Skip to main content
Berita

Program Kreativiti & Science4U Di SMK Kuala Besut, Terengganu

By 2013-07-17Disember 14th, 2020No Comments

u

 

Kuala Besut, 17 Julai – Program Kreativiti & Science4U anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah diadakan pada 17 Julai 2013 pada jam 8.30 pagi hingga 3.00 ptg bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, Besut, Terengganu.

YB Datuk. Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan YBhg. Dato’ Dr. Rosli Bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah turut hadir di Program Kreativiti & Science4U ini.

Program ini dibawa khas untuk para pelajar di sekitar Kuala Besut bagi tujuan meningkatkan tahap kesedaran dalam sains, teknologi dan inovasi selaras dengan pengisytiharkan Kerajaan di mana tahun 2010 sehingga 2020 dikenali sebagai Tahun Dekad Inovasi. Sebanyak 13 Agensi dan bahagian di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengambil bahagian untuk berkongsi dan menyalurkan informasi dan teknologi masing-masing kepada para pengunjung seperti Bahagian Biotek, Direktorat Oseanografi Kebangsaan, Bahagian Inovasi dan Pengkomersilan, Agensi  ANGKASA, Agensi Nuklear Malaysia, SIRIM Berhad, Pusat Sains Negara, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Technology Park Malaysia, CyberSecurity Malaysia, Yayasan Angkasawan Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Antara aktiviti-aktiviti interaktif dan pertandingan yang dijalankan adalah eksperimen bioteknologi, pameran teknologi Underwater  Remote  Operating Vehicle, pertandingan roket air dan pencerapan matahari, permainan Robokit, aktiviti sains dan Robot PSN1, informasi keselamatan cyber, demonstrasi rekabentuk DIY pesawat aeromodelling, aktiviti kreativiti dan pameran produk inovasi penduduk sekitar negeri Terengganu.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga menyokong Pelan  Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di mana terdapat  rancangan untuk memperkembangkan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan murid dalam 1 Sukan 1 Kelab dan 1 Badan beruniform. Kementerian melalui Yayasan Inovasi Malaysia  akan menubuhkan Kelab Inovasi di sekolah-sekolah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Tujuan Kelab Inovasi ialah untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran pelajar untuk mencipta dan menyelesaikan masalah dan memupuk budaya pemikiran kreatif dan berinovasi mereka.
Guru-guru kelab diberi latihan khusus untuk mengendalikan aktiviti kokurikulum secara berkesan dengan menggunakan  Innovation Toolkit yang telah dibekalkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia. Bagi negeri Terengganu, latihan guru telah diadakan di Besut pada 10-12 Jun 2013.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  menyediakan peluang pembiayaan untuk membangunkan ciptaan hasil cetusan idea-idea kreatif dan inovatif yang berpotensi tinggi di kalangan guru – guru dan pelajar- pelajar. Pembiayaan ini akan ditampung melalui dana MOSTI seperti Dana Inno (Innofund). Kuantum maksimum bagi Dana Inno (Innofund) adalah sebanyak RM50,000 diberikan kepada pereka cipta kategori individu manakala bagi syarikat atau komuniti ( seperti Koperasi Sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru)  adalah sebanyak RM500,000.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga menyediakan insentif dalam bentuk hadiah wang tunai kepada perekacipta yang berjaya di dalam pertandingan inovasi yang diadakan. Contohnya Anugerah Inovasi Negara menjanjikan hadiah yang amat menarik. Terdapat empat  kategori anugerah disediakan iaitu kategori Sekolah (hadiah RM10ribu), kategori Akar Umbi (hadiah RM20ribu), kategori Produk (hadiah RM50ribu) dan Kategori Perkhidmatan (hadiah RM50ribu).  Penyampaian kepada pemenang anugerah akan diadakan bersekali dengan satu forum bertaraf antarabangsa Kementerian iaitu World Innovation Forum Kuala Lumpur atau WIFKL 2013 pada 12 sehingga 14 November 2013 di Kuala Lumpur.

Skip to content