Skip to main content
Berita

SAMBUTAN HARI KELUARGA IBU PEJABAT MOSTI 2012

By 2012-11-10Mac 10th, 2017No Comments

 

Kira-kira 400 warga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah membanjiri Danau, Nuklear Malaysia bagi meraikan Hari Keluarga Ibu Pejabat MOSTI bagi tahun 2012. Sambutan Hari Keluarga ini telah dirasmikan oleh YB. Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan turut dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Dr. Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha MOSTI. YB. Datuk Fadillah Yusof telah menekankan bahawa pentingnya semangat kekeluargaan, kekitaan dan keakraban di kalangan warga kerja MOSTI kerana secara tidak langsung ianya dapat melahirkan sikap prihatin, saling hormat-menghormati, bertolak ansur, amanah serta telus di dalam menjalankan tugas seharian. Perkara ini adalah selaras dengan tema yang dipilih bagi sambutan Hari Keluarga MOSTI 2012 iaitu “We are Family, We are 1 MOSTI”.

Program yang bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir jam 12.30 tengah hari itu telah berjalan dengan penuh meriah dan santai. Acara pembukaan hari keluarga dimulakan dengan permainan boling kelapa yang disertai oleh pengurusan tertinggi MOSTI. Antara acara lain yang menjadi tumpuan adalah  acara rebut gula-gula bagi kanak-kanak, acara makan buah bagi peserta dewasa, acara lambungan kasih untuk pasangan suami isteri dan acara sukan air iaitu tangkap itik terbuka kepada semua warga MOSTI dan keluarga. Di samping itu, terdapat juga pameran sains yang disediakan oleh Pusat Sains Negara dan juga badut jemputan yang turut memeriahkan lagi sambutan hari keluarga ini. Tidak ketinggalan, beberapa siri cabutan nombor bertuah yang diadakan di sepanjang penganjuran hari keluarga ini telah menggamatkan lagi sambutan Hari Keluarga MOSTI 2012. Sambutan Hari Keluarga MOSTI telah diakhiri dengan ucapan penutup oleh Tuan Sembak Tuan Endot, Pengerusi Kelab KEMSAINS. Semoga sambutan hari keluarga ini diharap dapat merapatkan lagi ikatan ukhwah antara warga MOSTI dan keluarga masing-masing dan adalah menjadi harapan agar sambutan seumpama ini dapat dianjurkan pada tahun akan datang.

Skip to content