Skip to main content
Berita

Timbalan Perdana Menteri Melancarkan Pameran ‘1001 Inventions : Kegemilangan Tamadun Muslim’

By 2013-10-02Disember 14th, 2020No Comments

c

 

KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2013 – Timbalan Perdana Menteri Malaysia dengan rasminya melancarkan pameran bertaraf  antarabangsa ‘1001 Inventions : Kegemilangan Tamadun Muslim’, di Pusat Sains Negara hari ini. Pameran yang telah memenangi anugerah dan diisytiharkan ‘the world’s best exhibition’ oleh European Museums Industry pada tahun 2011, kini dibuka kepada orang ramai di Pusat Sains Negara , Kuala Lumpur sehingga Februari 2014.

 ‘1001 Inventions’ telah menerima lebih daripada tiga juta pengunjung di London, New York, Los Angeles, Washington DC, Istanbul, Abu Dhabi, Doha dan Dhahran dan baru-baru ini memulakan lawatan di Sweden, Eropah. Pameran ini memaparkan tempoh ‘seribu tahun sejarah’  Tamadun Islam memimpin dunia dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang dikenali sebagai – ‘Golden Age of Muslim Civilization’.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin berkata, inisiatif oleh MOSTI, Pusat Sains Negara dan Science Discoveries untuk menganjurkan ‘1001 Inventions : Kegemilangan Tamadun Muslim’ adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan satu generasi yang menguasai sains dan teknologi serta memupuk budaya kreatif dan inovatif yang akan melonjakkan ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Atas kepentingan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam menggerakkan ekonomi Malaysia, aktiviti pendidikan tidak formal seperti ini akan dapat membantu memastikan pendidikan yang berkualiti dan holistik, dilaksanakan secara berterusan.

Pelawat berpeluang untuk menikmati lima ‘Zon Interaktif’ yang menonjolkan beberapa ciptaan menakjubkan  dan menunjukkan pengaruh Tamadun Islam yang meluas yang turut mempengaruhi kehidupan kita hari ini. Pameran hasil  cipta 1001 Inventions Ltd., UK ini adalah hasil kajian 50 ahli akademik yang terkemuka di dunia dari universiti-universiti di Eropah, Amerika Utara, Afrika dan Asia.

Pengunjung juga akan diperkenalkan kepada keajaiban Tamadun Islam melalui filem antarabangsa yang memenangi ‘award-winning educational film’ iaitu, ‘Library of Secrets’, yang dipaparkan di skrin berukuran 5 meter.

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh YB Datuk Dr Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Dr. Abu Bakar bin Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Madya Dr Irmawati Ramli, Pengarah Pusat Sains Negara, Encik Ahmad Junaid Bhatti, Wakil Pengurusan ‘1001 Inventions’ dan lebih daripada 500 orang tetamu yang mewakili badan-badan kerajaan, sektor korporat, sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Pameran ‘1001 Inventions’ ini ditaja oleh Axiata Group Berhad dan disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Malaysia dan Kementerian Pendidikan.

Skip to content