Skip to main content
Berita

Pusat Pelancongan Baru Berkonsep Inovasi dan Teknologi di Melaka

By 2014-02-21Disember 14th, 2020No Comments

UKK_4240

 

BATU BERENDAM, 21 Februari– Innocraft, sebuah pusat kraf baru berkonsepkan inovasi dan teknologi yang dibangunkan sepenuhnya oleh SIRIM Berhad dengan sokongan dana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini dibuka kepada orang ramai.

Bertemakan ‘Explore to Experience’ atau “teroka untuk merasai pengalaman”, pusat kraf yang bakal menjadi satu lagi tumpuan pelancong di negeri ini membawakan konsep baru kepada pengunjung iaitu pengalaman menghasilkan sendiri barangan kraf dengan menggunakan inovasi dan teknologi, selain daripada turut menawarkan aktiviti berupa pameran produk kraf, jualan produk kraf dan demonstrasi penghasilan kraf.

Idea membangunkan Innocraft ini bermula dengan hasrat SIRIM untuk membantu pengusaha seni kraf dengan menambah nilai produk kraf melalui intervensi teknologi dan inovasi yang mana kepakarannya terdapat di SIRIM. Hasrat ini kemudiannya dikembangkan bagi menyediakan sebuah landasan dan saluran bagi pengusaha kraf memasarkan produk mereka.

Bersandarkan kepada teknologi sebagai asas kepada pembangunan kraf, Innocraft menempatkan 10 usahawan termasuk dari Sarawak, Sabah, Pahang, Terengganu, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor yang telahpun berjaya dalam seni kraf hasil dari teknologi yang digunakan.

Majlis perasmian Innocraft telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ir. Idris Hj. Haron. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Pengerusi SIRIM Berhad Datuk Hajah Jamaliah Kamis, serta Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad, Dr Zainal Abidin Mohd Yusof.

Innocraft Melaka merupakan satu lagi tambahan kepada destinasi pelancongan di negeri Melaka yang bukan hanya sebagai medan mendapatkan hasil kraf negara tetapi turut menggalakkan penyertaan ahli keluarga dalam penghasilan kraf mengikut kreativiti sendiri di samping pendedahan kepada teknologi dan inovasi yang menjadi tulang belakang kepada pusat kraf ini.
Datuk Jamaliah dalam ucapannya berkata, SIRIM telah banyak membantu usahawan kecil dan sederhana sejak awal tahun 80-an, melalui teknologi dan kepakaran untuk menghasilkan produk kraf yang berinovatif dan berkualiti tinggi, tetapi masih mengekalkan kehalusan seni.

“Pelancaran Innocraft hari ini sekali lagi membuktikan kerjasama padu antara MOSTI dan syarikat-syarikat di bawahnya seperti SIRIM serta kerajaan-kerajaan negeri dalam menjana ekonomi negara melalui teknologi dan inovasi,” katanya.

SIRIM bukan hanya membantu usahawan dalam keperluan teknologi bagi meningkatkan jumlah hasil kraf yang konsisten dan tinggi dalam masa yang singkat, malah turut membantu usahawan kraf dalam bidang pemasaran produk berkenaan.

Kepakaran SIRIM dalam teknologi pembuatan kraf yang diketengahkan di Innocraft ini termasuklah:

•         Pembangunan mesin tenun
•         Pembangunan mesin batik Tjanting
•         Pembangunan mesin belah dan anyaman buluh
•         Teknologi investment casting, dan  spin casting
•         Pembangunan bahan dan formulasi; dan
•         Teknologi pembuatan seramik

Pengunjung yang hadir boleh mencuba pelbagai produk D.I.Y seperti  pembuatan produk berasaskan seramik menggunakan teknik seperti slabbing, potter’s wheel, serta mencuba aktiviti mewarna dan melukis porselin,  mewarna  kraf hydrostone dan mewarna batik.

Antara aktiviti yang bakal menjadi tumpuan termasuklah demonstrasi pembuatan dan perhiasan manik, pembuatan barangan hiasa kaca yang menggunakan teknik glass weaving serta demonstrasi penghasilan batik melalui  penggunaan teknologi iaitu mesin Batik Chanting. Innocraft akan turut menganjurkanacara khas secara berkala, termasuklah  menjemput adiguru dalam dalam bidang seni kraf untuk membuat demonstrasi seni kraf dan lain-lain.

Dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang,  Innocraft  juga boleh dijadikan sebagai tapak bagi pengusaha-pengusaha kraf sedia ada atau yang ingin memulakan perniagaan yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat teknologi yang digunakan serta menjadi rangkaian baru kepada perniagaan sedia ada.

Skip to content