 44 orang kakitangan di Ibu Pejabat dan 81 orang pegawai mewakili Jabatan dan agensi di bawah MOSTI telah dipilih sebagai penerima APC 2011 berdasarkan kepada kecemerlangan, sumbangan dan dedikasi yang telah ditunjukkan di sepanjang tahun 2011.  Seramai tiga (3) orang warga MOSTI yang menamatkan perkhidmatan dalam tahun 2011 turut diraikan dalam majlis ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat di MOSTI khasnya dan Perkhidmatan Awam amnya. 

Turut hadir ialah YB. Datuk Haji Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Setiausaha Bahagian Kanan (Perancangan) dan Puan Azizah Yusof, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan).

Majlis turut diserikan dengan persembahan koir oleh pemenang Pertandingan Lagu Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) daripada kumpulan koir Agensi Remote Sensing Malaysia serta persembahan kebudayaan oleh para artis kebudayaan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Skip to content