Skip to main content
BeritaSiaran/Kenyataan Media

PEMBERSIHAN BANGUNAN – TRANSFORMASI DARIPADA ‘HEADCOUNT’ KE ‘PERFORMANCE BASED’ MELALUI STANDARD, TEKNOLOGI & INOVASI

By 2017-10-26Oktober 2nd, 2021No Comments

KUALA LUMPUR, 26 OKTOBER 2017 – Industri pembersihan akan melalui fasa transformasi menerusi aplikasi standard, teknologi dan inovasi menurut YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

Perkara ini dimaklumkan semasa majlis perasmian Seminar Kesedaran MS 2550:2014 di sini, pada hari ini. Tambah YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau lagi, melalui  penerbitan MS 2550 : 2014 Cleaning Performance – Commercial & public Buildings oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia), sektor pembersihan kini tidak lagi terikat kepada amalan ‘headcount’, tetapi boleh menilai kualiti kerja  melalui  prestasi (performance based) dengan penggunaan teknologi dan inovasi di dalam bidang ini. Ini bermakna kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar dengan penggunaan teknologi dan inovasi.

 

Tambah beliau lagi, “kita juga boleh meningkatkan kepakaran di dalam bidang ini dan membolehkan tenaga kerja tempatan digunakan bagi tujuan pengendalian alat-alat pembersihan berteknologi tinggi,”

 

Seminar Kesedaran MS 2550:2014 ini dianjurkan oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) dengan kerjasama Persatuan Kontraktor Pencucian Malaysia (Malaysia Association of Cleaning Contractors – MACC) dan dihadiri oleh seramai 300 peserta di kalangan pemain industri termasuk kontraktor pencucian dan pemilik bangunan, serta wakil Kementerian dan agensi Kerajaan.

“Matlamat utama MS 2550 adalah untuk memperkenalkan kaedah penilaian prestasi kerja secara bersistem sebagai rujukan kepada pemilik bangunan dan kontraktor pembersihan.  Ini akan membolehkan kedua-dua pihak memahami skop tugas yang terlibat dan mempunyai kaedah penilaian yang seragam untuk memastikan keperluan kontrak pembersihan dapat dilaksanakan dengan baik.  Melalui pelaksanaan standard MS 2550, kedua-dua pihak tidak akan lagi bergantung kepada “headcount” sahaja kerana pelaksanaan kerja pembersihan lebih tertumpu kepada prestasi kerja.” kata Datuk Fadilah Baharin, Ketua Pengarah, Standards Malaysia.

 

Menurut En. Noruddin Idris, Presiden MACC pula, “Walaupun MS 2550 telah wujud sejak Jun 2014, aplikasinya di bangunan swasta dan awam masih tidak meluas. Malah ramai dari kalangan kontraktor pembersihan, pengurus bangunan dan fasiliti yang tidak menyedari adanya MS 2550. Oleh itu amalan ‘headcount’ masih lagi menjadi pengukur prestasi kontraktor pembersihan.  Kami masih giat mempromosikan standard ini kepada kontraktor pembersihan terutama ahli-ahli MACC memandangkan impaknya sangat baik kepada bidang kerja ini”.

 

“Anjakan paradigma amat diperlukan dalam sektor pembersihan. Sudah tiba masanya tranformasi bidang ini dilakukan dengan menukar amalan prestasi kerja bersandarkan ‘headcount’ kepada ‘performance based’.  Ini juga dapat menyelesaikan dilemma isu pengambilan pekerja, khususnya pekerja asing dan masalah yang berkaitan dengannya”, ujar beliau lagi

 

Pelaksanaan MS 2550 di Malaysia akan membawa kepada peningkatan tahap kebersihan bangunan di Malaysia, di samping melahirkan lebih ramai kontraktor pembersihan yang berwibawa, berdaya maju dan berdaya saing. Kebergantungan kepada tenaga pekerja asing dapat dikurangkan kerana kontraktor tidak lagi terlalu terikat dengan bilangan pekerja. Hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai ‘K-Workers’ akan tercapai kerana kontraktor mempunyai galakan untuk melatih pekerjanya; kerana pekerja terlatih dan mahir lebih efisien dan produktif, dengan itu dapat mengurangkan penggunaan tenaga pekerja.

 

Sebagai langkah proaktif untuk memperkenalkan standard ini, Standards Malaysia telah menjalin kerjasama dengan MACC dalam menjalankan ‘pilot project’ pelaksanaan MS 2550 di empat lokasi iaitu pusat membeli-belah The Curve, UiTM Shah Alam, UiTM Raub dan Stesen Kuala Lumpur Sentral.  Pilot projek telah dimulakan pada 1 Jun 2017 dan akan berakhir pada 31 Disember 2017.

 

Skip to content