Skip to main content
Berita

MINGGU SAINS, TEKNOLOGI DAN ICT NEGERI JOHOR (MISTI JOHOR) & KARNIVAL SAINS DAN INOVASI ZON SELATAN

By 2012-06-19April 28th, 2021No Comments

 

JOHOR BAHRU, Johor (19 Jun 2012): Minggu Sains, Teknologi dan ICT Johor (MISTI Johor) dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor. Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YBhg. Dato’ Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOSTI. Seramai 1,000 orang telah menghadiri  Majlis Perasmian di Dewan Tanjung Puteri, Persada Johor.

Program ini yang merupakan program induk Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) akan berlangsung selama 7 hari bermula dari 19 hingga 25 Jun 2012. Program ini dijangka menarik seramai 50,000 orang pengunjung dari segenap lapisan masyarakat untuk mengikuti pelbagai aktiviti berteraskan sains, teknologi, ICT dan inovasi yang telah disediakan sepanjang MISTI Johor dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan berlangsung.

Program yang diadakan melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi kesan berganda kepada usaha Kerajaan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan sains, teknologi dan inovasi serta ICT dalam kehidupan seharian kita dan pembangunan negara.  Negara amat memerlukan modal insan  yang berinovatif serta  mahir dalam bidang sains dan teknologi untuk menjadikan negara berpendapatan tingi. Melalui platform penyaluran dan perkongsian ilmu di MISTI Johor dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan ini, dijangka akan  memberi pendedahan positif kepada para pengunjung terhadap kepentingan sains dan teknologi serta mendorong mereka  memupuk budaya sains dan inovasi dalam kehidupan seharian.

Di antara aktiviti yang disediakan oleh MOSTI ialah Persembahan sains muzikal, pameran inovasi, bengkel Angkasawan Spacecamp, penampilan istimewa Angkasawan Negara Mejar Dr. Faiz Khaleed, ceramah interaktif, bengkel inovatif, seminar kreatif industri, kuiz Crime Scene Investigation,  pertandingan Treasure Hunt Geocaching dan  pertandingan Amphibious Electric Vehicle.  Sebanyak 77 booth pameran inovasi daripada pelbagai Jabatan dan agensi di bawah MOSTI yang menampilkan pelbagai produk dan aktiviti interaktif berunsur sains dan inovasi termasuk ciptaan akar umbi. Untuk maklumat lanjut program, layari www.mosti.gov.my.

Sempena program ini juga, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bersama MOSTI juga telah mengadakan program Jejak Inovasi Zon Johor.  Flag-off program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat En. M. Asojan, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Johor di Batu Pahat pada 16 Jun 2012. Program ini telah diadakan dari 16 hingga 19 Jun 2012 bertujuan untuk mengesan inovasi akar umbi untuk pembangunan lestari yang akhirnya bertujuan membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar. Jejak Inovasi Negeri Johor kali ini adalah merupakan destinasi ke enam selepas Jejak Inovasi Pahang, Kelantan, Terengganu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah. Sebanyak empat (4) daerah di Johor telah dijejaki iaitu Batu Pahat, Muar, Kota Tinggi dan Johor Bahru. Sejumlah 34 hasil inovasi akar umbi telah ditemui.

Dari jumlah tersebut seramai lima perekacipta telah dikenalpasti untuk mendapat pengiktirafan daripada YAB Menteri Besar  di Majlis Perasmian ini. Produk-produk yang telah dikenalpasti dan berpotensi dibangunkan akan diperhalusi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk diberi bantuan teknikal dan kewangan supaya dapat dikomersilkan  kelak.

Skip to content