Skip to main content
Berita

Pelancaran buku “A New Landmark of Malaysia Antarctic Research Programme”

By 2012-02-14Disember 14th, 2020No Comments

 

14 Februari 2012: Duli Yang Maha Mulia Al-Watiqhu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah hari ini melancarkan buku “A New Landmark of Malaysia Antarctic Research Programme” yang merupakan kompilasi gambar-gambar  serta maklumat berhubung program lawatan rasmi Tuanku ke Antartika pada tahun 2011 yang lalu.  Program lawatan berkenaan  turut disertai oleh YB Menteri MOSTI, Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM) Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Felo ASM Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah serta jurugambar khas daripada Bernama.
  • Galeri Gambar

Majlis pelancaran telah diadakan bersempena dengan program New Zealand Week yang diadakan bersama Universiti Teknologi Malaysia. Penglibatan Malaysia berhubung benua Antartika bermula apabila Malaysia dan Antigua & Barbuda mengutarakan isu Antartika pada perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1983. Penglibatan saintis dan penyelidik Malaysia di benua Antartika pula bermula pada 19 November 1997 apabila Jemaah Menteri meluluskan penyertaan Malaysia untuk menjalankan penyelidikan saintifik di Antartika. Satu badan petugas di bawah Program Penyelidikan Antartika Kebangsaan (MARP) kemudiannya ditubuhkan di Akademi Sains Malaysia untuk menggalakkan perkembangan penyelidikan di Antartika di kalangan saintis Malaysia. Berikutan itu, para saintis dan penyelidik negara telah memulakan penyelidikan di benua Antartika pada tahun 1999.

Di dalam ucapan aluannya, YB Menteri MOSTI merakamkan ucapan terima kasih kepada Baginda Tuanku atas sokongan serta minat Tuanku di dalam usaha-usaha penyelidikan saintifik oleh saintis Malaysia di Antartika.

YB Menteri MOSTI turut mengumumkan pengenalan anugerah “The Sultan Mizan Polar Research Fellowship Award’ yang bertujuan untuk menggalakan kajian-kajian saintifik oleh saintis-saintis muda mengenai bidang sains polar.  Disamping itu siri setem kenangan lawatan ini juga akan diterbitkan.

Skip to content